Judul : Seikat Kembang Merah
Penulis : Imaen
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Halaman: 495 m/s
ISBN : 978-967-5118-41-8
Cetakan kedua Julai 2010
Kulit belakang novel :
Ketika aku melangkah keluar, ada yang tertinggal di sini; angan-angan, harapan dan seluruh hati. Sebagai gantinya aku membawa bersama wajahnya, dan rindu padanya – Nur Tahani gadis bertudung labuh.
Aku memang telah jatuh cinta pada dia. ‘Bidadari’, versi dunia atau akhirat seperti dia hanya layak digandingkan dengan orang beriman.
Bagaimana mungkin perempuan cantik, berprofil tinggi dan terlahir dalam gedung Gucci seperti Nina mahukan aku? Dia hanya layak bersanding dengan lelaki kategori ‘arreviste-hooray henry’. Sedangkan aku hanya lelaki terbuang. Kelas kambing! Paria! Dalit!
Benarkah, kalaulah cantik itu pintu kepada cinta, setiap lelaki kena bertapa dalam gua dan jalan pejam mata?
Lalu aku melambung dadu terakhir. Kalau aku kalah sekalipun, aku sudah tiada apa-apa lagi untuk rugi. Sama ada aku lambung atau tidak dadu itu, aku tetap merana; merindukannya separuh mati dan mencintainya seumur hidup.
Bicara Ummu Ammar :
Sebetulnya, UA amat takut untuk membeli apatah lagi membaca penulisan karya penulis lelaki. Tetapi melihatkan kepada blurb di kulit belakang, timbul rasa ingin memiliki dan menghayati jiwa seorang lelaki.
Seikat kembang merah nukilan saudara Imaen ini tepat buat pembaca yang inginkan kelainan dalam sebuah karya. Imaen berjaya mengadun kisah hati seorang lelaki sejati dengan jitu sekali. Memberi cinta pada wanita yang baik dan solehah, itu lumrah.
Fitrah yang Allah titipkan dalam hati setiap hambaNya - suka pada sesuatu, seseorang yang baik. Itu yang terjadi pada Gary. Suka pada Tahani yang bertudung labuh, baik.. menggunakan perkataan lemah lembut saat berkata-kata. Ini kisah luar biasa yang penghujungnya tidak seperti yang saya jangka. Inti ceritanya punya segala rencah kehidupan yang membawa manusia kepada Tuhan melalui cinta. Tahani cuma menjadi asbab kepada perubahan Gary. Allah menghantar hidayahNya melalui Tahani untuk Gary turut sama melangkah seiring dengan Nina menuju syurga abadi.
Jika ditanya pada UA mengapa anda perlu menjadikan Seikat Kembang Merah sebagai salah satu koleksi anda, jawapannya mudah sahaja. Novel ini luar biasa. Cinta, thriller, ekonomi semasa, dunia, akhirat semuanya diadun menjadi satu dalam seikat kembang merah.
---
Ummu Ammar
Nov 29, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment