Jun 7, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (43) Quartet

Penulis: Saidatul Saffaa
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN978-967-5118-60-9
Harga: RM 20.00 / RM 23.00
M/S: 471
Cetakan 1 – April 2011

Blurb:

Ini kisah sekeping hati yang dicalit empat rona indah
sayangnya dia terlupa yang pelangi itu
jalurannya tujuh;
dan salju pula jadi cair dipanah mentari
lalu berguguran dihembus bayu luruh.

Ini kisah sekeping hati yang berkali-kali diuji,
takkan bercahaya pelangi sebelum hujan,
takkan bersinar indah bintang-bintang
tanpa gelap malam.


Mak mahukan menantu seperti Sami Yusuf. Kalau bawa surah panjang dalam solat pun tidak mengapa kerana suaranya sedap. Misa pula lebih tertarik bayangan Yusuf, pun punya suara yang merdu apabila bertakbir. Malangnya ‘Yusuf’ menolak cinta ‘Zulaikha’ walaupun jarinya terluka.

Tapi Misa, jari yang terluka boleh diubat dengan minyak gamat, luka di hati nak ubat dengan apa?

Ini perjalanan Misa mencari cinta. Empat lelaki seperti empat musim juga. Akhirnya Misa pasrah. Untuk mencari cinta antara Adam dan Hawa, dia harus mencintai dirinya sendiri. Dia harus mencintai Allah

*****
Buah tangan SAIDATUL SAFFAA kali ini dengan lembut mahu membawa anda mencari cinta yang hakiki. Mencintai diri untuk mencintai Allah.

Kak Chik menukil:

Misa melalui empat musim cinta yang memilukan. Namun setiap musim itu mempunyai kisah yang berbeza. Musim pertama cintanya ketika Misa masih anak remaja yang terbuai dengan segala keseronokan dunia. Dia terluka apabila si cintanya tega berpaling arah kepada temannya sendiri. Lalu Misa membawa kelukaan itu bersama ke bumi asing. Lalu Misa terleka dengan angka-angka yang menjadi temannya saban waktu.

Namun ketenangan Misa tergugat apabila mak mahukan menantu seperti Sami Yusuf. Eh, sejak bila pula mak kenal Sami Yusuf ni? Lalu ajakan Azra ke tasik Mendota yang sedang membeku bakal melukakan hati Misa lagi. Kenapa ‘Yusuf’ tega menolak ‘Zulaikha’ sedangkan dia sedang berusaha untuk menjadi makmum yang lebih untuknya? Sedang diuji lagikah dia?

Percutian ketika musim panas di Melaka, di rumah nenek pula telah menemukan Misa dengan ustaz muda yang menarik hatinya. Lalu Misa telah merancang plan ’30 hari mencari menantu untuk mak’. Namun mampukah kesempurnaan Ustaz Mustaqim selamanya terlayang di depan mata Misa?

Dan siapa pula e-Van yang kadang-kadang Misa gelar van elektronik itu? Diakah yang bakal mampu memiliki hati Misa yang terlalu senang jatuh cinta? Apakah si dia itu mahu menyambut huluran kasih yang Misa bentangkan? Atau selamanya hati Misa terluka lagi.

Sudut pandang Kak Chik:

Karya ketiga daripada Saidatul Saffaa selepas Kemilau Mutiara Raudhah dan Damai. Karya yang senang dan lancar dengan kisah yang tidak bercelaru kerana penulis sudah membahagikan kisah itu kepada empat musim yang terasing.

Kisah perjalanan kehidupan Misa yang berubah untuk sesuatu yang lebih baik memang sesuatu yang patut dijadikan contoh walaupun dia sering kali teruji. Walaupun setiap kali terluka, dia bagaikan hilang semangat hidup sehingga terpaksa mendapat khidmat doktor psikologi. Dia diuji dan terus diuji, namun Misa tetap bangkit dengan semangat yang sering ditiup teman yang tidak pernah menilainya melalui zahirnya. Lalu Misa menemui jalan yang lebih tenang apabila dia menemui cinta Allah.

Penulis menulis kisah Misa dengan kemanisan yang ditemui selepas segala kepahitan yang ditempuhi.


LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

0 comments: