Nov 29, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (23) Impikan Mentari

Judul : Impikan Mentari
Penulis : Shahzy Hana
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Halaman: 398 m/s
ISBN : 978-967-5118-55-5
Cetakan pertama Februari 2011

Kulit belakang novel :

Pernahkah anda mengalami rasa sedih seperti Izzati? Saat hati dilambung rasa bahagia melalui hari-hari indah, tiba-tiba Izzati ‘dihidangkan’ dengan babak bakal suaminya bermukah dengan adiknya sendiri?

Tunang yang amat dicintai dan mengakui amat mencintainya, telah membelah hatinya... nipis-nipis; berdarah parah, tidak mungkin sembuh. Lalu bagaimana kalau anda sendiri mengalami keadaan itu. Sedalam manakah luka anda? Masih percayakah anda pada insan bernama lelaki?

Izzati juga seperti anda, hilang keyakinan diri untuk jatuh cinta dan bercinta lagi.

Namun hatinya yang beku, cair jua dengan gigihnya Ikhman mengetuk hatinya. Hatinya yang berbunga kembali mekar di jenjang pelamin bersama Ikhman. Namun takdir rupa-rupanya masih mahu mengujinya. Ketika bunga-bunga bahagia kembali mewangi, dia disahkan menghidap sakit di ambang maut. Kuatkah dia untuk bergelut melawan sel-sel darah putih yang rakus menelan darah merahnya dan berjuang untuk terus hidup bahagia bersama suami tersayang?

Sinopsis :

Kesedihan dan kekecewaan menyelubungi jiwa apabila dikhianati insane yang paling dekat dengannya. Tunangnya membuat onar, bukan dengan primadona dunia, tetapi dengan adiknya sendiri. Lalu, perlukah diteruskan lagi majlis perkahwinan mereka itu? Sejak itu…hatinya benar-benar tertutup buat insan yang bergelar lelaki. Benar-benar tertutup atau dia masih lagi dalam penjara kenangan cinta lama?

Ikhman hadir menawarkan cinta setulus hati untuk sebuah perkongsian hidup menuju jalanNya. Satu kejadian berlaku..dan jalan penyelesaiannya hanya satu – NIKAH! Ikhman dan Zati… indahnya berada dalam alam rumahtangga. Baru saja ingin menyulam bahagia, Zati diuji lagi. Kali ini dengan ujian yang lebih menyakitkan. Mampukah dia untuk terus bertahan? Atau hanya pasrah dengan keadaan? Kanser itu pembunuh dalam diam. Ya Allah……

Bicara Ummu Ammar :

Impikan Mentari membawa seluruh pembaca menyelusuri ke dasar hati seorang Izzati. Zati yang dilukai, Zati yang terluka, Zati yang tersiksa, Zati yang merana. Meletakkan diri sendiri dalam ‘kehidupan’ Zati seperti berenang dalam lautan air mata. Seawal bab lagi, UA diserikan dengan kekecewaan. Maka, UA memang mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan novel ini. Sebab? UA juga merasakan kesedihan Zati dan Ikhman. Jika Ikhman mengatakan dadanya seakan mahu pecah saat menerima perkhabaran keadaan sebenar Zati, UA dah lemah longlai ditemani air mata.

Zati berkeputusan untuk merahsiakan penyakitnya itu dari pengetahuan suami tercinta atas alasan tidak mahu Ikhman risau dan susah memikirkannya. Kita sering begitu. Tidak mahu berkongsi yang ‘sedih-sedih’ dengan insan tersayang, suami terutamanya. Walhal, dalam tak sedar kita seperti menafikan haknya juga mengecewakannya.

Apa pun, tahniah buat Kak Shahzy Hana. Bingkisan yang UA kira punya ‘nyawa’ kerana Berjaya membawa pembaca turut sama merasai dan menghayati setiap watak dalam pentas kehidupan ‘impikan mentari’.

Kerana cinta seorang suami, Ikhman sanggup korbankan semuanya. Kerana cinta seorang isteri, Zati teguhkan dirinya melawan sakit itu. Kerana kasih seorang adik, Hanni merelakan sum-sum tulangnya diberikan pada Zati. Kerana sayang seorang ibu, apa saja yang ingin dimakan oleh Zati, sedaya upaya akan cuba dipenuhi. Kerana cinta pada sang Pencipta cinta….Mereka tidak pernah alpa memohon ehsan daripadaNya dengan harapan sinaran mentari akan memancar dalam kehidupan mereka hingga ke akhirnya. Pelangi memunculkan diri sewaktu hujan terhenti. Mendung berarak pergi saat sang mentari menampakkan wajah.

---
Ummu Ammar

0 comments: