Aug 20, 2011
UA : Cabaran 50 Buku : (3) Roti Cicah Susu
Judul : Roti Cicah Susu
Penulis : Liza Nur
Terbitan: Grup Buku Karangkraf – Buku Prima
Halaman: 476 m/s
Cetakan 1 - 2011
Kulit belakang novel :
Umaira (Mai) dibesarkan bersama Elmiyya (Elmy), Arissa (Aris) dan Aiman (Ayim)di sebuah rumah kebajikan, Teratak Markissa. Sebelum dewasa, Teratak Markissa musnah angkara Geng Tengkorak. Mereka semuanya berpisah. Mai terpaksa tinggal bersama si kaki dera. Ayim diserahkan kepada Haidar, konco kanan Geng Tengkorak. Namun, Ayim benci pada keganasan Haidar. Hobinya adalah membaca novel-novel cinta hasil karya Widad Qameela. Pertemuan WIdad dan Ayim di dalam penerbangan ke Malaysia telah membawa kejutan. Widad rupa-rupanya adalah Mai, si comot berhingus yang pernah bergerak bagaikan kembar siam dengannya dulu. Bagaimana pula dengan rakan-rakan lama mereka yang lain?
Aku takkan biarkan putaran masa lumpuhkan kenangan kita. Mungkin sekarang kau dah besar, dah lawa. Tapi, bagi aku, kau tetap budak comot yang berhingus macam dulu. Tak kira apa pun yang jadi, aku akan tetap sayang kau sampai bila-bila. Cuma aku takut untuk mendampingimu, Mai. Sebab aku juga bukan Aiman yang dulu. – Ayim
Aku memandang awan mega dari sudut terpencil. Putihnya, tulusnya, tidak kulihat di hati mereka yang aku cintai, mereka yang kupanggil saudara. Aku mahu melangkah di atas angin, cuba menjejak istana kayangan di kaki langit. Sedangkan aku tahu, tubuh berdosa ini akan jatuh menghentam bumi, takkan sampai ke taman larangan yang aku impikan. – Mai
“Jo, Aris terima Jo seadanya. Walaupun orang panggil Jo lembik, sotong. Dulu Aris angkuh, Aris pandang rupa dari hati yang ikhlas. Sekarang barulah Aris faham, cinta sejati bukan tafsiran mata. Mata hanya mampu memandang bukan merasa dan menilai.” – Aris
Bicara Ummu Ammar :
Novel ketiga karya Liza Nur bersama dengan Buku Prima kali ini mempunyai sedikit kelainan berbanding novel-novel sebelum ini. Melihat tajuknya sahaja membuat hati saya melonjak ingin mengetahui apakah kaitan kisah penceritaan dengan tajuknya. Dan saya telah mempunyai jawapannya seawal bab tiga. Roti tawar cicah susu merupakan makanan kesukaan Mai dan menjadi suatu kebiasaan untuk mereka memujuk Mai dengan roti tawar cicah susu.
Menyingkap kisah hati anak-anak yatim yang telah dibesarkan di Teratak Markissa. Mai, Ayim, Aris dan Elmy. Empat sahabat yang sanggup berkorban antara satu sama lain walaupun perasaan cemburu Elmy terhadap Mai sangat menjulang tinggi. Kasih sayang antara mereka dan juga penghuni Teratak Markissa dapat dirasai sedangkan antara mereka tiada pertalian darah mahupun DNA.
Disangkakan panas hingga ke petang, namun hujan di tengah hari, Teratak Markissa yang dahulunya dipenuhi dengan gelak tawa dan bunga bahagia direntap dengan satu kejadian hitam yang telah menimpa Raudhah dan Pak Lok. Raudhah telah dirogol dan dibunuh manakala Pak Lok turut dibunuh semasa dalam perjalanan ke rumah sahabat Raudhah. Mula saat itu, penyumbang terbesar Teratak Markissa menarik diri dari terus menyumbang dan membekalkan wang untuk kegunaan anak-anak. Hakikatnya, pembunuhan Raudhah dan Pak Lok merupakan satu propaganda Geng Tengkorak untuk mendapatkan anak kandung kepada Big Bos Geng Tengkorak.
Dan bermulalah episod perpisahan antara mereka. Mai dengan si pendera, Ayim dengan Haidar si ganas yang merupakan konco Geng Tengkorak. Jasad mereka terpisah dek ruang dan waktu tetapi hati mereka tetap bersatu. Tiap denyutan nadi dan degupan jantung, tiap kali itu juga rindu mendenyut. Debaran demi debaran mencuit hati saya dalam terus mengharungi kisah mereka hingga ke penamat. Penulis begitu bijak mencetuskan rasa cemas dalam cerita. Semuanya berkaitan antara satu dengan yang lain tanpa sedar.
Antara pengajaran yang diperolehi daripada bingkisan Liza Nur kali ini ialah
1. Rasa cemburu perlulah dijauhi kerana secebis rasa itu boleh merosakkan segalanya. Sebagai contoh, Nazri yang sanggup berbunuhan hanya kerana cemburukan Zulkifli dan hal ini turut berlaku di dalam Geng Tengkorak itu sendiri.
2. Keterikatan hati antara mereka (Ayim, Aris, Mai, Elmy, Zul) sangat teguh dan utuh sehingga sanggup mengorbankan nyawa sendiri hanya untuk melihat adik-beradik mereka selamat.
3. Pentingnya untuk kita berfikir sebelum bertindak kerana salah tingkah, rosak masa depan kita seperti Zul yang telah membunuh Razak kerana mengesyaki Razak yang bertanggungjawab membunuh Raudhah dan Pak Lok.
4. Mereka menerima seadanya baik dan buruk tentang sahabat mereka. Walaupun Aiman telah dipenjara, sahabat-sahabatnya tidak pernah membuang Aiman, tidak seperti dunia luar sekarang yang memandang serong pada seorang banduan.
Antara benci dan sayang, percayalah perasaan sayang itu lebih kuat. Cinta suci dan ikhlas itu akan menghapuskan rasa benci.
---
Ummu Ammar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment