Aug 16, 2011

SS: Cabaran 50 Buku : (6) Untuk Awak Teja Aulia


Tajuk buku : Untuk Awak Teja Aulia
Penulis : SYUD
Penerbit : JEMARI SENI
Harga : RM20.00
Halaman : 479

Jalan cerita:

Cerita tentang dua orang lelaki-perempuan yang berkawan baik dari kecil. Mereka tinggal berjiran. Bila dah membesar sama-sama, banyak sangat perkara yang dikongsi bersama. Si Aulia, si tunggal perempuan ada saja perangai manjanya. Cerita ini bermula dengan sikap bebalnya tidak mahu melanjutkan pelajaran ke Terengganu kerana terlau jauh dengan keluarga dan tidak sanggup berenggang dengan Adil. Tapi akhirnya termakan juga pujukan Adil. “Macam ni lah… nanti kalau kau tiba-tiba rindu gila kat aku, kau cakap jek. Nanti aku datang” Begitulah rapatnya persahabatan mereka.

Masa terus berlalu,sehinggalah sampai satu ketika berlakunya perselisihan faham antara mereka. Bermula dengan rasa Aulia yang kecil hati apabila Adil tidak memaklumkan tentang tawaran pekerjaan yang diperolehinya. Aulai merasakan yang dia sudah tidak penting lagi dalam hidup Aidil kerana dia mengetahui berita tersebut dari orang lain. Tindakan Aulia membaling hadiah pada Adil sehingga menyebabkan dahi Adil luka merupakan detik akhir mereka bersua muka. Aulia memohon maaf pada sebelah malamnya melalui sms, malangnya sms itu tidak sampai pada Adil kerana kerosakan telefon bimbit tersebut. Perkara ini tidak diketahui Aulia sehinggalah tiga tahun berlalu. Maka, semenjak kejadian itu mereka tidak lagi seperti selalu.

Setelah beberapa sela waktu, Aulia cuba untuk berbaik-baik dengan Adil. Ada saja misi yang diaturkan. Antaranya misi goreng pisang. Tapi setiap yang dirancang mesti tidak berkesampaian kerana apabila ada peluang berhadapan dengan Aidil, Aulia selalu terlafaz dek kata-kata untuk memohon maaf. Macam-macam perkara dan rasa antara mereka sepanjang tempoh perang dingin tersebut sehinggalah suatu petang, Adil memberikan sekeping not satu dolar.

Bagaimana mereka boleh bertemu? Dirancang atau kebetulan?
Apa tujuan Adil memberikan sekeping not satu dolar tersebut?
Adakah not satu dolar tersebut boleh membeli masa perang dingin yang berlalu selama tiga tahun itu?
Adakah ganti diri yang telah bertukar dari aku kepada saya merupakan jurang antara mereka?

Sila rujuk novel ini untuk jawapan lanjut 


Ulasan :

Sepatutnya saya perlu mengulas novel ini terlebih dahulu sebelum BMHS. Tapi apakan daya, buku ini tertinggal di kampung, maka saya dulukan yang itu. Dalam novel ini, Pacai (BMHS) adalah kawan baik Adil merangkap orang yang paling kerap menjebak rasa Adil pada Aulia.

Novel ini sangat manis bagi saya kerana saya juga merupakan seorang yang sangat menghargai kejiranan. Pakcik dan makcik yang berjiran dengan saya memang sudah masak dengan perangai saya. Maka gambaran Syud tentang Aulia, Adil dan ahli keluarga mereka sangat realistik.

• Novel ini membuatkan saya tersenyum sendiri sebab perwatakan Aulia yang sangat cheesy terutamanya ketika merangka pelbagai strategi untuk merancang kebetulan untuk dia berjumpa Adil.
• Novel ini juga menyebabkan saya rasa, sungguh penatnya memendam rasa pada orang yang kita suka! Bermacam-macam berlegar di fikiran, tetapi rasa ego untuk meluahkan menyebabkan rasa penat itu menjadi semakin tenat. Aduhai!
• Novel ini membuatkan saya terfikir, adakah kita suka seseorang itu kerana dia ada ciri-ciri orang yang kita suka? Maka, siapakah yang kita betul-betul suka sebenarnya?

Kesimpulannya, novel ini antara pilihan terbaik saya untuk dijadikan koleksi. Biar rangka ceritanya macam biasa-biasa. Tapi yang penting, jalan ceritanya ada macam-macam rasa lalu menjadikan ia ada kuasa luar biasa untuk saya mengulang baca.


Petikan ayat yang saya suka:

Selalunya…kalau lelaki dan perempuan mengaku sahabat baik, salah seorang mesti akan ‘tergelincir’-terlebih suka!

Ohhh! Alangkah bagusnya, jika bukan salah seorang yang tergelincir… Maka, tidaklah bertepuk sebelah tangan kan 

---
Syena Sharuddin

0 comments: