Tajuk: Langsir Biji Remia
Penulis: Noor Suraya
Penerbit : JS Adiwarna ( 2011)
263 mukasurat
Harga: RM 17 (SM)/ RM19 (SS)
Disaat memegang novel ini hati berbunga ria kerana tidak menyangka dapat naskah yang istimewa ini berserta tandatangan penulis lagi. Lagipun saya tidak pernah mendapatkan novel JS Si Manis 17 dan saya tidak tahu apa perbezaannya dengan novel umum yang kerap kali saya baca. Namun hati tertanya-tanya juga, sesuaikah novel Si Manis 17 ini untuk saya yang sudah 3 kali ganda di luar lingkungan 17 ini? Malah rakan-rakan yang berkongsi membaca novel turut tertanya-tanya.Nantilah, akan saya kongsikan apa yang saya rasa tentang novel ini dengan mereka.
Setiap karya Noor Suraya yang saya baca tidak pernah hanya memberi rasa keseronokan membaca semata tetapi dipenuhi dengan ilmu-ilmu yang diselitkan dalam setiap ayat bahasanya yang indah terjalin. (Bukan juga bermakna novel-novel lain yang saya baca tidak menyampaikan atau menyelitkan ilmu kepada pembaca-pembacanya. Setiap satu novel yang saya baca membawa makna yang tersendiri buat saya).Tidak usahlah dilihat dari segi bahasa yang digunakan, memang berada dalam kelas yang tersendiri,punya tarikan untuk terus dihayati.
Dalam novel ini, anda bukan saja membaca kisah Duha Hafa dan Umair.Diselitkan juga secara halus pandangan masyarakat kini terhadap bahasa dan sastera bangsa Melayu itu sendiri.Juga anda dibawa menyertai perjalanan Duha mengerjakan umrah, tempat pertemuan pertama dengan Ahmad Muhsin.Malah anda juga berpeluang menemui hidup rukun keluarga Duha Hafa walaupun berlainan rumpun namun hidup dalam penuh keserasian dan kebahagian.(Memang sesuai dibaca oleh semua peringkat umur ).
Duha Hafa rakan sembang tingkap Umair zaman kanak-kanak. Dalam usia yang begitu muda juga, Umair sudah menyimpan hatinya untuk Duha. Duha yang cantik. Duha yang matanya bundar sayu seperti mata unta. Selepas sepuluh tahun, mereka bertemu semula. Namun Duha sudah berubah menjadi seorang yang pendiam dan memakai purdah hitam. Umair yang masih ‘menyimpan’ wajah Duha yang cantik di hatinya merasakan sudah masanya dia berterus-terang dan mengikat Duha sebelum Duha diambil orang lain. Namun, Umair tidak dapat menerima Duha selepas melihat wajah Duha yang baru. Malah Umair tidak sanggup memandang Duha dengan rasa cintanya lagi. Dia juga menghindar dari Duha. Amat tidak budiman Umair walaupun dia memberikan seribu alasan (untuk menunjukkan yang dia bukan lelaki jahat)untuk tindakan dan layanannya terhadap Duha.
Mungkin sudah tertulis bahawa wanita yang baik hanya untuk lelaki yang baik dan begitu juga sebaliknya. Duha Hafa mendapat Ahmad Muhsin yang sentiasa memandang indah wajah Duha kerana dia melihat hati dan peribadinya. Manakala Umair mendapat Tamara Talib Winstedt yang dia pandang cantik luarannya macam perhiasan tetapi tidak mampu menjadi seorang ibu dan isteri sebaik Duha Hafa.
Ingin sekali saya mengetahui lanjutan kisah Amar dan Zara, rakan sembang tingkap yang baru. Andai ada kisah Amar dan Zara, biarlah Amar tidak seperti Umair.Biar dia tidak seperti Umair yang hanya memandang yang cantik saja dan biar juga dia tidak seperti Umair yang hanya mengatur kata yang tidak mampu dikota.
---
Anita Sang
Jun 8, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment