Tajuk: Sayangku Merajuk
Penulis: Ayu Emelda
Penerbit : Alaf21 (2011)
504 Mukasurat
Harga: RM21(SM)/RM24 (SS)
“Jangan dipendam rasa amarah,kelak hati yang parah. Jangan dilayan rasa kecewa, kerana jiwa pasti merana.”
Sayangku Merajuk, sebuah karya yang berjaya menyentuh hati dan membuatkan air mata saya bergenang (mungkin kalau rakan lain yang membaca boleh sampai merah mata kerana menangis). Menarik, walaupun mungkin bagi orang lain biasa-biasa saja.
Rasa geram dan tidak puas hati betul dengan tindakan Aireen yang begitu tegar hatinya untuk membenci dan mendendami Shahir, suaminya. Kekadang sakit hati juga bila dengan selamba dia keluar berdua dengan Zarul sedangkan dia tahu dia masih isteri Shahir. Sedangkan Shahir hanya mampu memandang dengan hati yang bagai disiat-siat saat isteri tercinta melebihkan kekasih hati berbanding suami sendiri. Berdiam bukan bermakna Shahir suami yang dayus tetapi dia ingin memberi ruang kepada Aireen untuk berlajar menerimanya kembali secara perlahan-lahan. Memang kekadang dapat dirasakan betapa penat dan terseksanya saat Shahir ingin menjernihkan kembali hubungannya dengan Aireen. Nasib baik adik iparnya Hanis, ibu mertuanya dan dua anak kembarnya dengan cepat dapat menerima Shahir kembali dan merasakan Shahir memang patut mendapat peluang kedua. Mereka memang betul-betul ‘sporting’.
Benarkah tiada lagi cinta di hati Aireen buat Shahir sehingga dia bertekad untuk menikahi Zarul? Benarkah juga tahap kesabaran Shahir sudah sampai ke penghujungnya untuk memujuk Aireen sehingga dia terpaksa melafazkan talak? Sedangkan bagi dia, cintanya kepada Aireen adalah yang pertama dan Aireen jugalah bakal wanita terakhir yang akan dicintainya. Rasa hendak gelak tergolek juga ketika melihat reaksi Aireen apabila Hanis seolah mengiakan yang dia memang sedang menjalin hubungan dengan Shahir. Menurut Hanis tiada salahnya kerana antara Aireen dan Shahir tiada lagi ikatan suami isteri. Menurut Aireen, Hanis memang tidak patut bersama Shahir kerana dia tidak ingin melihat Hanis terluka seperti dia yang pernah dilukai oleh Shahir 5 tahun lalu.Benarkah begitu? Atau Aireen yang tidak sanggup Shahir memilih wanita lain? Bagaimana dengan dia seendiri yang bertekad meenikahi Zarul? Adakah Shahir ada rancangan lain untuk meraih semula cinta Aireen? Apa pula tindakan Aireen? Benarkah apa yang dia rasa benci atau dia sememangnya merajuk ditinggalkan Shahir suatu ketika dulu?
Saat Aireen dan Shahir masih meraikan cinta dan bulan madu mereka, Shahir terpaksa kembali ke Malaysia. Namun dia berjanji akan kembali tetapi ternyata dia tidak menepati janjinya untuk kembali. Hanya selepas 5 tahun barulah Shahir kembali dalam hidup Aireen dan anak-anaknya yang tidak pernah dia ketahui kewujudannya. Memang sewajarnya Aireen terluka, kecewa dan seterusnya membenci apabila Shahir tidak mampu memberikan jawapan sewajarnya kepada setiap persoalan selama 5 tahun dia ditinggalkan tanpa khabar berita.Namun sekiranya dia memberi ruang dan menyalurkan kemaafan kepada Shahir, mungkin Shahir tidak perlu melafazkan talak. Mungkin juga hati Shahir tidak akan terluka mendengar penghinaan yang dilemparkan oleh Aireen. Mungkin juga Aireen tidak merasa terusik hatinya saat menyangka Hanis akan bertunang dengan Shahir.Rahsia apakah yang terpaksa Shahir pendamkan sehingga dia lebih sanggup menerima segala kelukaan daripada menerangkan hal yang sebenarnya kepada Aireen. Mampukah Shahir memujuk Aireen dan memenangi semula cinta Aireen?
Semua jawapan ada dalam Sayangku Merajuk. Jalan cerita yang menarik dan berwarna-warni. Ada duka dan ada cerianya. Saya suka.
---
Anita Sang
Jun 20, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Anda sudah membaca Sehangat Asmara karya Aina Emir?
Ceritanya mempunyai jalan cerita yang hampir sama. Mengisahkan hero & heroin berkahwin di luar negara. Suami terpaksa kembali ke tanah air dengan janji akan kembali semula.
Namun, pertemuan yang dijanjikan hanya terjadi selepas sembilan tahun. Kehadiran anak yang pada mulanya ingin disembunyikan terus dari pengetahuan hero telah menyemarakkan lagi rusuh hati heroin. Dendam, rindu, kasih dan sayang masih tersemat di hati masing2 walau sembilan tahun masa berlalu.
Cerita yang dijalin dengan amat baik dan berkesan meruntun hati untuk terus membaca. Kisah pengorbanan, kasih sayang dan tanggungjawab terhadap keluarga serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi mendominasi cerita ini.
Salam Sabariah,
:) kakwan rasa Sehangat Asmara bukan karya Aina Emir tetapi karya Aisya Sofea juga terbitan Alaf 21.
Akan cuba mencari novel Sehangat Asmara. Setakat ini belum bertemu :)
Anita,
kalau benarlah Sehangat Asmara karya Aisya Sofea... itu antara novel kesukaan kakwan :) Mungkin sukar sikit nak dapat, kecuali berhubung terus dengan Alaf kerana itu novel lama :)
O..mungkin sebab tu saya tak pernah terjumpa. Lagipun saya masih baru lagi dalam membaca novel ni ;).
sehangat asmara saya dah baca terbitan alaf 21 karya aisya sofea. buku lama tu..
Post a Comment