Aug 15, 2011

SNF: Cabaran 50 Buku: (1) Kopi Susu Sepatu Biru


Penulis: Ruby Hazri
Penerbit: Jemari Seni Publishing [ISBN 978-983-43217-8-9]
Harga: RM21.00
M/s: 565
Cetakan 3 – Disember 2008

sinopsis

Kata orang benci itu biarlah berpada, jangan nanti benci berganti rindu pula!
Kata orang lagi jiran sepakat membawa berkat!

Rumah No. 11

Dia gadis kampung yang bekerja sebagai juruwang di sebuah bank di ibu kota. Wajahnya menarik, ramai yang tertarik. Dia hanya berbudi pada yang pandai berbahasa, tetapi pada jiran sebelah rumahnya, jauh panggang dari api.

Rumah No. 9

Dia lelaki yang punya gaya tidak mudah terpedaya. Setiap tahun menambah usia tanpa sempat mengira. Kadang-kadang selamba, kadang-kadang tak terduga. Prinsipnya jelas: orang sebelah rumah tidak harus diberi hati.

Pendapat mereka saling bertentangan, pergaduhan tiada sempadan terjilid dalam pelbagai episod:

• Kereta Perdana vs Kereta Kancil
• Kucing si bujang mengemis makan di rumah si dara
• Sepatu biru pencetus idea nakal si teruna
• Muzik si pemuda bukan selera si pemudi

Namun tiba-tiba ribut berhenti, hujan reda, pelangi sujud di kaki langit…ada rasa yang mengocak perasaan. Ada cinta yang bertunas dan ada sayang yang menjalar.

Kenapa? Siapa? Dan bagaimana?

ulasan

Betul kata orang, benci biar berpada kerana Dia pemegang hati kita. Dia bisa membolak-balikkan hati. Tidak gentarkah kita pada kekuasaanNya itu? Dia juga sudah memperingati hambaNya supaya menjaga silaturrahim sesama manusia apatah lagi dengan jiran tetangga. Jiran sebelah rumah? Huh, sangat dekat kedudukannya. Boleh ditafsirkan sebagai jiran pada kedudukan pertama bukan? Semestinya hubungan dengan jiran tersebut juga kelas pertama.

Tapi, sebaliknya pula yang berlaku. Emy dan Mat sering sahaja bercakaran. Entah badi apa yang ada mengganggu mereka semua, tidak pernah difahami oleh teman serumah mereka. Tidak kira teman serumah Emy mahupun Mat. Puas teman mereka memberi nasihat. Tidak juga tersentuh dihati mereka. Hmm, manusia kalau dah dikuasai nafsu amarah, peringatan baik tak kan diendah.

Menarik, mereka berdua ada persamaan rupanya. Chatting. Ya, mencari kenalan di alam maya. Perhubungan yang tidak terbatas di dunia yang tidak bersempadan. Dalam banyak-banyak manusia di dalam dunia ini, Emy sebenarnya sedang berkawan dengan Mat tanpa pengetahuan mereka berdua. Di alam nyata mereka bertengkar, di alam maya mereka bercinta? Semestinya pengakhiran cerita ini adalah happy ending. Tapi, adakah Emy bersama Mat? Sedangkan Zahim sentiasa bersama Emy di alam nyata. Siapa pula Zahim? Jom baca!

komen

Masa yang agak panjang saya perlukan untuk membaca novel ini. Rasanya tidak ada yang boleh melonjakkan keinginan untuk membaca. Tapi saya tetap teruskan bacaan keran mahu melihat rahsia novel ini. Ceritanya biasa-biasa, mungkin sebab saya sudah membaca bacaan yang lebih terkini daripada buku ini diterbitkan. Jalan ceritanya menarik tapi dapat diagak pengakhirannya… Happy ending!

Walaubagaimanapun, saya tetap ingin mengatakan tidak semua manusia dikurniakan bakat menulis. Tahniah kerana telah berjaya menghasilkan novel ini.

~ Siti Nor Fazlina binti Abdul Hamid (SNF) ~

0 comments: