Aug 19, 2011
MB : Cabaran 50 Buku : (37) Sigaraning
Judul : Sigaraning
Penulis : Imaen
Terbitan : Jemari Seni
ISBN : 978-967-5118-13-5
1. Pertama kali yang terlintas adalah, apakah 'sigaraning' itu?
2. Kedua kali yang terlintas adalah, sedap ke?
3. Menurut penulisnya, Imaen, lewat blognya, sigaraning bermaksud belahan jiwa dalam bahasa Jawa. Dan menyoal dirinya sendiri, adakah novel ini berkisahkan cinta dan jiwang? Beliau menjawab, tidak. Tetapi setiap orang punya pandangan tersendiri, terserahlah.
4. Keseluruhan novel ini adalah mengenai watak Ali Imran. Yang mengusahai sebuah kedai runcit bernama Pasar Mini MusliMart. Dijadikan cerita, Ali dilanda masalah kewangan, lalu terjumpa beg yang mengandungi duit RM 2 juta, dan mengambilnya.
5. Watak Ali Imran sebagai tauke kedai runcit digunakan sepenuhnya oleh penulis untuk berbicara perihal ekonomi dan sudut pandang orang Melayu mengenai konsep bantu-membantu sesama Muslim.
6. Pembaca dilambakkan dengan kuliah-kuliah teori dan hal ekonomi yang mana menurut penulisnya adalah untuk memberi sedikit kesedaran kepada pembaca mengenai masalah ekonomi yang dialami oleh peniaga-peniaga Melayu di dalam negara.
7. Namun Ali Imran merasa berdosa setelah mengambil RM 2 juta tersebut yang bukan miliknya. Juga tidak berani untuk menyerahkan wang tersebut ke pihak polis setelah mengetahui bahawa wang itu adalah wang sekumpulan jenayah yang sedang diburu polis. Risau akan dirinya dituduh terlibat, Ali Imran menyimpan sahaja wang tersebut.
8. Selain menyentuh hal ekonomi dan masalahnya, penulis juga membawa pembaca untuk menyedari beberapa perkara negatif yang selalu berada di fikiran bangsa Melayu yang sedikit sebanyak mempengaruhi cara mereka berfikir. Antaranya,
"...Melayu macam tu lah, berniaga bagus sikit terus tukar kereta." ms 48
"Orang Melayu ni bukan boleh, kalau kita sebut Tongkat Ali sikit mulalah fikirannya melilau nampak benda lain." ms 49
9. Dan beberapa lagi perkara tipikal orang Melayu seperti suka melihat orang lain jatuh, kalau diri sendiri yang jatuh suka pula menarik kawan lain supaya jatuh sama.
10. Lagi yang menarik adalah penulis memberikan watak jahat kepada seorang anggota polis berpangkat Detektif. Anggota polis yang telah bersekongkol dengan penjenayah dalam membocorkan beberapa maklumat sulit.
*mungkin tak seberapa menarik bahagian ini, tapi tetap ada keunikannya kerana tidak sering kita melihat polis yang jahat di alam realiti
11. Sebenarnya Imaen ada menulis mengenai novel ini di dalam blognya pada entri tahun 2009. Ditulis tentang cetusan idenya, pandangan serta harapannya terhadap novel Sigaraning ini. Silalah selongkar blog beliau untuk membaca langsung kata-kata penulisnya.
12. Apa yang dilakukan Ali terhadap RM 2 juta itu? Dan siapa pula Sigaraning Ali selepas Salina? Salina tu siapa pula? Semua itu kena baca sendiri.
13. O, sebelum terlupa. Novel ini menyentuh banyak mengenai bangsa Melayu. Dan salah satu perkara yang disentuh adalah berkaitan dengan bahasa. Sukalah pula sebagai penutup saya memetik kata-kata ini,
"Tok nenek kita dulu diislamkan oleh para pendakwah dengan menggunakan bahasa Melayu. Maknanya Tuhan dah pilih bahasa Melayu ini sebagai satu medium dakwah. Tapi tu lah, puak-puak Melayu yang tak sayang Melayu dan tak sayang Islam memang tak akan faham benda macam ni. Pertubuhan mereka pun guna akronim bahasa Inggeris."
---
Melihat Buku
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment