Jun 16, 2011

ABB: Cabaran 50 Buku: (6) Gurindam Jiwa

Gurindam Jiwa Yang Mengasyikkan.

'Gurindam Jiwa’ yang ini sememangnya mampu membuai rasa yang sedang bermalas-malas sepanjang waktu terluang. Rentak ‘pop’ Schubert’s Serenade (Hlovate), Heavy Metal Vendetta (Imaen) dan Balada Hati Andriyana (Noor Suraya), gurindam kisah yang membuai tiga rasa pada jiwa.

Schubert’s Serenade karya Hlovate mengalun lagu remaja. Tunas-tunas cinta yang tumbuh dalam ruang rasa sayang kepada seorang abang tiri. Ceritanya mengajar kita tentang adab hidup dalam keluarga yang punyai abang tiri- lelaki bukan ajnabi.

Vendetta karya Imaen mengalun pula gurindam yang berentak ‘kasar’ dalam dunia gansterism. Dunia yang dikelasifikasikan sebagai dunia lelaki –maskulin. Vendetta menyelami hati AKU yang penuh dengan marah yang membentuk api dendam yang melangit tinggi kepada perompak kedai emas. Di mana peluru mereka yang tersesat, masuk ke dalam jasad isteri aku.

Dendam yang inilah yang menjadi semangat dan ‘penyuluh’ kepada hati aku untuk mencari arah di mana dan siapa dalang kepada kejadian di kedai emas itu dulu. Cerita Vendetta yang ‘kasar’ ini mengadun lagu sedih, sebenarnya. Lagu rindu yang sangat dalam kepada sang isteri yang telah pergi. Rindu yang inilah menjadi api yang membakar dendam supaya lebih marak dan menjulang lebih tinggi. Prespektif yang Imaen gunakan sebagai penggerak cerita: dari sudut pandang dan rasa AKU, menjadikan saya sebagai pembaca dekat dengan rasa AKU: merasa simpati dan sedih kepada apa yang telah menimpa aku dan ‘membenarkan’ dendam AKU mencari keadilan demi untuk memberi kepuasan kepada dendam AKU.

Hati Andriyana karya Noor Suraya, paling saya suka. Gurindamnya bernada sungguh lembut dalam ruang rasa yang bercampur. Ceritanya kisah tragis tetapi tidak sekasar cerita Vendetta. Lagu gurindam Hati Andriyana ini menjadikan rasa yang beralun di dalam bertukar nada dari rasa berentak Heavy Metal Vendetta kepada rentak balada Hati Andriyana.

Menyelami cerita Andriyana saya terkenangkan nasib Mahsuri. Ceritanya seakan sama saja tetapi punyai perjalanan kisah nasib yang berbeza. Mahsuri mati ditangan masyarakat kampung yang percayakan fitnah oleh Mahura, isteri kepada pembesar Langkawi, Dato Seri Kama Jaya, yang sangat cemburu kepada Mahsuri. Manakala Andriyana yang cantik, mempunyai susur galur keturunan kraton mempunyai kisah fitnah yang sama dengan Mahsuri tetapi mempunyai perjalanan nasib yang lebih baik berbanding Mahsuri. Merantau ke negara Ratu dengan menjadi amah di rumah kepada salah seorang bekas panglima yang menjajah tanahair juga sebenarnya membawa sinifikasi yang seakan sama dengan nasib Mahsuri yang mati dibunuh. Tetapi ‘Mahsuri’ dalam bentuk Andriyana ini ‘bangun’ dan membela nasib diri dengan cara ‘halus’.

Walaupun cerita Hati Andriyana ini bukan cerita Andriyana sepenuhnya. Dia hadir dalam cerita-cerita imbas kembali anak cucunya, namun kisah Andriyana ini adalah pokok kepada cerita Hati Andriyana. Ternyata di penghujung cerita, maruah Andriyana berjaya dibersihkan dan diangkat oleh penyatuan Aliya dan Hadi. Dengan membaca Hati Andriyana saya kini tidak sabar untuk membaca Tanah Andriyana.

Gurindam Jiwa secara keseluruhannya sebuah gurindam jiwa yang punyai tiga rentak irama yang berbeza yang mengasyikkan.

---
Ayu Abu Bakar

0 comments: