Jun 6, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (27) Bukan Cinta Monyet

Tajuk: Bukan Cinta Monyet
Penulis: Hasliza Ismail
Penerbit: Kaki Novel ( Mei 2011)
476 Mukasurat
Harga: RM19 (SM)/ RM22 (SS)

Sebuah novel yang membawa anda kepada tema yang selalu kita temui dalam novel-novel yang lain. Kalau anda suka kepada gaya cinta tetapi cuba menafikan perasaan itu, yang akhirnya membawa kepada penyesalan kerana hero atau heroinnya terlewat untuk menyedarinya,maka inilah novel yang anda perlu baca.

Nurul Suhana, gadis biasa dari keluarga sederhana dan hanya mempunyai ibu satu-satunya ahli keluarganya. Kamal Ilham yang hadir dalam hidup Nurul Suhana dan ibunya umpama penganti yang dihantar untuk mengantikan arwah abang Nurul Suhana. Ikatan abang dan adik angkat yang terjalin semenjak Nurul Suhana berusia 9 tahun tidak menghalang Nurul Suhana daripada secara diam-diam menyintai Kamal Ilham. Sementara Kamal Ilham sudah ada pilihan hati yang sesuai dengan dirinya.

Disebabkan sedar akan jarak umur yang ketara dan perbezaan latar belakang, Nurul Suhana tidak mampu untuk menuntut rasa yang sama dari Kamal Ilham. Mungkin benar dia hanya seorang adik bagi Kamal Ilham.

Disaat, hatinya terluka kerana cinta terhadap Kamal Ilham, hadir Alvin dalam hidupnya. Lelaki yang serba-serbi sempurna dan ada segalanya, hadir umpama semangat baru untuk Nurul Suhana bangkit semula dari kekecewaan. Alvin hadir membawa bahagia buat Nurul Suhana yang sedang terluka.

Apa yang saya kurang suka tentang novel ini?

Saya kurang suka dengan watak hero yang seolah-olah tiada pendirian dalam mengendalikan hati dan perasaannya. Sehingga ke saat akhirpun, dia masih berdolak-dalik dengan perasaan sendiri.

Apa yang saya suka?

Hubungan antara Siti Rahmah, umi Nurul Suhana dan Datuk Seri Noura Azlin, mama Kamal Ilham yang sangat akrab. Walaupun berbeza status, namun mama Kamal Ilham tidak pernah menunjukkan keangkuhan. Malah sanggup menumpangkan Nurul Suhana dan ibunya disaat mereka hilang tempat berteduh. Malah mereka berdua saya lihat terlalu terbuka akan hubungan Nurul Suhana dan Kamal Ilham.

---
Anita Sang

0 comments: