Penulis: Anis Ayuni
Penerbit: Alaf 21 (Grup Buku karangkraf Sdn Bhd)
ISBN978-983-124-677-1
Harga: RM 25.00 / RM 28.00
M/S: 638
Cetakan 1 – 2011
Usah biarkan kasihku sunyi menunggu seorang diri
Blurb:
Seingat Laila Nabila, tidak pernah Mir Shahriman menoktahkan hubungan cinta mereka, tetapi anehnya lelaki itu tiba-tiba menyepikan diri. Dia cuba merisik punca kemelut yang melanda, namun segalanya kabur. Laila Nabila tahu Mir Shahriman masih bernafas di atas muka bumi, tetapi lelaki itu seperti hilang terus dari galeri hidupnya.
Kali pertama bertemu dengan Laila Nabila, hati Raid bagai ditusuk panah arjuna. Dia terlena dalam keindahan cinta yang diimpi. Rasa kasih yang mendasari hati tidak disembunyi. Dia bagai mabuk kepayang mengejar cinta si bidadari.
Namun bagi Laila Nabila, dia tidak mampu memberi, walaupun sedikit ruang untuk Raid berteduh di bawah sayap kasihnya. Dia ingin terus setia dalam bercinta. Sekeping hati yang teruntuk buat Mir Shahriman, biarlah terus menjadi miliknya hingga takdir memisahkan mereka berdua.
Mir Shahriman tidak pinta hidupnya jadi begini, tetapi ALLAH memilih dirinya untuk diuji. Dia tidak dapat meneka sama ada Laila Nabila ikhlas atau menerimanya atas dasar simpati. Lalu, dia pasrah membiarkan hubungan mereka bergerak mengikut takdir ILAHI.
“Aku mencetus situasi dan reaksi yang menekan perasaanmu agar kau membenci. Hakikatnya Laila, aku mengoyak hati sendiri.”
Kak Chik menukil:
Karya terbaru dari Anis Ayuni masih lagi membawa topik utama cinta pertama. Kisah cinta anak remaja yang menjejak alam dewasa antara Laila Nabila dan Mir Shahriman namun penulis bercerita dari sudut diri aku iatu kata ganti diri untuk Laila Nabila. Jadi garapan penulis lebih banyak kepada perjalanan hidup dan rasa yang dirasa oleh Laila Nabila.
Laila Nabila dan Mir Shahriman sudah kenal sejak bertahun-tahun yang lepas kerana hubungan persahabatan orang tua mereka. Hubungan yang terjalin antara kedua keluarga berada ini bagaikan memberi ruang yang lebih kepada mereka berdua sepanjang meniti hari-hari remaja. Mereka banyak melalui percutian ke tempat-tempat menarik di luar negara bersama apabila keluarga mereka bercuti.
Walaupun mereka terpisah benua, Laila di Australia dan Mir di Amerika kerana masih menuntut, jarak tersebut tidak pernah memisahkan mereka. Mereka bagaikan mempunyai pertalian yang amat dalam sehingga mereka tidak perlu berkata-kata untuk menyatakan sesuatu. Cukup hanya mata yang berbicara. Namun apakah biasan mata mampu menenangkan hati Laila apabila percutian mereka ke Turki disertai dua beradik, Nia dan Nieda yang selalu mendampingi Mir sehingga Laila tersisih ke tepi. Laila terus makan hati sepanjang 10 hari percutian mereka itu.
Namun janji yang termeterai antara mereka di angkasa lepas dalam perjalanan pulang dari percutian tersebut bagaikan menoktahkan bahawa rasa mereka tetap sama. Lalu janji setia diikat bersama dengan jari manis Laila tersarung cincin lambing ikat setia mereka. Perhubungan yang mereka meterai masih menjadi rahsia sehingga tidak terhidu oleh keluarga.
Ketika mereka di ambang bahagia, dugaan datang bertimpa-timpa. Mir bagaikan hilang terus tanpa khabar berita dan Laila terus tertanya-tanya. Kehadiran Raid walaupun merimaskan, sekali sekala mampu juga membuat Laila tertawa.
Apakah janji setia Laila dan Mir mampu terus dipegang Laila setelah setahun Mir menyepi diri? Mampukah Laila menerima kejutan yang Mir lakukan demi kasih setia cinta mereka? Kalau nak tahu apakah cinta pertama tetap bahagia ke akhir, sila beli novel ni ya!
Sudut pandang Kak Chik:
Membaca karya terbaru Anis Ayuni ni, bagaikan membaca buku panduan pelancongan pula rasanya. Kak Chik rasanya lebih teruja untuk ‘menjelajah’ tempat-tempat menarik yang digambarkan oleh penulis daripada mahu mengetahui keluh kesah Laila sepanjang percutian tersebut kerana pada Kak Chik, Laila kadang-kadang bagaikan hilang identit diri demi menarik perhatian Mir. Banyak ulasan penulis berkisar tempat-tempat menarik di Turki dan Australia. Wah, rasa macam Kak Chik dah ‘terjejak’ di sana pula. Perasanlah pulak…
Bagi Kak Chik, garapan penulis terlalu berkisar perasaan Laila sehingga watak Raid langsung tidak mampu menjadi sesuatu yang ‘menakluk’ Laila sepanjang kehilangan Mir. Rasanya kalau penulis memberi ruang yang lebih luas pada watak Raid mungkin kisah ini mampu membeli emosi Kak Chik.
Apa pun satu kisah yang masih penuh dengan pengorbanan dan reda dengan takdir ILAHI tetapi kadang-kadang takdir juga mampu kita ubah jika kita mahu berusaha.
LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)
Jun 7, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
saja setuju dengan komen kak chik..baca novel ni seperti kaki saya ni dah pijak bumu turki n australia tu..walaupun terpijak dalam mimpi
lieza...
macam kita pula yg melancong ke sana kan?
teruja la pula mao jejak bumi Turki selepas 2 kali kisah tempat2 menarik di sana..sblm ni dah baca dalam Damai..
Lieza & Aimie,
Sememangnya 'melancong' tanpa keluarkan belanja yang besar dan tak perlu passport juga bagasi kan syok sekali!! :D
~kakWan
Kakwan...
betul tu..sapa kata baca novel 'chenta' tak ada manfaat...kan kita dapat ilmu umum tu..:D
Post a Comment