Nov 29, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (19) Dikau Tidak Pernah Jauh

Judul : Dikau Tidak Pernah Jauh
Penulis : Nur Hatija
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Halaman: 636 m/s
ISBN : 978-967-5118-69-2
Cetakan pertama September 2011

Kulit belakang novel :

Letaklah Allah pada cinta yang paling utama. Cinta terhadap manusia tidak salah tetapi biarlah selari dengan kehendak agama...

Apakah erti cinta?
Cinta hanyalah omong kosong pada yang tidak sanggup berkorban demi cinta!

Kerana cinta, Fadhil meninggalkan kebahagiaan dunia dan belajar hidup zuhud.
Kerana cinta, Halina sanggup kehilangan kasih anak-anak.
Kerana cinta, Firdaus tenggelam dalam pelukan dunia;
dan kerana cinta akan Firdaus, Mardhiah sabar menunggu.

“Janji dengan saya, awak akan tunggu saya,” ucap Firdaus.
“Awak pun berjanji dengan saya. Jangan pernah melarikan diri daripada saya,” balas Mardhiah.


Tapi, kenapa kini Firdaus jadi lupa pada kata-kata yang pernah dia ucapkan dahulu? Mampukah mereka kenal erti cinta sebenar? Mampukah mereka berkorban demi mencari nikmat cinta itu?

* * *

NUR HATIJA menulis tentang makna cinta. Dikau Tidak Pernah Jauh membawa anda menghayati kisah cinta yang penuh teladan untuk mencari keikhlasan cinta yang sebenar.


Bicara Ummu Ammar :

Nur Hatija, seorang penulis baru dibawah naungan Jemari Seni menampilkan Dikau Tidak Pernah Jauh sebagai buah tangan yang pertama. Penulis mengungkapkan definisi cinta dalam karya sulungnya. Lima aksara yang digabungkan menjadi satu perkataan yang mempunyai banyak makna – C.I.N.T.A.

Cerita dimulakan dengan sebuah keluarga yang serba kekurangan dan penuh kedhaifan, tapi kata orang alim, itulah zuhud. Watak utama di pentas kehidupan Dikau Tidak Pernah Jauh diterajui oleh Firdaus. Firdaus punya ayah yang sangat penyayang tetapi dalam redup matanya dapat dilihat tersimpan seribu satu macam rahsia yang disimpan kejap dari anak-anaknya. Aisyah, adik tersayang yang digambarkan mempunyai wajah yang jelita. Firdaus, remaja kacak yang menjadi tumpuan seluruh gadis di sekolah mahupun universiti bukan sahaja kerana dia punya ‘rupa’ tetapi juga lontaran suara yang begitu merdu saat melaungkan azan.

Kehidupannya bersama Fadhil dan Aishah sangat bahagia. Fadhil (ayahnya) mendidik jiwa anak-anak belandaskan syara’ malah segala amalan yang dilakukan lebih kepada Sunnah Rasulullah saw. Sungguh, UA terkesima seketika memikirkan Fadhil yang sanggup melepaskan semuanya – segunung harta, pangkat setinggi langit – semata-mata untuk belajar hidup zuhud tapi diserikan dengan penuh kasih sayang. Mungkin UA salah perkiraan kerana UA dikelilingi oleh ibu-ibu tunggal (yang ditinggalkan suami) yang setia berkorban apa sahaja demi kebahagiaan anak-anak. Cinta Fadhil pada agama terlalu Agung. Cinta Allah membawa ke syurga.

Mardhiah - Mula muncul dalam layar hidup Firdaus sewaktu di universiti. Istikharah yang dilakukan menunjukkan Firdaus lah yang bakal menjadi ‘imam’ dalam hidupnya. Dan dia amat yakin dengan petunjuk itu. Lalu, tidak boleh tidak, sesuatu harus dilakukan sebagai langkah pertama agar Firdaus sedar akan kehadiran dirinya. Debaran kian terasa apabila berada di samping Firdaus. Cinta yang berputik kian berbunga. Firdaus mohon janji untuk Mardhiah terus setia kepadanya. Dan Mardhiah tetap sabar menanti walau beberapa tahun telah berlalu. Kerana dia yakin akan janji Tuhan melalui istikharahnya.

Firdaus – Dia di didik dengan penuh kasih sayang oleh sang ayah disertakan dengan bekalan menuju akhirat yang secukupnya. Bermula dengan solat sebagai tiang agama, mengaji, ibadah yang selayaknya dilakukan oleh seorang hamba. Akhlak insani yang begitu utuh sekali, ikhtilat (pergaulan) terjaga sebaiknya. Pendek kata segalanya cukup. Kerana…pada pengamatan Fadhil, hanya bekalan pegangan agama yang bisa dia tinggalkan untuk diwarisi oleh Firdaus.

Firdaus diuji dan terus diuji. Dalam jangka masa yang terlalu pendek, Allah menarik Aisyah dan Buya. Tinggallah Fir keseorangan. Kesabarannya diuji, Imannya teruji, anasir syaitan galak menghasut ditelinga. Dia tidak kuat tanpa Buya disisi. Dia jatuh ke lembah yang paling hina. Apa yang tidak kena dengan dirinya? Bukankah solat itu tiang agama? Jika sempurna solat seseorang, maka tidak aka nada perkara munkar yang akan dilakukan.

Terserlah variasi cinta yang ingin disampaikan Nur Hatija. Dengan cinta, manusia bisa berasa tenang dan bahagia. Dengan cintakan harta, manusia senantiasa merasa tidak cukup dengan apa yang sedang dimiliki. Dengan rasa cinta akan dunia, manusia hanyut dalam keseronokan yang sementara.

---
Ummu Ammar

0 comments: