Nov 1, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (52) Ikhlas, A.K!

Tajuk: Ikhlas, A.K!
Penulis: Nirrosette
Penerbit: Jemari Seni (Ogos 2011)
528 Mukasurat
Harga: RM21(SM)/RM24(SS)

Ingin sekali saya kongsikan sebuah lagi novel terbitan Jemari Seni, Ikhlas, A.K! yang begitu kuat rasanya bertaut di hati.Sebuah novel yang sangat ‘sweet’, penuh pengisian dan semestinya ada pengajaran yang berguna sebagai panduan.

Entah siapa yang saya lebih suka, saya pun tidak pasti namun kedua-dua watak, Adam Khalis dan Nur Kaseh Kaisara mempunyai kekuatan masing-masing. Mungkin juga saya lebih terkesan dengan watak Adam yang stok budak baik-baik, alim dan sangat ‘sweet’ dalam caranya menyayangi Kaseh. Hati sudah bergetar semenjak tahun pertama memandang Kaseh walaupun ketika itu Kaseh langsung tidak mengenali Adam dan ketika Kaseh sedang bertukar ganti teman lelaki.

Memang kalau dibandingkan Kaseh dan Adam sangat jauh bezanya bagai langit dan bumi baik dari segi cara hidup dan kegemaran masing-masing. Kaseh ‘playgirl of the century’ yang sudah mempunyai koleksi seramai 33 orang teman lelaki sehingga umurnya yang terkini iaitu 20 tahun. Kaseh yang lebih banyak habiskan masanya pergi clubbing, Kaseh yang mempunyai stok segala jenis minuman keras di dalam biliknya, Kaseh yang sentiasa memakai pakaian yang tidak pernah cukup kain. Namun Kaseh yang itu juga begitu menyayangi satu-satunya adiknya, tidak pernah berlagak sombong walaupun ayahnya bergelar jutawan dan mempunyai kecantikan yang boleh dianggap sempurna bagi seorang lelaki. Kaseh itu juga yang begitu tekad untuk melamar Adam Khalis menjadi kekasihnya yang ke-34.

Mengapa Kaseh yang serba-serbi tidak sempurna dari segi cara hidupnya, Adam sanggup terima untuk dijadikan ‘kawan’? Sedangkan selama ini Adam langsung tidak pernah rapat dengan mana-mana gadis. Adam begitu menjaga jaraknya dengan seorang yang bernama perempuan.

Sememangnya saya mudah bersimpati dengan Kaseh yang begitu jahil dalam soal agama.Hidup mereka berdua beradik hanya disogokkan dengan wang ringgit. Tiada kasih sayang daripada ayah dan ibunya yang sibuk mengejar harta dunia.

Mampukah Adam berjalan beriringan dengan Kaseh yang tidak pernah mengenal erti solat itu? Sejauh mana sayangnya Adam kepada Kaseh dan sejauh mana Kaseh sanggup mengikut segala syarat yang diletakkan Adam sebelum mereka betul-betul menamakan hubungan mereka dari ‘kawan’ kepada ‘kekasih’. Perlukah? Sedangkan gelaran ‘kekasih’ tidak menghalalkan hubungan antara mereka selagi tiada ikatan yang sah. Semudah ‘saya-suka-awak’ dan ‘awak-suka-saya’…and we live happily ever after-aman bahagia untuk selamanya..hubungan Adam dan Kaseh? Ikhlaskah mereka?

---
Anita Sang

0 comments: