Tajuk: Tinta Ellipsis
Pengarang: Ibnu Ahmad Al-Kurauwi
Terbitan: DBP
Halaman: 382 muka surat
ISBN: 9789836296467
Kata kulit buku:
"…tiga titik berurutan itu seakan melambangkan dilema yang dihadapinya ketika itu. Antara dua hati itu ada perasaan yang harus berkorban dan dikorbankan. Ada janji yang harus digugurkan. Walaupun tekadnya sudah terpateri ketika mengikat janji seia sekata dahulu. Apakah kerana Amjad, dia harus menggugurkan janjinya dengan Wardah. Memikirkan itu, daun hatinya terasa pecah-pecah dilibas ranting gelisah. Sukar memahami apa yang harus ditentukan seperti titik elipsis ini yang tidak merungkaikan jawapan apa-apa. Realiti sebenarnya dia sudah kalah dalam jerit tangis dan ilai tawa seorang anak yang jauh ditinggalkan itu ...”
Kata KK:
Buku ini dibeli di pesta buku 2010 namun saya berkesempatan untuk membaca pada tahun ini. melihat pada tajuk buku ia sangat unik dan saya sangka kisahnya juga seunik tajuknya. Sinopsis di belakang kulit buku bermain-main dengan bahasa buat saya tidak memahami keseluruhan cerita.
Namun setelah saya habiskan buku dalam tempoh yang panjang, saya sedikit kecewa. Kisahnya hanya mudah dan ringkas sebenarnya tetapi diberatkan dengan pengolahan oleh IAK.
TE berkisar tentang seorang Amir Afif lulusan dari Jordan dan berkahwin dengan Wardah. Kerana masalah yang dihadapi oleh Wardah yang bakal melahirkan cahaya mata pertama mereka, Amir Afif memohon jawatan baru dalam bidang penerbitan. Dugaan dan cabaran menimpa diri setelah dia mula bekerja di syarikat penerbitan itu. Dia juga bekerja sebagai imam di surau di tempat tinggal barunya. Ada sahaja yang menimpanya dari masalah majikannya, menjadi imam di surau dan juga isterinya, Wardah. Namun, takdir mengatasi segalanya Wardah pergi meninggalkannya setelah selamat melahirkan Amjad. Hilang isterinya disayangi, kehidupan Amir Afif tidak seperti dulu. Mampukah dia menjaga Amjad seorang diri? Bagaimana dia mengatasi hubungan dia dengan majikannya? Adakah dia sebagai imam di surau tersebut dia tidak layak untuk bersuara dan menyelesaikan salah faham Antara Ahli Jawatan Kuasa surau? Hanya TE yang akan menjelaskannya.
Dari segi bahasa, bahasa yang digunakan IAK bagi saya sangat berat. Malah pengolahan cerita terlalu berjela dan terasa penat untuk sampai kepada cerita sebenarnya. Perjalanan TE terasa sangat jauh dan penat untuk saya menanti penamatnya. Saya juga masih tidak memahami tentang situasi yang dialami Wardah ketika dia belajar di Jordan? Dia pernah lemas di Jordan dulu dan apakah yang menyebabkan dia trauma dengan kejadian itu, saya masih tidak mengerti.
Apa yang saya kagum IAK bijak mengolah bidang penerbitan yang digarapnya dalam TE. Lebih-lebih lagi bidang penerbitan buku teks sekolah menengah. Ternyata untuk menghasilkan sebuah buku teks juga bukan senang dan ia mempunyai garis panduan yang ditetapkan oleh pihak kementerian pendidikan yang mesti dipatuhi.
Apapun TE dari DBP kali ini sangat mengecewakan.
---
Khaulah Khalid
Nov 17, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment