Aug 16, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (59) Indahnya Hidup Tanpa Derita


Penulis: Noor Laila Aniza Zakaria
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga: RM21.00 / RM23.00
ISBN 978-983-097-262-6
M/S: 243
Cetakan 1 – 2010
Cetakan 2 – 2011

Kadang-kadang kira merasakan dugaan kitalah yang paling besar; sedangkan ada banyak lagi orang lain yang diuji dengan dugaan yang jauh lebih dahsyat.

Blurb:

INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA mengumpulkan 40 kisah benar dugaan dan badai rumah tangga yang dilalui oleh masyarakat hari ini. Namun watak-watak di dalam buku ini telah diubah suai bagi menjaga maruah dan kebajikan bersama.

Buku ini turut dilengkapi dengan pakej nasihat dan tip-tip keagamaan dan psikologi untuk dijadikan rujukan dan panduan kehidupan. Banyak perkara menarik dikongsikan di dalam buku kerana kisah yang dipaparkan kisah ekstrem yang tidak terjangkau dengan akal fikiran.

Sudut pandang Kak Chik:

Teruja untuk mendapatkan naskhah ini selepas baca resensi AMAL laman sesawang ulatbuku. Naskhah ini memang sarat dengan pelbagai kisah kehidupan berkeluarga daripada masalah suami isteri hingga masalah anak-anak. Membaca naskhah ini memang buat Kak Chik rasa bersyukur sangat-sangat kerana tidak teruji dengan masalah-masalah berat seperti yang terkandung dalam IHTD. Selama ini kita mengandaikan bahawa masalah kita sudah cukup berat malah kadang kala kita tidak sedar kita merungut sedangkan ada lagi orang lain yang menghadapi masalah yang berganda-ganda lebih hebat dan berat daripada kita.

Selain permasalahan yang ditonjolkan, naskhah ini juga turut mengandungi cara penyelesaian dan tip-tip daripada penulis yang merupakan perunding motivasi. Pada pandangan Kak Chik kebanyakan masalah yang ditonjolkan merupakan isu semasa yang sudah terlalu kerap terhidang di dalam masyarakat berkeluarga pada masa kini.

Antara kisah dan permasalahan yang paling terkesan di hati Kak Chik:

1. Sehari Yang Merubah Segalanya
- Kisah ini buat Kak Chik terkedu sejenak selepas membacanya tiba-tiba sahaja air jernih mengalir di pipi. Maha Suci Allah SWT hanya menguji umat-Nya mengikut kemampuannya. Begitu juga Allah juga boleh membalikkan hati setiap insan tanpa sedikit pun kita mampu terjangkau. Sudah pasti isteri yang selama ini bagaikan permaisuri dan ratu di hati suami yang tidak pernah berpisah dan hati suami tertawan lagi dengan wanita lain hanya disebabkan sehari mereka berpisah. Sudah pasti hati isteri remuk redam dengan ujian ini. Setiap lelaki itu mempunyai keinginan untuk beristeri lebih tetapi bergantung sama ada mereka mahu memenuhi keinginan tersebut atau tidak. Jika isteri dapat mereka ujian ini sebagai satu jalan untuk mendekatkan diri dengan Allah sudah pasti dia dapat bertenang dan mereka ujian tersebut dengan redha. Namun isteri telah memilih untuk berpisah dengan suaminya tetapi selepas berpisah sudah tentu masalah lain pula yang terpaksa dihadapi.
2. Sabar Seorang Suami
3. Berdoalah Untuk Kesejahteraan, Bukan Untuk Kecelakaan
4. Bersegeralah Taubat Nasuha
5. Tidak Tahan Bau Badan Suami
6. Anak Itu Saham Akhirat
7. Anak-anak Penentu Saham Kita di Akhirat

Banyak pengajaran yang diperolehi dari buku ini. Sudah pasti mereka yang menanggung masalah ini lebih tertekan dan terbeban berbanding dengan kita yang hanya memandang dan membaca kisah-kisah mereka. Orang luar hanya mampu memberi nasihat dan doa dari jauh namun jika diri sendiri tidak mahu berubah dan Allah juga tidak ‘memberi’ apa yang dipohon sudah pasti sesuatu itu tidak akan berubah.

Terima kasih pada penulis untuk tip-tip berguna dan ayat-ayat al-Quran yang selalu dibaca tetapi kurang dipraktikkan selama ini. Insya Allah akan mempraktikkan ilmu berguna ini untuk kembara yang entah panjang entah sesaat ini akan berakhir untuk kehidupan yang lebih baik, saham untuk menuju jalan hakiki.

Bersyukurlah apabila diuji dengan pelbagai derita kerana itu menandakan Allah menyayangi kita. Janganlah sehingga Allah memberi kan kita segala kesenangan tanpa sebarang derita atau ujian kerana itu menandakan Allah sudah tidak mempedulikan kita lagi.

“Berbaik-baiklah untuk menempah tiket ke syurga, bukan untuk membeli istana di neraka” – m/s 237


LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

0 comments: