Jun 10, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (25) Badai Semalam

Judul : Badai Semalam
Penulis : Khadijah Hashim
Terbitan : K Publishing Sdn Bhd
ISBN : 978-983-852-545-9



1. Novel yang dicetak kali pertama pada tahun 1968.

2. Telah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris dengan judul, Storms of Yesterday, bahasa Sepanyol Tormentos del ayer, di samping beberapa siri cetakan dalam bahasa Melayu daripada penerbit yang berbeza seperti Alaf21 dan yang terbaru, yang berada bersama saya, 'K' Publishing Sdn Bhd cetakan pertama 2011.

3. Juga pernah dijadikan drama tv di RTM dan televisyen Singapura, selain menjadi buku teks sastera bagi pelajar peringkat SPM di Malaysia dan Menengah Empat di Singapura.

4. Khadijah Hashim merupakan salah seorang penulis wanita tanah air yang dikagumi tulisannya. Dilahirkan dan membesar di negeri Johor, sempat menjadi guru agama beberapa ketika sebelum berkhidmat sebagai wartawan di Kumpulan Akhbar Utusan Melayu.

5. Menulis dalam pelbagai genre termasuk novel, cerpen, puisi, skrip drama radio, buku kanak-kanak, dan beberapa lagi. Cerpen dan novel beliau telah beberapa kali diangkat menjadi drama televisyen. Selain Badai Semalam ini, Mawar Merah Di Jambangan, Sekapur Sirih Segeluk Air, Ditepi Pagar, Dekat Disayang Jauh Dikenang, dan lain lagi.

6. Badai Semalam adalah sebuah novel mengenai kehidupan pahit getir, dugaan ujian, celaan hinaan, ketabahan kecekalan hati seorang wanita, bernama Mazni.

7. Sedari kecil dibesarkan oleh ibunya di rumah majikan tempat ibunya bekerja sebagai orang gaji. Sehingga dewasa di situlah tempatnya menumpang teduh.

8. Mazni digambarkan sebagai seorang wanita yang pasrah dengan segala ranjau kehidupan yang dilalui. Bermula dengan ibunya yang sakit, terpaksa melupakan cita-cita untuk belajar sehingga ke menara gading kerana kekurangan wang, dicintai oleh anak kepada majikan ibunya, Karim, terpaksa menerima cinta itu walau hati tak rela kerana telah termakan budi yang banyak terhadap keluarga itu, percintaan mereka pula dihalang oleh ibu Karim kerana perbezaan darjat, namun berkahwin juga atas kemahuan Karim walau diperkatakan jiran-jiran sekeliling, rumahtangganya pula tidak bahagia apabila Karim kembali kepada kehidupan lamanya, berpoya-poya, sehingga terjadi pertengkaran antara mereka sehingga mengakibatkan Mazni tercedera dan dirawat di hospital, lalu dia meminta cerai daripada Karim, dan membawa diri ke Kuala Lumpur.

9. Judul Badai Semalam dapatlah dimengertikan (setelah menamatkan novel ini) sebagai keributan, kekeruhan hidup Mazni sepanjang berada di Johor yang mahu dilupakan, mahu dijadikan kenangan dengan meninggalkan tempat tersebut dan berpindah ke Kuala Lumpur memulakan hidup yang baru, yang lebih bersinar bahagia.

10. Novel ini juga sarat dengan kritikan sosial terhadap masyarakat Melayu terutamanya. Di sana sini kita dapati penulisnya menggambarkan masyarakat yang iri hati, hasad dengki, mengadu domba, terlalu memikirkan 'apa kata orang' sehingga memudaratkan orang sekeliling, yang mana apabila ditenung-tenung kembali, sifat-sifat itu memang wujud dalam masyarakat Melayu kita dulu, dan kini.

11. Kerana sifat negatif tersebutlah telah menjadikan kehidupan Mazni sebagai mangsanya. Menarik juga untuk diperhatikan mengapa penulis menggunakan watak wanita sebagai korban dari semua tabiat buruk itu. Ini berkemungkinan kerana wanita selalu diperikan sebagai sopan, lemah lembut, berbudi bahasa, maka bila dikenakan segala tuduhan dan fitnah ke atasnya melalui novel ini, ia akan lekas mengalirkan rasa simpati pembaca. Sekali gus akan mendatangkan rasa benci dan marah terhadap orang-orang yang melemparkan umpatan ke atas Mazni, dan membawa pembaca kembali melihat ke alam realiti, ke sekitarnya, jiran-jiran dan ahli masyarakatnya, lalu menjadikan pembaca lebih sensitif bila berbicara mengenai seseorang individu agar tidak berlaku seperti nasib yang menimpa Mazni dek kerana cerita-cerita yang tidak benar.

12. Jika dilihat secara keseluruhannya, maka tidak hairan jika novel ini diangkat menjadi drama televisyen. Setingnya, plot, tema, serta konflik dan saspen yang ada cukup membuatkan penonton terpaku, dan setia menanti adegan seterusnya.

13. Walau penggunaan bahasanya agak santai, tetapi apa yang lebih penting adalah penceritaan yang cuba disampaikan penulis, inti dan isinya, segala pandangan dan buah fikirannya yang menjadikan novel ini kekal berada di pasaran meskipun telah berdekad lamanya ditulis.

14. Berharga cuma RM 20.00, boleh didapati dengan mudah di toko-toko buku.

Semoga bermanfaat.

---
Melihat Buku

0 comments: