Jun 6, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (26) Lasykar Pelangi

Tajuk: Lasykar Pelangi
Penulis: Andrea Hirata
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd (2009)
456 Mukasurat
Harga: RM28 (SM)/ RM31 (SS)

Pertama kali membaca karya sebegini. Perasaan dan beban pembacaan tidak seperti saya membaca novel-novel yang lain. Hampir 2 minggu saya cuba membaca dan memahami jalan cerita. Walaupun agak sukar tapi saya tetap berpuas hati dengan apa yang disampaikan oleh penulis. Ternyata begitu banyak perlajaran kehidupan yang boleh dinikmati melalui karya pertama Andrea Hirata ini.

Kisah ini adalah perjalanan kehidupan sebelas anak-anak Melayu Belitong dalam mengenal erti pendidikan dan perjalanan hidup di sekolah kampung Muhammadiyah yang ternyata tidak mudah kerana dibelit kemiskinan. Namun kesungguhan mereka untuk mendapatkan ilmu memang sangat mengagumkan. Mereka tidak pernah menyerah kalah walaupun keadaan tidak selalunya menyebelahi mereka.Alangkah bagusnya sekiranya anak-anak muda sekarang ini mempunyai semangat seperti mereka untuk mengubah hidup melalui dunia pendidikan dan pengajaran yang diperolahi melalui kehidupan.

Siapa sangka di sekolah yang begitu daif lahir seorang genius,Lintang, yang telah mengharumkan dan mengangkat nama sekolah Muhammadiyah itu. Namun disebabkan tuntutan kehidupan yang begitu sukar telah menyebabkan segala keistimewaanya seolah terbuang begitu saja. Bukan saja Lintang, malah Mahar, Syaban, Kucai juga mempunyai kebolehan dan keistimewaan yang tersendiri.

Namun bukan semua mereka mampu meneruskan cita-cita mereka. Namun bukan juga apabila tidak dapat mengapai cita-cita, peluang kehidupan tertutup terus buat mereka. Apa yang pasti segala ilmu kehidupan yang diterapkan dalam jiwa mereka sejak dari sekolah Muhammadiyah lagi kekal melekat di sanubari di kesebelas anak-anak muda tersebut.

Bagi saya, novel ini perlukan seseorang itu bersabar dengan cara penyampaian penulis yang dapat saya rasakan begitu terperinci untuk menerangkan sesuatu. Kagum. Itulah yang saya dapat simpulkan. Namun mungkin saya bukan pembaca yang baik bagi karya-karya sebegini. Namun saya tidak akan menolak untuk membaca novel yang berada di luar kebiasaan novel yang saya selalu baca.

Mungkin bagi yang tidak suka mengambil masa membaca novel ini, boleh saja terus menonton filem ini di televisyen.

---
Anita Sang

0 comments: