Tajuk: Mungkin Nanti
Penulis: Anita Aruszi
Penerbit: Fajar Pakeer (2011)
645 Mukasurat
Harga: RM22.90(SM)/ RM25.90(SS)
Membaca sebuah lagi karya Anita Aruszi membuatkan saya tidak sabar untuk mengetahui pengakhirannya. Mungkin Nanti mungkin tidak banyak menampilkan kelainan dari novel-novel beliau yang terdahulu ( kecuali Kasihku Arina). Namun karya-karya beliau tetap saya suka.
Seperti biasa, watak-watak yang ditampilkan mempunyai kaitan masa silam antara satu sama lain. Aqila Murni, ditampilkan sebagai watak yang kurang sempurna. Walaupun berwajah manis namun, Aqi dilahirkan buta warna. Namun Aqi tidak pernah menyesali hidupnya yang tidak seindah hidup orang lain. Aqi juga tidak pernah mengenali ayahnya sejak lahir kerana ibunya diceraikan saat dia masih dalam kandungan.
Namun, ketika pertama kali bertemu Nadzihar Hakim (Zahar), entah mengapa dia dapat melihat warna-warna yang begitu indah apabila dia memandang Zahar. Walaupun Zahar tidak pernah menyukai Aqi kerana pernah terluka disebabkan seorang wanita yang bergelar ibu, namun takdir menemukan mereka berkali-kali sehingga akhirnya Aqi terpaksa tinggal sebumbung dengan Zahar.
Zahar yang terluka ditinggalkan oleh ibunya kerana mengikut lelaki lain semenjak usia yang masih kecil tidak mampu membuang rasa terluka dan sakit di hati. Oleh sebab itu dia memilih untuk membenci dan tidak pernah membukakan hatinya untuk seorang wanita. Namun, takdir menentukan sebaliknya kerana akhirnya dia sedar dia menyayangi Aqi dan menyenangi kehadiran Aqi dalam hidupnya.
Sanggupkah Zahar menerima selepas dia mengetahui kekurangan Aqila Murni dan sanggupkah dia mengorbankan perasaan hatinya apabila dia mengetahui Aqila Murni mempunyai kaitan dengan penyebab derita yang ditanggungnya selama ini? Lalu adakah Iman yang lebih memahami akan mendapat ruang di hati Aqila Murni?
Dalam keasyikan membaca bab-bab akhir, hati saya sempat merungut apabila tiba-tiba ibu Zahar yang pernah meninggalkan Zahar ketika dia masih kecil dan membuatkan hati anaknya terluka memandai-mandai meminta Aqi meninggalkan hidup Zahar kerana takut Zahar akan terluka lagi selepas mengetahui kebenaran. Apa hak Sri Jalena meminta Aqi meninggalkan Zahar?
Mungkin juga baru pertama kali saya menemukan heroin yang mempunyai masalah ‘colourblindness’. Satu kelainan yang menarik bagi saya.
---
Anita Sang
Jun 16, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment