Tajuk buku : Kau Sayangku
Penulis : Bikash Nur Idris
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 418 m/s
Ulasan Ain Sabrina :
Arissa Nurailiz, gadis yang tampak gembira sentiasa, rupanya memendam masalah dan duka. Dendam makciknya, Marina juga kematian kembarnya , Ayana Nurailin sering membawa duka di hati Arissa Nurailiz.
Kisah dimulakan dengan watak Eddy Sham yang seringkali cuba mengintai kasih Arissa. Arissa jelas menunjukkan rasa tidak senang hatinya dengan sikap Eddy namun Eddy masih tidak faham. Geram dengan sikap Eddy, akhirnya Arissa membuat cerita, kononnya dia sudah bertunang dan nama tunangnya Akif Zamani. Nama itu terkeluar dari mulut Arissa tanpa sedar sedangkan dia tidak pernah kenal sesiapa dengan nama itu.
Arissa terperangkap dalam penipuannya apabila watak tunangnya tiba-tiba muncul apabila bos barunya bernama Akif Zamani. Mengetahui penipuan itu, Akif Zamani mengunakan kesempatan itu untuk membuli Arissa. Arissa dibuli terus-terusan sampaikan dia ada menyimpan niat untuk berhenti kerja namun niatnya tertunai apabila tiba-tiba Akif memecat Arissa.
Rupanya segala tindakan Akif adalah untuk mengambil hati Arissa. Akhirnya kasih termetrai antara mereka. Namun kisah mereka banyak dugaan. Shareen, kekasih lama Akif yang juga anak saudara Makciknya, Marina cuba membuat onar sehinggakan Akif ditangkap basah dengannya. Tidak cukup dengan itu, juga ada kisah Arissa dicederakan sehingga dia hilang 2 bulan tanpa khabar berita. Dia muncul sebagai Anya yang lupakan segalanya tentang Arissa. Dengan berkat usaha orang sekeliling, Arissa berupaya mengingat kembali semuanya termasuk watak Eddy namun watak Akif masih kabur. Lalu kisah lalu berulang kembali apabila Akif terpaksa sekali lagi mengambil hati Arissa sedangkan Arissa makin rapat dengan Eddy.
Mampukah kisah mereka dan kasih mereka kembali bertaut?
Komen Ain Sabrina :
Buku ni antara buku yang paling saya suka zaman sekolah menengah. Pertama kali baca novel ini di asrama sekolah, pinjam novel ini dari seorang kawan. Selepas itu saya bagaikan angau dengan watak Akif Zamani sampaikan semua kawan-kawan satu bilik belajar di asrama dulu tahu. Dan untuk hadiah akhir tahun tingkatan 5 ada seorang sahabat saya ni hadiahkan saya buku ini. Memang manis kenangan buku ini. Novel ini turut dibuat drama siri di TV1 yang bertajuk Dari Mata Arissa.
Sebab apa saya suka buku ini?
Ayatnya sempoi dan lebih kepada keremajaan, sesuai dengan jiwa remaja.
Banyak juga dialog dan kisah kelakar, lebih-lebih lagi kisah Arissa dengan Akif di saat awal perkenalan mereka.
Watak Akif Zamani dan watak Arissa Nurailiz yang percayakan antara satu sama lain dan sangat menyayangi keluarga kedua-dua belah pihak.
Kisah suka duka nya bercampur dan kisah dukanya tidak keterlaluan sangat memandangkan adanya watak Akif Zamani yang sentiasa membantu dan memberi sokongan kepada Arissa.
Kesimpulannya saya suka sangat kisah ini sebab watak akif zamani tu la ^^
Aug 9, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment