Jun 16, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (1) : Roti Cicah Susu

Tajuk Buku : Roti Cicah Susu
Penulis : Liza Nur
Penerbit : Buku Prima
Muka Surat : 480
Tahun Terbit : 2011


Novel ini menarik perhatian saya kerana muka hadapannya yang menarik juga tajuk novel ini lain dari yang lain. Novel ini saya pinjam dari sahabat saya dan saya membacanya selama dua hari sahaja. Apabila saya mula membacanya, saya dapati novel ini mempunyai mesej yang sangat mendalam.

Novel ini mengisahkan tentang kebahagiaan dan penderitaan penghuni rumah anak yatim iaitu Teratak Markissa bagi menyembunyikan seorang anak ketua gengster. Mereka semua tiada pertalian darah tetapi kasih sayang antara mereka sangat mendalam. Qaseh Umaira (Mai) seorang budak nakal, petah berkata-kata, comot dan berhingus. Mai suka makan roti tawar cicah air susu. Abang-abang dan kakak-kakak di Teratak Markissa tahu kegemarannya itu dan untuk memujuk Mai hanya belikan roti tawar dan buatkan air susu serta makan bersamanya. Itu sudah cukup untuk memujuknya. Aiman (Ayim) merupakan kawan baik Mai dan dia menyimpan perasaan terhadap Mai. Elmiyya (Elmy) dan Arissa (Aris) merupakan kawan baik mereka. mereka mempunyai abang-abang dan kakak-kakak yang sentiasa melindungi mereka.

Teratak Markissa tidak bertahan lama kerana ia dimusnahkan oleh Geng Tengkorak. Mereka semua berpisah tanpa rela. Ayim diserahkan kepada ahli Geng Tengkorak dan diajar menjadi salah seorang daripada mereka walaupun hatinya membenci kekerasan. Mai dipelihara oleh Si Kaki Dera. Manakala pemilik Teratak Markissa menjaga Elmy. Mereka semua bertemu setelah bertahun-tahun terpisah. Mereka telah mempunyai kerjaya masing-masing. Arissa bekerja sebagai inspektor polis. Mai merupakan seorang wartawan dan penulis novel dengan menggunakan nama Widad. Ayim pula diajar menjadi seorang ahli Geng Tengkorak walaupun Ayim benci akan keganasan dan kekerasan. Mereka bertemu sewaktu masing-masing mempunyai agenda tersendiri dalam membongkar kegiatan keji Geng Tengkorak, dalam masa yang sama kegiatan mereka tidak diketahui oleh sesiapapun diantara mereka. Pelbagai rintangan dan kejutan yang mereka hadapi. Abang Zul merupakan pembunuh upahan nombor 1 bagi Geng Tengkorak. Abang Nazri pula pengikut Geng Tengkorak yang terawal dan dia jugalah dalang kematian Kak Raudhah. Nyawa mereka semua dalam bahaya. Mai dan Aris berlindung di rumah kenalan Aris, tanpa mereka sedari tuan rumah tersebut merupakan ketua Geng Tengkorak.


Sinopsis Belakang

Umaira (Mai) dibesarkan bersama Elmiyya (Elmy), Arissa (Aris) dan Aiman (Ayim) di sebuah rumah kebajikan, Teratak Markissa. Sebelum dewasa, Teratak Markissa musnah angkara Geng Tengkorak. Mereka semuanya berpisah. Mai terpaksa tinggal bersama si kaki dera. Ayim diserahkan kepada Haidar, konco kanan Geng Terkorak. Walaupun bergelar penjenayah, Ayim benci pada keganasan dan sikap kejam Haidar. Hobinya adalah membaca novel-novel cinta hasil karya Widad Qameela. Pertemuan Widad dan Ayim di dalam penerbangan ke Malaysia telah membawa kejutan. Widad rupa-rupanya adalah Mai, si comot berhingus yang pernah bergerak bagaikan kembar siam dengannya dulu. Bagaimana pula dengan rakan-rakan lama mereka yang lain?

---
Nur Amalina

0 comments: