Jun 20, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku : (3) Sekolah Kehidupan

Tajuk Buku : Sekolah Kehidupan
Penulis : Habin Faisal Mohamed
Terbitan : HFZ Group Sdn Bhd
Muka Surat :128


Buku “Sekolah Kehidupan” ini adalah sebuah buku motivasi. Buku ini sangat sesuai untuk semua peringkat samaada orang tua, dewasa, pelajar dan kanak-kanak. Buku sekolah kehidupan mampu mengajar pembaca tentang erti kehidupan sebenar. Penulis memilih tajuk buku ‘Sekolah Kehidupan’ berdasarkan pendapat beliau bahawa kehidupan ini umpama sekolah yang memerlukan guru, kelas, sistem pembelajaran, kokurikulum, peraturan, ujian, peperiksaan. Ianya juga tidak terlepas daripada denda dan anugerah. Kita pula sebagai pelajar sedang mencari kehidupan dan kejayaan untuk masa hadapan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang terus berusaha dan rajin serta tidak berputus asa walaupun kerap kali mendapat markah terendah. ‘Sekolah Kehidupan’ ini merungkai 1001 rahsia kehidupan sebenar yang sering kita lupakan dalam kehidupan seharian kita. Ramai di kalangan kita yang sering lupa dengan sistem alam ini dan mengakibatkan setiap di kalangan kita menghadapi kesukaran serta musibah yang berterusan. Bahkan terpaksa menghadapi masalah yang sama berulang-kali kerana ketidakfahaman atau kedegilan yang berterusan itu. Masalah-masalah ini sebenarnya boleh diatasi dan ditangani dengan penuh berhemah dan berhikmah, caranya ada di dalam buku ‘Sekolah Kehidupan’ ini..

‘Sekolah Kehidupan’ ini mempunyai lima prinsip utama. Kelima-lima prinsip utama ini perlu difahami oleh pembaca dan pembaca akan nampak indahnya hidup ini apabila kita ikut semua sistem peraturan kehidupan. Buku ini juga diselitkan pengalaman penulis dalam mengharungi kehidupan sebelum beliau mengecapi kejayaan dan kisah-kisah benar mengenai kejayaan orang di sekeliling beliau. Buku ini mempu membuatkan pembaca membuka mata tentang kehidupan sebenar. Selama ini, kita sentiasa mengeluh dengan masalah yang menimpa kita. Malah kadang kala sesetengah antara kita merasakan kedukaan lebih banyak berbanding kebahagiaan. Marilah kita hayati ‘Sekolah Kehidupan’ ini agar kita dapat merasai kehidupan itu dengan kegembiraan. Kita mampu menghadapi kedukaan itu dengan senyuman. Buku ini dapat membuka mata dan minda kita tentang kehidupan ini dengan positif selain membantu kita menangai masalah yang kadang kala kita anggap terlalu beban dan tidak dapat diselesaikan. Pembaca bukan sahaja didedahkan dengan kehidupan dunia semata-mata tetapi diselitkan dengan kerohanian akhirat iaitu firman-firman Allah dan hadis-hadis Nabi S.A.W agar seimbang kejayaan dunia dengan kejayaan akhirat lebih bernilai.

Petikan Pilihan

“Kalau sekiranya kamu semua betawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, Allah akan memberikan kamu rezeki sepertimana Allah memberikan rezeki kepada burung-buung, berterbangan (kegirangan) di waktu pagi, lalu pulang di waktu petang dengan kekenyangan”. Maksud Hadis Rasulullah s.a.w diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dengan katanya : Hadis Hasan.

Hidup sepatutnya seronok! Lihatlah sekeliling kita. Setiap hari burung-burung terjaga terus menyanyi. Bayi ketawa tanpa sebab tertentu. Lihatlah kucing bermain dengan ekornya. Siapa kata hidup tidak seronok? Alam ini dipenuhi dengan permainan riang. Kalau anda mewarisi ‘idea’ bahawa hidup ini tidak seharusnya seronok, fahamlah kenapa hidup anda merana! Itu hanya satu kepercayaan; anda boleh membuangnya.

Luangkan masa untuk membuat sesuatu semata-mata kerana anda seronok melakukannya. Tidak mungkin hidup anda akan bahagia sekiranya anda bekerja bertungkus-lumus dengan pandangan bahawa ‘hidup ini susah’. Bersabarlah dengan diri anda. Menikmati hidup pun memerlukan latihan. Apabila hidup terasa manisnya dan hati kecil anda berbisik : “tak mungkin kekal begini!”. Katakan kepada diri anda : “mungkin akan lebih bagus lagi”.

Sinopsis

“ Kenapa asyik aku terkena masalah yang sama sahaja berulang-ulang kali?!”. “Kenapa setiap awal tahun, aku akan kesempitan wang?”. : kata Zamany. “Kenapalah setiap bulan pasti terkial-kial nak bayar segala bil?” kata Zaraidy. “Setiap kali balik kampung, kereta selalu rosak aje” : kata Khairuddin. “Kenapalah aku sentiasa dapat pasangan yang hanya mata duitan sahaja?” :kata Fauzi. “Setiap kali bertukar tempat kerja baru, aku tetap temui bos yang peregus” : kata Sarina. “Kenapalah anakku sering membuat aku susah hati dan menimbulkan masalah?” : kata Ghazali. “Setiap kali menaiki pesawat, aku pasti kehilangan bagasi” : kata Jamal dari Indonesia.

Kenapakah keadaan ini berlaku?! Mungkin juga ianya terjadi kepada anda! Bagaimanakah ingin mengatasi masalah ini?! Jawapannya ada di dalam buku ini.. buku SEKOLAH KEHIDUPAN!

0 comments: