Aug 20, 2011

XX : Cabaran 50 Buku : (15) Anaknya Anakku Jua


ANAKNYA ANAKKU JUA
Penulis : Anarif
Halaman : 662
Harga : RM 22
Terbitan : Kaki Novel
Cetakan 1- 2011


Secara ringkas :

Mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Nisa’ yang terpaksa memelihara seorang bayi perempuan yang baru lahir. Bayi tersebut juga merupakan anak kepada bekas kekasihnya sendiri. Sebelum memelihara bayi tersebut Nisa’ mempunyai kekasih yang bakal bertunang dengannya, keluarga bahagia dan pekerjaan tetap, hidupnya normal tetapi dengan kehadiran bayi yang dinamakan Hana itu, kehidupan Nisa’ berubah serta-merta.

Dalam usia muda dia terpaksa menjadi seorang ibu dan memelihara Hana. Dia seolah-olah kehilangan ibunya sendiri kerana Uminya itu tidak menyukai Hana, baginya Hana hanya akan membebankan hidup Nisa’ dan disebabkan Hana juga dia khuatir Nisa’ tidak akan berkahwin. Nisa’ juga terpaksa memutuskan hubungannya dengan Daniel kerana lelaki itu tidak akan sesekali menerima Hana yang berstatuskan anak kepada bekas kekasih Nisa’.

Melalui Mak su (pengasuh Hana ketika Nisa’ sedang bekerja) Nisa’ berjumpa dengan Irfan seorang duda yang baru kematian isteri dan anaknya dalam satu kemalangan. Dari situlah mereka mula berkenalan.

Nisa’ kemudian menghadapi masalah untuk mengesahkan status Hana sebagai anak angkat di sisi undang-undang kerana statusnya yang masih bergelar anak dara. Dengan niat mahu membantu Irfan menawarkan diri untuk mengambil Hana sebagai anak angkatnya pula tetapi juga menghadapi masalah kerana lelaki yang tidak mempunyai isteri tidak dibenarkan mengambil anak angkat.

Mak su kemudian mengusulkan agar Nisa’ berkahwin sahaja dengan Irfan. Cadangan Mak su yang dianggap satu gurauan itu rupa-rupanya menjadi kenyataan. Irfan menawarkan lagi sekali untuk membantu Nisa’ dengan mengahwininya. Sekaligus mereka boleh menjadikan Hana sebagai anak angkat mereka yang sah. Nisa’ pada mulanya enggan tetapi akhirnya bersetuju juga.

Perkahwinan yang dibina atas dasar kepercayaan antara satu sama lain adakah akan membuahkan hasil? Sedangkan perancangan mereka berkahwin untuk bercerai. Nisa’ mula keliru dengan perasaannya tetapi Irfan yakin dengan kata hatinya.

Komen saya :

Anaknya Anakku Jua. =) tajuk yang unik. Cover yang comel.

Pada saya novel ni banyak mengajar kita tentang beza setiap di mata manusia lain. Orang yang bekerja GRO semuanya jahat! Macam tu pandangan sesetengah watak dalam novel ni. Tetapi penulis cuba yakinkan kita tak semua GRO tu jahat, tak semua GRO tu pembawa penyakit dan mereka juga layak diberi peluang untuk bertaubat sama seperti orang biasa yang melakukan kesalahan. Dan tak semestinya anak kepada GRO tu akan membesar seperti ibunya. Mereka tak bersalah dan mereka tak layak dihakimi sewenang-wenangnya.

Watak Nisa’ dikembangkan dengan baik sekali, begitu juga watak-watak yang lain. Watak Umi Nisa’ yang keras hati sehingga anak-anaknya makan hati dengan sangat berkesan pada saya. Watak Umi Nisa’ pada dasarnya nampak seperti mengongkong anak-anaknya tetapi pada pandangan saya selayaknya seorang ibu bersikap demikian untuk melindungi anak-anaknya cuma mungkin cara Umi Nisa’ agak keterlaluan. Manakala watak si kecil comel Hana digambarkan sebagai penyatu sebuah keluarga. Sangat-sangat memuaskan. =)

Jalan ceritanya lebih menarik ketika Nisa’ dan Irfan sedang menyiapkan persiapan perkahwinan mereka. Sesekali tersenyum juga dibuat. Selepas berkahwin juga menarik jalan ceritanya. Konflik yang dipaparkan walaupun sedikit tapi agak menarik bagi saya sebabnya walaupun main theme cerita ala-ala kahwin paksa rela tetapi penulis cuba tampilkan dengan cara yang berlainan tak seperti novel cinta lain.

Novel ini banyak mengajar tentang hubungan persaudaraan dan pentingnya kita memegang dan menjaga amanah yang diberikan kepada kita. insyaALLAH.

p/s : Bangga dengan penulis, anak kelahiran Sungai Petani. Tahniah kak Anarif. Karya-karya e-novel yang lain pun menarik semuanya. =)

XX Quotes : Saya dah beli. Anda pun patut beli. =)

---
Xana

0 comments: