Jun 3, 2011
SAL: Cabaran 50 Buku: (7) Langsir Biji Remia
Tajuk novel : Langsir Biji Remia
Penulis : Noor Suraya
Terbitan : Jemari Seni
Blurb:
Duha, pandanglah mataku yang berbisik... Kalau hati ini memang sebatang pena, tintanya tentulah daripada pelangi tujuh warna
lalu kenapa tidak saja dikirimkan sepucuk surat cinta pada dia?
Duha Hafa anak tunggal Dr. Hud Othman dan Puan Taslima. Dia cantik dengan mata bundar sayu seperti mata unta di padang pasir. Umair terpikat sejak dia masih kecil lagi.
Sepuluh tahun berlalu dan mereka bertemu semula. Kini Duha Hafa sudah memakai purdah hitam, dan dia bukan lagi gadis periang dan ramah. Kenapa dia berubah? Apa yang tersembunyi di sebalik purdah hitam itu?
Langsir Biji Remia mengajar kita bersyukur dengan nikmat daripada Dia.
* * * *
Kelebihan karya NOOR SURAYA terletak pada bahasanya yang lembut berserta ceritanya yang memikat. Pemegang ijazah Sarjana Linguistik daripada Universiti Malaya ini menulis dengan hatinya. Disiplin menulisnya diterap sejak menjadi pelajar Komunikasi di Universiti Sains Malaysia lagi. Munsyi Dewan ini pernah memenangi beberapa hadiah penulisan antaranya Hadiah Utama Sayembara Cerpen Esso-Gapena IX (1992) dan Hadiah Penghargaan Menulis Cerita Kanak-kanak Mobil-DBP (1998).
Ulasan novel:
Umair dah Dura Hafa. Bagaimana Dura Hafa yang berselindung di sebalik purdahnya. Rupanya disebalik mata yang cantik itu terselit kedukaan berpanjangan. Bukan senang hendak menjadi seorang Dura Hafa yang sentiasa rasa rendah diri dan kurang yakin.
Ceritanya seperti ini:
Mereka berdua adalah jiran sejak kecil, dari kecil rupanya si Umair ni memendam perasaan pada Dura Hafa anak pakcik Hud jiran sebelah. Umair ni tak dapat tengok Dura Hafa, dapat tengok langsir warna biji remia tu pun jadi. Angau sungguh mamat ni!
Betul, Umair ni angau sampai sanggup aja terima tawaran kak Huda dan kak Ain untuk kerja di kedai buku Ceritalah Lagi tu. Semuanya disebabkan oleh si Dura Hafa yang dia puja sejak bertahun-tahun tu. Saya tidak faham cinta Umair ni berdasarkan apa? Adakah berdasarkan kecomelan Dura Hafa ketika kecilnya atau kecantikan mata bundar milik gadis itu ketika dewasa?
Umair tidak pernah mengetahui bahawa Dura Hafa itu cacat wajahnya dan kerana rasa rendah diri itulah dia melindungi wajahnya. Bayangkanlah betapa sakitnya jiwa Dura Hafa apabila Umair sangat terkejut apabila memandang wajahnya yang sebenar, selepas Umair menyampaikan niatnya untuk hidup bersama dengan Dura Hafa.
Tulisan noor Suraya membawa kita melayari kehidupan Dura Hafa dan tanpa kita sedari, kita turut terheret sama rasa rendah diri Dura Hafa apabila Umair seperti ingin melarikan diri.. bagi saya melarikan dirilah tu tapi bagi orang lain saya tak tahu. Hendak saja saya katakana begini pada Umair. Umair, kalau tak hendak pada anak dara orang tu katakana saja awak dah ubah keputusan. Tak perlulah nak ada rasa bersalah atau apa saja. Tak perlu suruh orang tunggu tanpa keputusan pasti.
Ada satu petikan dalam cerita ni saya suka: “Ayah sentiasa suruh saya lihat wajah ibu lama-lama. Dengan cara itu, kita akan lihat ibu cantik sangat. Cantik itu datang daripada hati kata ayah, bukannya hanya pada muka. Orang ikhlas dan mulia nampak cantik!”
Awak semua kena baca cerita ni. Novel kategori si Manis 17 ni nipis saja tetapi nipis tidak bermakna kita tidak puas. Sungguh ini adalah kali pertama saya membaca novel bahasa melayu yang nipis tanpa ada perasaan ralat atau tidak puas. Saya sendiri terkejut dengan novel Langsir Biji Remia ni. Ringkas, padat, puas dan penuh semua perasaan! Paling penting sangat sesuai anak remaja yang poketnya nipis tu. Novel ni murah aja adik-adik. Kalau kumpul duit 50sen sehari selama 30 hari. Dapatlah kumpul Rm17.
Nota; saya nak selitkan juga sesuatu. Saya pun pernah alami cerita Umair dan Duha ni. Bukan bercinta ya! Cuma masa kecil saya ada jiran nama Jazmi. Dia lelaki dan kita pun selalu berbual ikut tingkap. Selain rumah sebelah menyebelah, sekolah kita pun sebelah-sebelah. Saya MGS dan Jazmi MBS. Selalulah Jazmi buat lawatan tepi pagar sekolah saya tu. Sungguh! Kawan saya hanyalah Jazmi ketika itu. Dia anak tunggal dan dia sangat baik. Paling penting emak dia ada kedai makan yang masakannya sedap.
Sayangnya sekarang ni dia dah toing toing sikit sebab terlebih enjoy dan terlebih makan pil khayal yang macam-macam tu. Kali terakhir saya jumpa dia dalam empat lima tahun lepas. Sedih tahu apabila dia sudah tidak kenal saya yang pernah jadi best friend dia ni!
Saya harap, walau apa pun keadaan Jazmi sekarang. Saya doakan yang terbaik untuk dia dan saya juga nak dia tahu yang saya sayang sangat pada dia sebab dia adalah best friend forever saya.
---
Salmah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment