Aug 19, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (22) Bagaikan Puteri


Tajuk buku : Bagaikan Puteri
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 574 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Bagaikan Puteri , kisah fiksyen yang ada dua zaman. Satu kisah di penghujung kurun ke-15 dan satu lagi kisah di abad-21. Kisah yang tak terjangkau akal.

Kisah di penghujung kurun ke-15, dikisahkan seorang laksamana hebat yang digelar Laksama Sunan yang nama sebenarnya adalah Saifudin. Di sebalik kehebatannya sebagai laksama, ada kisah lama yang tersembunyi. Kisah lalu yang menyebabkan dia membawa diri jauh dari kampung Punggor, Tanah Melayu ke Acheh. Namun, setiap yang berlaku ada hikmahnya, kerana kisah lalu yang menemukan dia dengan Wali Sufi dan menjadikan dia laksamana Sunan yang terkenal.

Rindu dengan kampung halaman dan setelah mendapat kebenaran dari Wali Sufi, Saifudin membawa langkah kembali ke Kampung Punggor. Di dalam perjalanan, dia dipertemukan dengan Haryani.

Haryani, gadis abad 21 yang tesesat di penghujung kurun ke-15 setelah koma ekoran kes ragut. Muncul di penghujung kurun ke-15 membuatkan dia buntu, lupa asal-usulnya. Pemakaian dan gaya percakapan yang berbeza membuatkan yang lain menyangka dia puteri dari Majapahit. Pertemuan dan perkenalan antara Saifudin dengan Haryani membibitkan rasa cinta antara mereka. Namun tiada luahan tetapi mereka seakan faham rasa yang ada dalam diri masing-masing.

Haryani lupa kehidupannya di abad 21 dan makin selesa dengan kehidupannya di kurun 15. Sedangkan keluarga Haryani di abad 21 berduka melihat Haryani koma dan terlantar di hospital. Doktor jujur pada keluarga Haryani dan memberi tempoh seminggu untuk mengawasi keadaan Haryani. Hari makin hari, keadaan Haryani makin merosot.

Dani, keturunan Saifudin di abad 21 telah jatuh hati pandang pertama pada Haryani. Sedangkan pertemuan pertama mereka di saat Haryani koma dan terlantar tidak sedarkan diri. Tiap-tiap hari dia melawat Haryani di hospital, untuk melepaskan rindu di hati. Dan tiap-tiap hari dia membisikkan kata-kata mengharapkan Haryani kembali.
Antara 2 zaman, Haryani perlu membuat pilihan. Tiada 2 kehidupan, apabila memilih salah satu kehidupan, kehidupan lagi satu mestilah mati.

Komen Ain Sabrina :

Membaca novel ini seakan saya membaca buku sejarah lama namun versi fiksyen. Ia seakan membaca cerita hikayat dan membuatkan saya terasa berada benar-benar di zaman kegemilangan Melaka dahulu. Lebih-lebih lagi ada watak Hang Tuah dan watak Sultan Mahmud. Ternyata watak Hang Tuah yang terlalu setia dengan Sultan agak menjengkelkan sehingga ke akhir novel ini. Watak Laksamana Sunan sangat mengkagumkan, dengan sifat kepahlawanan juga sifatnya yang berjuang kerana Allah.

Cerita abad 21 yang diselang-selikan dengan cerita kurun ke-15 membuatkan saya ternanti-nanti pengakhir cerita ini. saya juga seakan keliru. Di suatu pihak, saya berharap Haryani terus kekal di sisi Laksamana Sunan di kurun ke-15 dan kadang-kadang saya berharap dia kembali sedar dari komanya untuk terus hidup di abad-21. Penulis berjaya mebuatkan saya terkeliru dengan pilihan yang ada dan ternanti-nanti sambungannya.

Buku ini adalah rangkaian 3 novel dimana Bagaikan Puteri adalah permulaan kisahnya. Kisah akhirnya tergantung dan memerlukan saya membeli sambungannya. Dan sehingga kini saya dalam keadaan tertanya apakah sambungannya. Tak sabar nak cari buku sambungannya .

---
Ain Sabrina

0 comments: