Tajuk : Kau Yang Satu
Penulis: Nia Azalea
Penerbit : Alaf 21 (Cetakan 9 -2005 )
416 Mukasurat
Walaupun telah diterbitkan pada tahun 2002, saya terpanggil untuk membaca novel ini memandangkan pada tahun 2005 telah mencapai cetakan yang ke-9. Ingin sekali saya mengetahui tarikan dalam novel ini. Namun setelah membaca beberapa buah novel yang hampir mempunyai tema yang hampir sama iaitu ‘berkahwin kerana terpaksa dan kemudian jatuh cinta dengan pasangan’, saya sudah dapat mengagak penghujung ceritanya. Mungkin tidak adil bagi saya mengatakan bahawa tema yang sebegini biasa-biasa sahaja hanya kerana saya telah membaca banyak kisah sebegini. Ini kerana novel ini telah diterbitkan bertahun lebih awal dari novel-novel yang saya telah baca.
Salina digambarkan sebagai seorang gadis yang berasal dari kampung terpaksa berkahwin dengan anak seorang yang bergelar Datuk yang pernah diselamatkan oleh ayahnya. Sedangkan pada ketika itu Salina sudah mempunyai pujaan hati walaupun mulutnya tidak pernah mengaku. Sementara Taufik anak Datuk Mustaza telah mempunyai kekasih yang lebih cantik, pandai bergaya dan merupakan seorang model. Jauh sekali kalau dinilai dari kecantikan luaran dibandingkan dengan Salina yang hanya gadis kampung yang tidak tamat tingkatan 6, dan lebih selesa berbaju kurung.
Menurut rasa hatiku:
Walaupun Salina dilihat sebagai gadis kampung, lemah lembut dan bersopan tetapi saya melihat dia sebagai seorang gadis yang pandai menyembunyikan dan memendam perasaannya. Walaupun mendapat layanan yang kaku dari Taufik, dia masih boleh bersabar sehinggalah selepas mendengar nasihat Normah.
Namun saya agak terkilan dengan sikap Salina semasa Taufik difitnah Isabella. Hilang sudah sikap bersabarnya dan sikap percaya kepada suami sendiri apabila dia dengan mudah percaya kata-kata Isabella. Malah sikap memendam perasaan juga menyebabkan dia lebih sanggup menunggu Taufik berterus-terang daripada bersemuka sendiri dengan Taufik. Disaat Taufik perlukan sokongan, Salina seolah tidak sanggup berada disamping suaminya. Hingga akhirnya Taufik mengambil sikap beralah dengan menjauhkan diri dari Salina seperti yang Salina minta.
Menjauh bukan bermakna Taufik bersalah, bukan juga bermakna dia sudah hilang sayang terhadap Salina. Namun dia mencari ruang buat dirinya sendiri, merawat hati apabila isteri sendiri tidak mempercayai dirinya.
Bagi saya, tidak ada kurangnya jalan cerita ini, menarik menurut acuan yang tersendiri. Malah saya berasa ngilu dengan tindakan Richard terhadap Isabella di akhir cerita. Mungkin itulah balasan yang setimpal untuk Isabella.
---
Anita Sang
Aug 8, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment