Jun 7, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (42) Tajdid Rindumu

Penulis: Dyza Ainun
Penerbit: Buku Prima (Grup Buku karangkraf Sdn Bhd)
ISBN978-967-0184-11-1
Harga: RM 25.90 / RM 28.90
M/S: 661
Cetakan 1 – 2011

Rindumu yang tersimpan, kulakar menjadi kejora yang bertamu di denai hati…

Blurb:

Pengorbanan V’na menamatkan zaman remaja bukan relanya. Demi keterpaksaan itulah, dia menerima lamaran Siti Dalila, isteri kepada Izzul Haqeemi. Menjadi isteri kedua yang penuh dengan jutaan dugaan. Pergolakan hati dan perasaan dalam rumah tangga yang tidak dibungai rasa cinta. Berhadapan pula dengan kecemburuan Siti Dalila kemudiannya. Apa lagi, ternyata, V’na telah Berjaya menganugerahi Izzul Haqeemi dengan gelaran paling istimewa, menjadi seorang bapa kepada bayi yang selama ini amat diharapkan oleh Izzul. Namun, V’na terfitnah oleh pelbagai hasutan yang didalangi oleh Siti Dalila. Berbaloikah sebuah pengorbanan?

“Akak ingat saya ni dah tak laku sangat? Kena jadi bini nombor dua kepada mamat tu? Oh, mintak maaf! Dia dah ada isteri yang begini cantik dan bergaya. Baik dan sempurna. Bandingkan akak dan saya, jauh langit dengan bumi, kak! Memang suami akak tu gatal! Miang!” – V’na

“Kakak sedar, kakak ni perempuan yang sangat malang. Kakak isteri yang tak sempurna. Kakak tak boleh menghadiahkan Abang Izzul dengan cahaya mata. Sedangkan Abang Izzul sudah lama teringinkan anak.” – Siti Dalila

“Abang tak berbohong, saying. Abang bersumpah dengan nama Allah. Abang benar-benar dah jatuh cinta dengan V’na. Bukan sekadar untuk mendapatkan zuriat malah untuk menawan seluruh cinta V’na!” – Izzul Haqeemi

*****
Pengorbanan selalunya seiringan dengan perjalanan hidup. Tanpa perngorbanan, hidup ini seperti basi dan hambar. Lalu, kuuntaikan Tajdid Rindumu, agar setiap mata menatapi karya kalamku mengerti betapa mahalnya nilai sebuah pengorbanan. Berkorban demi untuk insane tercinta kelak nanti akan dilukiskan takdir terindah di sisi DIA. Duhai hati dan jiwa yang sanggup berkorban, pengorbananmu itu tidak dipersia oleh-Nya. Akan tercatat kelak bersama bayaran yang tertinggi nanti. – Dyza Ainun

Kak Chik menukil:

V’na seorang gadis yang cukup berahsia. Selama sebulan menyewa bersama teman serumah yang bersama-sama bekerja di Kedai Kek Suria, Jiya dan Eda tidak pernah tahu latar belakang gadis itu. Hubungan mereka rapat tetapi V’na tidak pernah mahu bercerita tentang keluarga apabila ditanya. Kenapa dia cukup perahsia? Apa yang cuba dilindungi olehnya sehingga gaji pertama yang diperolehi hanya diperuntukkan untuk si dia yang istimewa?

Izzul Haqeemi dalam diam, dia sudah jatuh cinta lagi walaupun dia masih ragu-ragu. Kenapa akhir-akhir ini bukan wajah Siti Dalila lagi yang menggayuti pinggir matanya. Kenapa perlu ada gadis lain yang mencuit tangkai hatinya? Adakah kerana terdesak impikan cahaya mata dia tegar menusuk dalam jantung isteri yang dikahwini lima tahun dulu atas dasar cinta sama cinta? Terhakiskah cintanya pada Siti Dalila setelah dia mampu menawan gadis itu dalam ikatan perkahwinan yang kedua baginya?

Siti Dalila betapa remuk hatinya apabila suami yang dicintai, memintanya memujuk rayu gadis si penjual kek itu untuk dijadikan madunya atau diugut dia akan kehilangan Izzul buat selama-lamanya. Apa pilihan yang dia ada, sama ada bermadu atau ditinggalkan suami yang sudah nekad mahu bernikah lagi semata-mata mahu zuriat sendiri. Dalam keterpaksaan dan hati yang terluka remuk hancur, dia masih lagi tersenyum demi cinta kepada si suami. Tetapi selama manakah kasih dan cemburu Siti Dalila mampu bertahan jika si suami sudah terbuai bahagia dengan cinta baru?

Kisah yang berkisar kahwin paksa dan kontrak bagi watak utama, V’na dengan Izzul Haqeemi yang sudah beristeri. Perkahwinan yang dipersetujui oleh Siti Dalila tetapi bersyarat. V’na dan izzul juga sudah bersetuju dengan segala syarat yang telah ditetapkan oleh Siti Dalila iaitu mereka mesti berpisah selepas V’na melahirkan anak Izzul. Mereka juga berjanji tidak akan jatuh cinta sepanjang ikatan perkahwinan itu.

Namun setiakah Izzul pada janji yang dipersetujui itu? Benarkah dia tidak pernah mencintai V’na sedangkan dia bermatian mahu mendapatkan V’na dahulu? Tegarkah dia melukai lagi hati isteri pertamanya?

Tidak tergugatkah ego V’na jika sedari awal perkahwinan, Izzul sudah melayannya bagaikan puteri? Segala kehendaknya dituruti, sekeras kerikilkah hatinya itu?

Sudut pandang Kak Chik:

Aduhai……….Kak Chik berhari-hari mahu menghabiskan kisah ini kerana bagi Kak Chik yang dah ‘tua’ dan tipikal ini, kahwin kontrak bukan sesuatu yang Kak Chik suka apatah lagi asbab perkahwinan V’na dan Izzul itu sesuatu yang pada Kak Chik bukan pencetus untuk perkahwinan itu dimeterai. Izzul yang mahukan zuriat sendiri yang pada Kak Chik terlalu ego sehingga dia tidak mahu memikirkan hati isterinya, Siti Dalila. Dia sedar Siti Dalila terluka sedangkan dia tidak pernah mahu mengambil tahu. Baginya cinta baru yang bertunas pada V’na itu sudah mampu memberi dia harapan untuk mempunyai zuriat sendiri. Izzul memang seorang yang mementingkan diri sendiri. Apatah lagi dia memilih V’na kerana kecantikan gadis itu.

Dan yang paling Kak Chik sakit hati sudah tentu watak V’na. Walaupun penulis menggarap watak V’na sebagai seorang gadis yang baik dan sanggup berkorban demi orang yang disayangi tetapi adakah hanya itu jalan yang dia ada untuk memberi kebahagiaan kepada mereka? Dan antara perkataan yang digunakan oleh penulis ‘ perkhidmatan’ bagaikan sudah menjatuhkan maruah V’na sendiri.

Selalunya apabila kisah poligami, isteri pertama digambarkan sebagai seorang yang baik dan teraniaya tetapi berlainan pula dengan kisah ini. Siti Dalila digarap sebagai watak yang jahat sehingga dia hilang pedoman kerana terlalu sakit hati dan dendam terhadap Izzul dan V’na. Kesiankan apabila pengorbanan dia menjadi sia-sia apabila iman bukan lagi menjadi paksi pegangannya.

Kak Chik terlalu sedih dengan jalan yang dipilh Izzul. Jika dari awal dia menerima cadangan Siti Dalila untuk berpisah, pasti bukan begini akhirnya kisah mereka.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

0 comments: