Tajuk : Aku Kan Novelis
Penulis: Nurul Syahida
Penerbit: Buku Prima (2010)
455 Mukasurat
Harga: RM17.90 (SM)/ RM20.90 (SS)
Aku Kan Novelis merupakan karya kedua Nurul Syahida yang saya pernah baca. Walaupun pernah membaca dua karya beliau tidak bermakna saya sudah faham benar cara penyampaian penulis ini. Namun apa yang saya dapat rasakan, Valentina Nervosa dan Aku Kan Novelis ini mempunyai persamaan dari cara penulis menampilkan satu-satu watak. Saya akui begitu tertarik untuk mendapatkan novel ini selepas beberapa kali membaca komen-komen yang positif dari resensi pembaca-pembaca yang lain. Sejujurnya kalau perlu memilih antara dua novel ini, saya lebih suka Aku Kan Novelis.
Saya tidaklah begitu arif untuk menilai istimewanya novel ini dari segi apa. Namun, yang pasti, di dalam novel ini saya temui kelainan. Jalan ceritanya bukanlah kisah yang membelai jiwa dan membuat anda ingin menangis. Jadi pembaca yang sukakan cerita sebegitu mungkin tidak dapat menerima cara penyampaian penulis ini ( saya dan rakan-rakan sudah terlalu kerap berbeza pendapat tentang novel-novel yang saya suka tetapi mereka tidak suka dan begitulah sebaliknya). Benar, kerana masing-masing berbeza citarasa.
Safiah Shuhaimi atau Safi saya rasakan seorang yang serba tahu apa yang dia lakukan dan dia merasakan dialah penyelesai masalah bagi dua kawan karibnya Helmi dan Iza yang dibelengu masalah perhubungan. Disebabkan usahanya juga, Helmi dan Iza menjadi pasangan bahagia. Semuanya terjadi kerana ‘diakan seorang novelis’, dia faham masalah orang lain dan dia dapat menyelesaikan masalah mereka. Namun, Safi sendiri tidak pernah jatuh cinta apatah lagi bercinta.Mengapa dia boleh berlagak bagai ‘doktor cinta’ dengan kawan-kawannya malah telah menulis novel-novel cinta yang mendapat sambutan?
Masalah sebenar Safi bermula apabila dia dipertemukan dengan Roul atas aturan yang Helmi dan Iza buat. Niat mereka untuk memberi masalah kepada Safi dan biarlah Safi menyelesaikan masalah itu benar-benar menjadi. Bertemu Roul tidak seperti dia bertemu lelaki normal ( normal menurut pandangan Safi) kerana Roul, rambutnya merah, mata kanannya juga merah, Safi juga perasan yang telinganya bertindik. Malah bicara Roul juga bukanlah bicara lelaki budiman, bicaranya penuh dengan carutan.
Berapa ramai wanita yang sanggup bertemankan lelaki seperti Roul? Saya tersenyum sendiri apabila Roul memangil Safi,’Lulu’ kerana telinga Safi tidak suka mendengar panggilan ‘lu’ dan ‘gua’ yang Roul gunakan. Kedengaran comel sangat.
Adakah Safi dapat menyelesaikan masalahnya yang satu itu? Dapatkah Safi memandang Roul dengan hatinya tanpa melihat rambut dan matanya yang berwarna merah?Kalau anda sukakan karya yang santai, karya ini boleh anda pertimbangkan untuk dibaca. Permulaan yang agak perlahan namun,pembacaan saya lebih menjadi berwarna-warni selepas kemunculan Roul dalam hidup Safi.
---
Anita Sang
Jun 8, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
sy sgt suka buku ini!
ya..ada something yg lain drp yg lain ;)
sy pun sukaaaaa...best sgt...
Post a Comment