Tajuk buku : Kemilau Mutiara Raudhah
Penulis : Saidatul Saffaa
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 616 m/s
Ulasan Ain Sabrina :
Ia dimulakan dengan kisah Jack atau nama sebenarnya Ahmad Izzat Mubasyir yang sudah terpesong jauh dari agama, solat bukan lagi jadi aktiviti harian malahan kelab malam jadi tumpuan. Namun sampai disitu saja kepesongannya, tidak sampai air syaitan diteguk mahupun dibawa perempuan ke bilik tidur. Ketenangan ingin dicari lalu dia akhirnya sampai ke Pulau Selasih yang membawa lembaran baru dalam hidupnya. Di sana dipertemukan dengan hidayah untuk kembali ke jalan Allah juga dipertemukan dengan bidadari bernama Raudhah.
Raudah digambarkan sebagai gadis muslimah yang cukup ciri muslimahnya juga tidak kurang dari segi paras rupanya. Wajahnya yang saling tak tumpah seperti gadis eropah seringkali menarik hati kaum adam untuk melamarnya. Namun dia tegas soal hati dan perasaannya sehinggalah redup mata itu membuatkan dia seakan lari dari prinsip hatinya.
Pertemuan pertama di Pulau Selasih tidak berakhir begitu sahaja. Asyik ada sambungan pertemuan sehinggakan Izzat tidak mampu lagi memendam rasa. Akhirnya kasih diluahkan namun tiada jawapan kasih dari bidadari hati. Namun siapa sangka , Allah perancang terbaik , walaupun seakan tiada pilihan , Izzat adalah pilihan terbaik buat Raudhah, begitu juga sebaliknya.
Hubungan halal sudah terjalin namun seakan ada sengketa yang masih belum pulih. Hubungan mereka dingin. Raudhah yang degil dan sukar memaafkan menjerutkan lagi perasaan Izzat. Sehinggalah satu peristiwa buruk berlaku yang menyedarkan Raudhah. Namun saat dia tersedar , Izzat sudah pergi demi mengejar niat menjadi syahid fisabilillah.
Komen Ain Sabrina :
Cerita ini banyak latar belakangnya , dari Malaysia ke Scotland , juga ke Palestin dan Israel. Terkesima saya memikirkan betapa jauhnya pengalaman penulis sehingga dia boleh menulis cerita dengan latar belakang begini.
Kisah ini seakan kisah klise, namun tetap saya suka. Klise bagi saya, adalah dari awal saya dapat kesan tunang Izzat itu adalah Raudhah dan begitu juga sebaliknya. Namun, kejutannya masih jelas dan ada , saat mereka mahu dinikahkan. Ada rasa kurang pasti di situ, risau pengantin lelaki bagi Raudhah adalah orang lain. ^^
Disaat Izzat menunggu Raudhah 2 tahun dan juga kisah kedinginan Raudhah terhadap Izzat selepas perkahwinan menginggatkan saya dengan kisah Adam & Hawa karya Aisya Sofea keluaran Alaf 21. Walaupun penantian Izzat tidak sehebat Adam , namun iras-iras nya masih ada. Dan kerana iras itu , saya seakan geram sangat dengan watak Raudhah yang agak degil. Watak Izzat ternyata nampak ‘charming’ di situ. Kesabaran Izzat membuatkan kita sebagai pembaca turut jatuh hati.
Watak Raudhah digambarkan sebagai gadis yang cantik dalam dan luar. Kecantikan luarnya digambarkan sebagai gadis eropah bermata hijau. Kecantikan luarannya nampak terlalu tinggi sehinggakan saya sebagai pembaca terasa sukar ‘to be in her shoes’. Wataknya saya bayangkan sebagai satu watak puteri dalam cerita –cerita dogeng. Cantik , mempersonakan tetapi ‘untouchable’ .
Selama penantian Izzat selama 2 tahun diisikan dengan perubahan diri Izzat menjadi yang lebih baik. Tetapi sayang , penulis tidak mengambarkan bagaimana dan apakah yang dilakukan oleh Izzat untuk berubah. Hanya diilustrasikan perubahannya disaat Izzat mendengar bacaan Al-Quran Raudhah. Akan lebih manis jika diilustrasikan dengan lebih jelas bagaimana ia berlaku , kerana ia turut boleh memberi inspirasi buat pembaca untuk turut juga berubah menjadi lebih baik sepertimana penulisan Hlovate.
---
Ain Sabrina
Nov 30, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment