Penulis: Nazurah Aishah
Penerbit: Jemari Seni ( Julai 2011)
513 Mukasurat
Harga: RM20 (SM)/ RM23(SS)
Sudah lama habis dibaca namun baru kini ada kesempatan untuk berkongsi apa yang saya rasa tentang karya terbaru Nazurah Aishah, Bening Merah Jingga. Karya yang ditunggu-tunggu dan memang saya sentiasa suka dengan cara penulisan penulis ini. Hampir ada persamaan dengan gaya penulisan seorang penulis yang saya rasa dari negeri yang sama, tetapi tetap ada kelainan. Mungkin yang samanya adalah, sentiasa ada kehadiran watak-watak dari novel-novel yang terdahulu. Bagi sesiapa yang mengikuti karya-karya Nazurah Aishah akan mengenali siapa mereka. Kehadiran watak-watak ini bukan saja berjaya mewarnai jalan cerita tetapi berjaya mendekatkan pembaca dengan watak-watak tersebut.
Mengenali mereka dari rasa hatiku:
Ellina:
Tidak perlu digambarkan dengan teliti wajah dan rupa Ellina. Hanya dengan membaca gerak-gerinya dan tutur katanya, hati saya telah terpikat. Seorang gadis yang tegas dalam lemah-lembutnya dan jarang sekali menampakkan hatinya yang berduka kerana sentiasa dianggap orang luar oleh Haji Idris. Malah rasa terseksa kerana dia terpaksa menjauhi Ehsan begitu terasa.Mencintai tidak bermakna dia harus memiliki.
Ehsan:
Boleh saja pembaca yang membaca novel ini suka atau tidak suka dengan Ehsan. Memang pada mulanya hati berkata, Ehsan hanyalah contoh lelaki yang hanya pandai berkata cinta tetapi apabila badai melanda, sudah bersedia angkat kaki. Namun apabila membaca keseluruhan ceritanya, Ehsan tidaklah seteruk itu. Dia hanya menunaikan tanggungjawab sebagai anak yang mentaai ayahnya walaupun hatinya tidak pernah merelakan Ellina jauh darinya. Mungkin ada baiknya pengakhiran bagi watak Ehsan disudahkan sebegitu, agar dia sentiasa diingati dan kekal di hati pembaca.
Hannan:
Mengenali watak Hannan melalui novel Syud, saya sudah tidak sabar ingin mengetahui lanjutan kisah duda anak satu ini. Terpaksalah saya membelek helaian terakhir walaupun bacaan baru di bab yang kedua. Ruang kedua yang diberikan kepada Hannan untuk menjaga hati seorang wanita tidak dia persiakan dengan kesungguhannya untuk menawan hati Ellina. Mungkin rasa bersalah kerana pernah mengabaikan arwah isterinya menyebabkan perwatakannya bertukar menjadi seorang lelaki yang lebih perihatin dengan perasaan wanita. Bagi saya, Ellina begitu bertuah mengenali Hannan yang baru.
Apa-apa pun membaca Bening Merah Jingga bukan sekadar bermain dengan emosi. Malah kalau diteliti terselit sesuatu yang lain, luahan hati kepada pihak parti-parti politik( walaupun hanya diselitkan sedikit saja). Bukan bertujuan membangkang tetapi sekadar menyuarakan apa yang fakta dan realiti. Tidak juga menunding jari kepada mana-mana pihak.
---
Anita Sang
2 comments:
Anita,
Terima kasih kerana mengenali Ellina, Ehsan dan Hannan. Terima kasih kerana memahami mereka juga.
Ulasan yang indah :)
Love,
Naz
Sama2.. :).Sentiasa menantikan karya2 terbaru anda kerana watak2 nya sentiasa lekat di hati. :)
Post a Comment