Penulis : Ridhwan Saidi
Terbitan : Moka Mocha Ink Trading
ISBN : 978-967-10663-0-0
1. Menarik.
2. Merepek.
3. Kisah tentang Murshid, seorang pembantu arkitek yang tinggal di Kuala Lumpur.
4. Novel ini boleh dibahagi kepada dua, satu, cerita semasa Murshid di Malaysia, dua, masa di Amerika.
5. Semasa di Malaysia penulis menulis banyak perkara, yang kebanyakannya (mungkin semuanya) bernada sinis dan menyindir tentang negara juga masyarakat di dalamnya.
"Secara nahunya ini tidak masuk akal. Bagaimana tanah gersang yang terpinggir jauh dari kota kotor Kuala Lumpur itu boleh menempatkan perumahan flet? Di sekitar kawasan itu terdapat banyak tanah lapang. Bukankah lebih baik dibinakan saja rumah teres? Mengapa perlu vertikal? Ini tidak lain tidak bukan tentu kesan cengkaman minda kapitalisme yang mendesak manusia kebannyakan agar terus hidup sendat." - ms 50
6. Bagi saya sebagai pembaca, penulis Amerika ini seorang yang 'otai'. Beliau menyentuh banyak perkara dari pelbagai sudut dan menggerakkan minda pembaca beranjak pada sisi pemahaman dan penilaian yang berbeza.
"Salah satu infrastruktur awam tu lebuhraya la kan? Jalan tempat kita semua memandu. Perasan tak, duit cukai yang kita semua bayar tu digunakan untuk buat jalan, duit kita tu, jadi lepas tu patutnya kita guna macam biasa la kan? Tapi hairannya diwujudkan pula tol. Kita beri modal suruh buat jalan, lepas tu bila dah siap, kita kena bayar tol lagi...jahat." ms 202
7. Jalan cerita atau plot pada novel ini, tiada. Penulis menulis tanpa sebarang aturan prosa yang biasa. Kadang-kadang terasa bagai membaca entri di dalam blog. Satu bab ke satu bab yang lain terasa amat nipis perkaitan yang terbina di antaranya.
8. Klimaks mahupun konflik yang pada nilai normalnya akan berada di pertengahan cerita, tidak terdapat di dalam Amerika ini. Sepanjang cerita adalah klimaks, setiap perenggan adalah konfliknya.
9. Novel Amerika tidak dijudulkan dengan 'Amerika' tanpa bersebab. Penulis memang bercerita tentang Amerika di dalam novel ini. Tentang masyarakatnya, tentang budayanya. Dan jika pembaca sedar, separuh awal novel ini yang menceritakan sudut-sudut negatif negara Malaysia, dan separuh keduanya yang membawakan nilai-nilai positif negara Amerika, seolah-olah (atau sememangnya) disengajakan penulisnya untuk dibuat perbandingan. Baiknya Amerika, bertamadunnya mereka, berbeza sekali dengan Malaysia.
"Biasalah, orang Amerika. Berbudaya. Kalau ada barang tertinggal dia akan pos balik kepada tuannya." ms 176
10. 'Berkiblatkan' Amerika, tiada hairan novel ini memaparkan kehidupan sosial watak utamanya, Murshid. Adegan-adegan di atas ranjang, bab-bab berahi, kata-kata kesat, dan fahaman-fahaman songsang tentang seks terdapat dengan banyak di dalamnya.
11. Sebagai pembaca, saya masih boleh nikmati novel ini. Walau terlihat seperti anti-plot, 18sx, namun ia diselamatkan oleh kemahiran penulisnya dalam mengemukakan hujah, ide, juga pemikiran yang luas di dalam setiap isu yang cuba dikupas.
12. Saya beli Amerika dari web Fixi, selamat membacanya. Ambil manfaatnya. Buang yang keruh dan jauhi yang lagha.
---
Melihat Buku
0 comments:
Post a Comment