Aug 22, 2011
AS: Cabaran 50 Buku : (41) Viva Sakura
Tajuk: Viva Sakura
Penulis: Zuliana Abuas
Penerbit: NB Kara Sdn Bhd (Cetakan 2 April 2009)
602 Mukasurat
Harga: RM21(SM)/ RM24(SS)
Saya mengambil masa yang agak lama untuk membuat ulasan terkini yang dibaca bagi bulan Ogos selepas ulasan yang terdahulu.Buat pertama kalinya saya ingin berkongsi rasa tentang novel terbitan NB Kara di di sini. Namun Viva Sakura bukanlah novel pertama NB Kara yang saya baca.
Melihat tajuk saya mengandaikan bahawa saya kan bertemu dengan sesuatu yang baru dalam novel ini. Sedari awal pembacaan saya seolah-olah menonton drama Korea yang telah dialih bahasakan ke Bahasa Melayu kerana seingat saya tiada satu pun bahasa Korea digunakan walaupun hampir keseluruhan cerita berlaku di Negara Korea dan watak Sakura juga dikelilingi oleh orang berbangsa Korea (mungkin agak pelik bagi sesetengah pembaca). Mungkin inilah sesuatu yang baru yang saya telah temui dalam novel ini.
Kekadang boleh saja saya membayangkan hero dan heroin dalam drama MY Girl atau Personal Taste bila saya membaca novel ini. Mungkin juga kerana saya tidak dapat mengambarkan bagaimanakah rupa paras Sakura Alia, Ryan Lee dan Joo Shin. Kalau tidak pun saya akan bayangkan saja hero-hero dan heroin dalam Boys Over Flowers.
Disebabkan hampir keseluruhan novel ini berkisar di Negara Korea, maka banyaklah juga tempat-tempat di Negara Korea yang turut digambarkan dalam novel ini termasuklah Pulau Jeju yang terkenal itu.Malah masyarakat yang mengelilingi Sakura tiada seorang pun yang berasal dari Malaysia. Jadi boleh dikatakan memang 100% Sakura dikelilingi oleh orang yang berbangsa Korea malah kawan karibnya juga orang Korea.Jadi tidak mustahil jugalah Sakura jatuh hati dengan dua jejaka Korea (bayangkan hero-hero yang hensem saja ) dan fasih berbahasa Korea.Walaupun pada akhirnya Sakura sedar dia hanya mencintai salah seorang daripada mereka berdua.Namun hubungan baik dengan seorang lagi tetap utuh sehingga ke akhir cerita.
Biarlah saya berkongsi sedikit dengan semua apa yang telah saya baca.
Sakura Alia bertekad untuk meneruskan pencarian ibunya di bumi Korea selepas menamatkan pengajiannya. Namun pencariannya berakhir apabila dia hanya mampu berdepan dengan pusara ibunya. Apa yang dia tidak ketahui adalah kisah sebenar yang menyebabkan dia terpisah dari ibu kandungnya itu. Dalam pencariaannya, Sakura menjadi amat rapat dengan Encik Takai dan anak lelakinya Joo Shin. Layanan baik Joo Shin menyebabkan perasaannya terbuai indah. Pada masa yang sama Ryan Lee, ketua kepada Joo Shin juga menyimpan perasaan terhadap Sakura. Namun ada kisah lama yang dipendam sehingga menyebabkan kisah cinta Sakura dan Ryan Lee tidak selamanya mewangi. Kesudahanya? Biar pembaca sendiri yang akan mengetahuinya.
Bagi peminat drama Korea, boleh saja membaca novel ini kerana novel ini tidak kurang hebatnya kerana mampu melahirkan rasa indah kisah dongeng bak Cinderella dan juga mampu melahirkan unsur suspen yang biasa kita tonton dalam drama Korea. Malah konflik keluarga yang berlaku juga, tutur berlaku dalam drama Korea yang biasa kita tonton. Kelainannya, dalam novel ini ada watak Sakura Allia yang mempunyai darah Melayu dan Korea.
---
Anita Sang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment