Oct 25, 2011

NH: Cabaran 50 Buku : (38) Sayangku Merajuk

Sayangku Merajuk
Penulis: Ayu Emelda
Terbitan Alaf 21
Cetakan pertama 2011

Kepekaan saya:

Sayangku merajuk hasil buah tangan dari Ayu Emelda ini mengisahkan perihal seorang isteri yang ditinggalkan oleh semua. Kiranya, kisah kehidupan seorang wanita yang terabai. Apabila ijab dan Kabul telah dilafazkan, hanya 3 bulan sahaja mereka bersama. Begitulah nasib diri Aireen. Aireen ditinggalkan oleh suaminya Shahir atau Justin tanpa sebab musabab yang munasabah.

Aireen seorang gadis kampung yang telah kehilangan ayah, hanya membesar bersama ibu dan seorang adik perempuan yang bernama Hanis. Aireen berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Aireen adalah harapan seratus peratus oleh ibunya. Tetapi, jodoh pertemuan tiada siapa yang dapat menghalang. Aireen berkahwin dengan Shahir setelah berkenalan selama 6 bulan. Perkenalan yang terlalu singkat membawa Aireen hanyut oleh perasaan kasih, sayang, rindu dan cinta.

Ibu Aireen, Puan Aishah menentang hebat perkahwinannya dengan Shahir kerana Aireen belum menamatkan lagi pengajiaannya. Shahir seorang lelaki mualaf yang begitu menyintai Aireen. Sanggup menentang kemahuan ibunya iaitu Madam Anna. Madam Anna tidak mengizin Shahir mengahwini Aireen kerana telah mempunyai calon pilihannya iaitu Laura merangkap anak saudaranya.

Aireen terlalu mengikut kata hati. Perkahwinannya dengan Shahir hanya disaksikan oleh kawan-kawan sekuliah di rantau orang. Ibunya di kampung terpaksa merestui perkahwinan tersebut walaupun hati menolak kelakuan anak sulungnya.

Di sangka cerah sepanjang hari, rupanya hujan di tengah hari. Perkahwinan Aireen yang baru berusia 3 bulan di duga dengan sehebatnya. Shahir terpaksa pulang ke Malaysia meninggalkan Aireen seorang diri di Australia meneruskan pengajiannya kerana Shahir mempuyai masalah keluarga yang kronik. Madam Anna menyuruh Shahir pulang ke Malaysia untuk menyelamatkan Laura yang mahu kembali ke agama asal.

Laura menyimpan perasaan sayang dan cinta pada Shahir dari kecil lagi, tetapi Shahir menganggap Laura sebagai adik kerana mereka membesar bersama-sama. Laura sanggup menganut Islam mengikut jejak langkah Shahir kerana ingin memikat hati Shahir. Tetapi, semuanya kosong, Laura tidak mampu memiliki sekelumit pun hati Shahir kerana Shahir telah menyerahkan seratus peratus hatinya pada Aireen.

Kepulangan Shahir ke Malaysia di tunggu penuh harapan oleh Aireen di bumi Australia. Janji Shahir pada Aireen hanya 5 minggu ingin pulang ke Malaysia. Selepas 5 minggu, kemunculan Shahir masih tidak wujud di sisi Aireen. Minggu demi minggu, bulan demi bulan Aireen menanti sehinggakan seluruh semangat Aireen untuk meneruskan hidup di bumi asing kecundang. Aireen jadi hilang semangat kerana berbadan dua. Sebelum kepulangan Shahir ke Malaysia, Aireen tidak sempat menyampaikan berita gembira yang mereka akan menimang cahayamata.

Hanya kerana zuriat yang di kandung Aireen tabahkan hati untuk meneruskan hidup dan pulang ke kampung halaman. Kawan-kawan yang berada di sekeliling banyak membantu semasa Aireen mengalami alahan yang teruk.

Dugaan sekali lagi menimpa diri Aireen setelah pulang ke kampung. Kepulangan Aireen seorang diri bersama perut yang memboyot tanpa kehadiran suami telah di salah tafsir oleh saudara mara dan penduduk kampung. Ibu Aireen di hina dan dikeji. Aireen juga turut menerima nasib yang sama. Bermacam tomahan keji di lempar kan. Keluarga Aireen di halau oleh Mak Long nya sendiri selepas Airen melahirkan anak kembar, Dyra dan Fyra.

Nasib baik, ada lagi insan yang bersimpati pada Aireen sekeluarga. Makcik Siti, adik ipar ibu Aireen telah menumpangkan rumahnya untuk Aireen sekeluarga berteduh.

Aireen mempunyai kekuatan semangat yang baru setelah kehadiran si kembar. Semangat untuk meneruskan hidup tanpa mengenang kisah silam. Kehadiran seorang jejaka yang bernama Zarul menguatkan lagi semangat Aireen. Zarul terlalu mengambil berat diri Aireen sekeluarga.

Selama 5 tahun Aireen tidak pernah mencari dan tidak mahu mengingati Shahir kerana menganggap Shahir telah menceraikannnya. Aireen mengganggap, Shahir telah hidup bahagia dengan isteri barunya Laura.

Kejadian yang tidak di sangka-sangka, Aireen terserempak dengan Shahir dan Laura di pusat membeli belah. Di situlah bermulanya, pertemuan kembali setelah 5 tahun terpisah. Aireen yang sememangnya memiliki sekeping hati yang keras dan sedingin air batu tidak sesekali menerima kemunculan kembali Shahir dalam hidupnya. Wanita mana yang tidak meradang setelah bertahun lamanya di tinggalkan tanpa khabar berita.

Rajuk dan marah Aireen panjang dan semakin teruk setelah menyangka Shahir mempunyai anak dengan Laura. Pelbagai cara Shahir lakukan untuk memikat kembali hati Aireen. Hanis, adik Aireen banyak membantu untuk mengembalikan hubungan rapat antara Shahir dan Aireen. Si kembar Dyra dan Fyra juga banyak membantu merapatkan hubungan suami isteri yang telah lama terpisah ini.

Disebabkan dendam dan perasaan marah masih menguasai diri Aireen, Aireen nekad dimahu meletakkan Shahir dalam hati nya dan bersetuju untuk menjadi suri di hati Zarul.

Madam Anna dan Laura juga banyak membawa bencana dalam hidup Aireen. Semua ini menyebabkan hati Aireen semakin beku pada Shahir. Jodoh antara Shahir dan Aireen memang panjang. Mereka di satukan kembali setelah mengetahui Zarul adalah penipu besar. Rupanya, Zarul sudah mempunyai sekeluarga di Brunei. Isteri Zarul muncul di hari pernikahan Zarul dan Aireen. nasib baiklah akad belum di jalankan. Aireen selamat dari memnjadi mangsa penipuan lelaki seperti Zarul.

Sayangku Merajuk sangat sempoi dan menarik. Cara penyampaian yang senang untuk di fahami, mempunyai ayat-ayat yang sedikit komedi mempunyai saya tersenyum sendiri ketika membacanya. Terdapat pelbagai pengajaran di dalam novel ini, antaranya, jangan terlalu mempercayai orang yang baru kita kenali kerana kita tidak mengetahui latarbelakang yang sebenanrnya orang tersebut. Jangan juga terlalu pentingkan diri sendiri. Jangan letakkan keluarga atau ibubapa orang terakhir untuk bertanyakan pendapat dan membuat keputusan.

---
Noor Hekmat

3 comments:

ayuemelda said...

trima kasih atas review. tq sbb sudi baca n bagi komen macam tu... ;D

Siti Aisya mzm-fc said...

saya pun suka novel ni,idea yg segar dan x nampak macam cerita rekaan pu..sesetengah novel ada yg terlalu berdrama.

NooR hEkmAt HasHiM said...

ayuemelda: trima kasih sudi baca review saya.:]

siti aisya : novel ni mcm kehidupan sebenar kan.