Nov 29, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (47) Bumi Lestari

Judul : Bumi Lestari
Penulis : Rebecca Ilham
Terbitan : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
ISBN : 978-967-61-2535-4



1. Awal tahun dulu apabila usai membaca antologi cerpen Rebecca Ilham, saya melahirkan keinginan agar satu hari nanti dapat membaca tulisan terbaru daripada penulis yang sama, tapi dalam bentuk novel pula.

2. Dan ia tidak memakan masa yang lama sebelum Rebecca meletakkan huruf pertama dalam draf novel sulungnya yang kini berada dalam tangan pembaca sebagai pemenang kedua HSKU 2010.

3. Tahniah.

4. Bumi Lestari mengisahkan tentang kuasa yang dimiliki para kapitalis dalam pekerjaan asali mereka menindas penduduk peribumi tidak kira di mana keberadaan mereka.

"Tanah nenek moyang tempat berburu dan bercucuk tanam pula dirampas dengan bayaran minimum yang belum sepenuhnya dilangsaikan, ..." ms 44-45

"... Natijahnya, mereka bergantung, lantas lemas dalam selok-belok sistem ekonomi kapitalis yang menindas." ms 45

5. Dalam antologi cerpennya sebelum ini, saya amat gemari dengan lenggok bahasa serta keunikkan diksi yang dipilih dan digunakan oleh penulis, begitu juga dengan Bumi Lestari ini.

6. Namun entah kerana apa, saya berasakan gaya bahasa yang 'unik' tersebut menjadi terlalu banyak dan kadang-kadang membuatkan sesuatu perkara, isu yang mudah, kelihatan payah untuk difahami.

"Amira menekan panel kawalan kelajuan pada pengisar injakan. Trek berpusing lebih pantas, memaksa kaki mengatur semula derap langkah. Amira menarik nafas dalam-dalam, paru-paru mengembang penuh namun pantas dibantah gegaran jantung dalam kaviti dada yang terhad ruang. Udara kumuh dihembus kuat. Mekanisme pernafasan berulang lagi." ms 56

7. Novel ini menarik, cerita yang ingin dipersembahkan bersifat universal, menyeluruh, tidak hanya terhad kepada remaja, tetapi juga kepada warga dewasa untuk dihayati makna dan kandungannya.

8. Tetapi, sepanjang bacaan, saya merasakan bagai ada sesuatu yang kurang. Sesuatu yang tak ada, yang tertinggal untuk menjadikan novel ini menghampiri nilai sempurna, (ok memang mustahil untuk menjangkau kesempurnaan) paling tidak menjangkau 4/5 bintang.

9. Kemudian saya membaca komen Kak Nisah Haron mengenai Bumi Lestari, dan itu dia! Perkara yang terasa lompang dan berlubang itu turut sama dikongsi beliau.

"Segar dan informatif. Sayangnya, novel ini agak pendek. Namun, sebagai novel pertama Rebecca Ilham ia amat menjanjikan. Lantaran novel ini secara relatifnya pendek, banyak watak tidak mendapat ruang yang cukup untuk dikembangkan." - Nisah Haron

10. Para pemain, watak-watak utama yang mewarnai novel ini kelihatan semacam 'tersepit' (disepit?) dan 'terkongkong' (dikongkong?), pembaca (saya) tidak sempat mendalami serta memesrai mereka dan sesedar ia telah pun tamat. *Saya amat suka untuk berkenalan lebih lanjut dengan Jai Anak Buang.

11. Tetapi novel ini tidaklah dipilih sebagai pemenang jika ia tidak punya kelebihan serta mendatangkan manfaat dan mengembangkan minda para pembaca, terutama remaja.

12. Sekali lagi tahniah buat Rebecca, kita menunggu novel seterusnya (mungkin yang lebih panjang). Selamat membaca, selamat mengambil faedah.

---
Melihat Buku

0 comments: