Aug 2, 2011

KK: Cabaran 50 Buku: (23) Blues Retro


Tajuk: Blues Retro
Penulis: Imaen
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 351 halaman
ISBN: 978- 967- 0201-14-6
Harga: RM 17 (Sem M’sia) / RM 19.00 (S&S)

Kata kulit buku:

... empat semester yang indah...
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.


“Ghazi, kita kahwin lari!” kata Nik Farhana.
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi.
“Apa dia?”
“Kita kahwin lari.” Suara Nik Farhana berbunyi serius.
“Hana jangan main-main!”
“Saya serius ni!”

Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?

* * * *
IMAEN memang diakui pembacanya sebagai penulis yang punya bahasa yang mantap lagi tajam. Kini lulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya beralih arah, bertekad mahu memperkenalkan semula sastera remaja yang indah dan berisi pada generasi MTV dan Facebook.

Kata KK:

Kisah cinta Ghazi dengan Nik Farhana. Cinta zaman 90-an. Kisah perniagaan Ghazi. Kisah cinta dua darjat. Ghazi anak miskin manakala Nik Farhana anak orang kaya. Ghazi anak muda bersama temannya membuka gerai burger untuk mendapatkan wang untuk terus sambung belajar. Perniagaan makin maju tetapi kisah cinta tidaklah semaju perniagaannya. Ada saja halangannya. Sedihnya, apabila Ghazi dibuang kolej kerana ikut demonstrasi. Sedihnya, Ghazi dan Nik Farhana tidak kahwin lari. Sedihnya, pengakhirannya tergantung.

Menariknya, idea innovatif dari Ghazi dan temannya dalam mempertingkatkan mutu burger mereka. Ghazi kata burger mereka burger orang kampung. Dijual hanyalah di gerai bukan restoran berhawa dingin seperti A&W ataupun Mc Donalds. Walaupun begitu burger mereka orang suka. Burger mereka masak ramai yang beli.

Kesimpulannya, saya terkedu. Terkedu sebab beli buku ini dari penulisnya sendiri. Ha-ha. Perasan. Ya, saya beli ketika di pesta buku waktu tu penulisnya yang jaga kaunter bayaran. Jadi, saya hilang kata-kata untuk membuat ulasan lebih-lebih untuk Blues Retro. Yang pasti, seronok mengimbau zaman belajar dulu-dulu sebab zaman sekarang sudah makin moden. Makin maju. Makin canggih.

Saya juga ada kenangan yang menarik di UM!

---
Khaulah Khalid

0 comments: