Tajuk: Dikau Tak Pernah Jauh
Penulis: Nur Hatija
Penerbit: Jemari Seni (Sept 2011)
427 Mukasurat
Harga: RM19(SM)/RM22 (SS)
Mula-mula saya agak ragu-ragu untuk berkongsi apa yang saya rasa tentang novel ini. Bukan kerana novel ini tidak menarik tetapi saya agak risau andai apa yang saya fahami itu tidak cukup untuk dikongsikan. Demi menghargai tanda hati dari Jemari Seni untuk Cabaran 50 Buku (Ogos), maka saya cuba kongsikan sedikit apa yang saya dapat dari novel ini.
1. Cara penyampaian yang agak lain daripada novel-novel yang pernah saya baca sebelum ini menyebabkan agak saya agak tidak selesa pada mulanya. Namun saya teruskan kerana ingin tahu kesudahannya.
2. Pengisian yang cukup padat dan bermakna disampaikan oleh penulis mengunakan watak-watak yang diwujudkan. Fadhil, Firdaus, Halina, Mardhiah dan juga watak-watak yang lain. Memang pembacaan yang penuh pengajaran kepada pembaca-pembacanya. Sesungguhnya Dia memang tidak pernah jauh dari umat-Nya. Cuma kita yang seringkali alpa dengan nikmat dunia sehingga menjauhi-Nya.
3. Pengertian cinta yang dilihat dari pelbagai sudut. Cinta kepada Tuhan, Cinta kepada harta dan duniawi dan Cinta yang benar-benar ikhlas sehingga membuatkan seseorang itu sanggup menunggu walau apa pun keadaannya.
4. Mengundang rasa sebak apabila membaca dugaan demi dugaan yang menimpa Firdaus sehingga menyebabkan imannya makin menipis. Memang watak Firdaus telah dikembangkan dengan baik dan berkesan oleh penulis. Dari seorang yang begitu menyayangi buya dan adiknya, kepada seorang lelaki yang begitu gah dengan apa yang dimiliki dan seterusnya kembali menjadi lelaki yang menyesali kekhilafan dirinya. Rasa kagum, sakit hati dan bersimpati terhadap Firdaus semuanya ada.
5. Agak tidak puas dengan penamatnya kerana ibu dan bapa tirinya yang mati tanpa kita ketahui,sempatkah mereka berdua bertaubat?Ataupun mereka mati begitu saja? Apa pula tindakan Firdaus apabila dia telah menginsafi perbuatannya? Tidakkah dia cuba menjejaki Tina untuk memohon kemaafan?Mungkin penamatnya perlu dikembangkan sedikit lagi agar hati lebih puas membaca sekiranya semua watak-watak menemui jalan penyudah yang setimpal.
Keseluruhannya, novel ini cukup padat dengan pengisian yang bermakna dari mula sehingga ke akhir cerita. Juga merupakan sebuah novel yang memang berbaloi untuk dimiliki.
---
Anita Sang
Nov 17, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment