Halaman : 350
Harga : RM 20
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
Cetakan 1- 2011
Saya menghadamkan buku ini kurang dari sehari. Sejurus selepas membeli dari penulisnya Nisah Haji Haron dan mendapatkan tandatangannya. Bagaimanapun , saya percaya buku ini bukan hanya sekali saya akan baca.
Hakikatnya saya hanya ingin menyelak sehelai dua, tapi saya telah 'dipasung' oleh buku ini untuk menghabiskannya.
Himpunan 17 cerpen penulis terpilih ini begitu mengujakan. Buku ini adalah satu pakej, satu buku 17 penulis. Sungguh, tak rugi membacanya. Sebenarnya ia menelusuri perjalanan penulis dalam menghasilkan sebuah cerpen. Ternyata, penulis adalah seorang yang sangat peka, setiap sesuatu dipandang dengan falsafah. Malah, idea untuk menulis sangat universal, boleh saja melalui pengalaman, melalui pembacaan, pemerhatian, malah mimpi juga mencetuskan ilham bagi penulis. Perlu diingat, menulis bukan satu perkara mudah, untuk menulis satu cerita kajian terperinci perlu dilakukan.
Saya tertarik dengan salah satu cerpen karya Kamariah Kamaruddin yang bertajuk Tentang Hijab. Mengupas mengenai kain yang menutup kepala bagi perempuan muslim. Kupasan mengenai bertudung bukanlah satu pilihan. Bukanlah satu hak peribadi dan sensitif. Ianya terang-terangan merupakan perintah Allah yang termaktub dalam kitab Nya dalam surah Al Ahzab ayat 59.
Melalui buku ini juga saya dapat maklumat mengenai kisah Hang Tuah. Rupanya Hikayat Hang Tuah itu diragukan kebenarannya. Penulis Hikayat Hang Tuah juga menjadi misteri dan kebanyakan bukti menyatakan Hang Tuah hanyalah fiksyen dan bukan individu yang benar-benar wujud. Rasa seperti ditipu saja. Pengalaman seorang penulis di Jepun juga memberi maklumat menarik untuk kita. Orang Jepun sangat benci dengan mereka yang bercakap sambil makan, dan makan sambil berdiri. Mereka menganggap perkara itu adalah perbuatan biadap. Tetapi jika anda merupakan pelancong, mereka akan melayan anda walaupun andalah pelancong biadap itu. Ingat, jangan menyisip susu sambil meminta pertolongan orang!
Selirat Derita pun Terurai menggambarkan nasib negara Palestin. Pastinya bukan sedikit kajian bagi menghasilkan cerpen ini. Sebenarnya saya juga tersentuh dengan cerpen Nyanyi Sunyi. Kenapa? Bacalah buku ini, siapa tahu, anda bakal menjadi penulis selepas membacanya!
---
0 comments:
Post a Comment