Judul : Langsir Biji Remia
Penulis : Noor Suraya
Terbitan: JS Adiwarna Sdn. Bhd.
Halaman: 263 m/s
ISBN : 978-967-0201-13-9
Cetakan pertama 2011
Kulit belakang novel :
Duha Hafa anak tunggal Dr. Hud Othman dan Puan Taslima. Dia cantik dengan mata bundar sayu seperti mata unta di padang pasir. Umair terpikat sejak dia masih kecil lagi.
Sepuluh tahun berlalu dan mereka bertemu semula. Kini Duha Hafa sudah memakai purdah hitam, dan dia bukan lagi gadis periang dan ramah. Kenapa dia berubah? Apa yang tersembunyi di sebalik purdah hitam itu?
Langsir Biji Remia mengajar kita bersyukur dengan nikmat daripada Dia.
* * * *
Kelebihan karya NOOR SURAYA terletak pada bahasanya yang lembut berserta ceritanya yang memikat. Pemegang ijazah Sarjana Linguistik daripada Universiti Malaya ini menulis dengan hatinya. Disiplin menulisnya diterap sejak menjadi pelajar Komunikasi di Universiti Sains Malaysia lagi. Munsyi Dewan ini pernah memenangi beberapa hadiah penulisan antaranya Hadiah Utama Sayembara Cerpen Esso-Gapena IX (1992) dan Hadiah Penghargaan Menulis Cerita Kanak-kanak Mobil-DBP (1998).
Sinopsis :
Kisah remaja seorang Duha Hafa yang kini menjalani hidup dengan penuh rasa rendah diri yang teramat sangat setelah melalui kejadian ngeri itu. Bukan pintanya untuk dijadikan sebegitu, tidak pernah pun bermimpi untuk melalui pengalaman pahit itu. Tragedi yang meragut separuh dari wajahnya yang suatu waktu dahulu bisa memukau sesiapa saja yang memandang wajahnya tidak kira lelaki mahupun wanita, yang muda mahupun yang telah berusia. Disebabkan rasa rendah diri itu, niqab disarungkan bagi menutup seri yang telah hilang dari wajahnya.
Umair sahabat tingkap sedari kecil. Umair, lelaki yang terlalu inginkan kesempurnaan. Sebab itu dia layak mengambil jurusan perakaunan. Di sudut hatinya yang paling dalam tersimpan rasa ‘cinta’ pada Duha Hafa. Cinta yang telah 10 tahun dia pendam. Katanya cintanya hanya pada sahabat tingkapnya. Cintanya tidak pernah berubah. Titik. Lalu, dek kerana rasa yakin akan cintanya pada Duha, risikan dihantar melalui kak Ain dan kak Hada sebagai orang tengah.
Ahmad Muhsin. Jejaka yang dikenali Duha di Madinah al-Munawarah sewaktu mengerjakan umrah bersama ayahnya Doktor Hud. Bakal peguam yang soleh dan muslih insyaAllah. Mulanya sekadar ‘usik-usik’ oleh kakak-kakaknya berkenaan dengan Duha dan disokong pula oleh ayahnya. Untuk tidak serabutkan fikiran, pada Dia Muhsin serahkan segalanya. Istikharah. Memohon petunjuk dan ilham yang benar buat jaminan di masa hadapan.
Dan Duha Hafa... Perlukah ditunggu si Umair yang ‘menghina’ dirinya kerana tidak lagi jelita wajahnya seperti sepuluh tahun dahulu..? Atau memberi peluang pada Ahmad Muhsin yang meminangnya atas alasan bapanya berkenan dengan Duha? Ikuti kesudahannya dalam Langsir Biji Remia karya Noor Suraya.
Bicara Ummu Ammar :
Langsir Biji Remia karya novelis terulung kak Noor Suraya kali ini tidak menghampakan UA. Sesuai dengan temanya ‘Si Manis 17’. Dengan bahasa yang mudah dan jalan cerita yang ringkas dan ringan, maksud UA tidak kompleks seperti novel-novel umum yang lain.
Penulis berjaya menghidupkan setiap watak dalam pentas Langsir Biji Remia. Duha dengan rasa rendah dirinya apabila keindahan wajahnya di saluti parut-parut panasnya api. Umair dengan ‘kesempurnaannya’. Ahmad Muhsin dengan rasa kehambaan yang amat tinggi pada Sang Pencipta.
Kagum dengan Duha yang berkeras tidak mahu melakukan pembedahan plastik ke atas wajahnya kerana bimbang perasaan riak merajai hati apabila wajahnya kembali indah seperti sebelumnya. Cintakah itu wahai Umair jika melihat wajah Duha sahaja kamu merasa jijik walhal sepuluh tahun dulu Duha Hafa yang inilah yang kamu gilakan separuh mati.
Apa yang dapat UA simpulkan melalui Langsir Biji Remia iala hakikat cinta itu terlalu abstrak untuk dirungkaikan. Cinta itu kurniaan Tuhan menerangi sanubari insan. Bagaimana Allah menitipkan rasa cinta pada Duha Hafa dalam hati Ahmad Muhsin sehinggakan wajah itu terlalu indah di pandangan mata Muhsin tetapi tidak Umair.
---
Ummu Ammar
Nov 29, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment