Penulis : Zahiril Adzim
Terbitan : Orange Dove Sdn Bhd
ISBN : 978-967-10126-3-5
1. Antara puisi di dalam buku ini yang saya gemar untuk mengulang-ulangkan bacaan padanya adalah puisi dengan judul Gagalnya Pemerintahan.
2. Kedengaran politik, tetapi tunggu sehingga titik terakhir dalam puisi.
3. Buku ini menghimpun beberapa siri tulisan Zahiril di blog, puisi dan catatan-catatan harian, sekitar tahun 2008 dan 2009. Dihimpun dan dicetak dari blog menjadi buku, blook.
4. Puisi Gagalnya Pemerintah dimulakan dengan frasa,
Aku seorang pemerintah, yang memerintah
5. Kemudian disambung dengan beberapa keterangan mengenai wilayah pemerintahan si Aku tadi,
kepala, rambut, dahi, mata, hidung, bibir, lidah, gigi, dagu, telinga, aku.
6. Dan rangkap seterusnya diteruskan lagi mengenai kawasan-kawasan tubuh yang diperintah si Aku. Lalu pada rangkap terakhir,
Aku seorang pemerintah yang?
yang gagal.
Gagal memerintah semua ini dengan baik.
Aku mahu pemberontakan.
7. Puisi ini adalah berkisah tentang diri Aku yang mungkin telah merasa bersalah kerana gagal mengawal setiap satu anggota tubuh badannya dengan baik. Mungkin selepas melakukan maksiat-maksiat besar, Aku teringat akan Tuhannya, lalu ingin segera insaf, mahu segera kembali ke pangkal jalan, mahu membersihkan hati dan diri yang selama ini sering gagal dan tewas kepada nafsu yang serakah, Aku ingin pemberontakan ke atas dirinya, diri Aku yang baru.
8. Itu yang mungkin dapat saya fahamkan setelah membaca puisi ini. Dan penulis juga membawa kita, para pembaca, untuk melihat setiap seorang dari kita, yang diamanahkan tubuh badan ini, jasad dan rohani ini, oleh Tuhan untuk dikendalikan sebaik mungkin, adakah telah diperintahkan mereka, kaki, tangan, mata, mulut, jiwa, minda, dengan perkara-perkara yang baik?
9. Dewasa ini kita sering menyalahkan pihak pemerintah, kerajaan yang berkuasa, akan sesuatu kejadian yang berlaku, kita menuntut keadilan dan ketulusan dalam pemerintahan, tetapi melalui puisi ini, penulisnya menyedarkan kita, di sebalik keinginan kita untuk kerajaan yang jujur dan prihatin, satu soalan terlebih dahulu harus ditanya kepada diri sendiri, sudahkah kita adil, tulus, jujur, dan prihatin terhadap diri sendiri? Sudahkah kita sebagai pemerintah yang berkuasa kepada jasad dan tubuh sendiri telah berjaya mengendalinya dengan baik sesuai dengan tuntutan agama? Kerana di akhirnya kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita telah perintahkan.
10. Ada beberapa lagi puisi dan catatan Zahiril di dalam buku ini yang saya gemar dan dapat selami, tetapi kerana sudah memasuki poin ke 10 hanya dengan satu puisi, saya risau entri ini akan menjadi panjang, maka cukuplah saya tuliskan tajuk-tajuknya sahaja. Untuk membacanya, boleh membeli buku ini nanti.
11. Sudah pasti Bogel Menuju Tuhan juga saya gemari, makna tersiratnya cukup menusuk. Juga puisi Apa Masalah Sini?, dan Orang Lain turut memberikan saya satu sudut pandang melihat kehidupan dengan cara yang beza selepas membacanya, begitu juga dengan catatan Aku Sungguh Prejudis, terkesan dengan paranoia yang digambarkan. Di samping beberapa tulisan lain lagi. Namun sambil suka-suka itu, ada lah juga sana sini, puisi cinta yang saya kurang faham dan tak faham langsung mengapa perlu dimuatkan sama.
12. Tetapi secara keseluruhannya, terbaik!
13. Rasanya tidak seberapa sukar untuk mempromosikan buku ini. Zahiril seorang pelakon muda yang sedang mencacak naik namanya kini. Bukan sedikit yang menonton drama Juvana kerana nak tengok watak Daim lakonan Zahiril di dalamnya. Walaupun ada juga yang tak sabar menunggu waktu siarannya hanya kerana nak tengok pelakon Eyka Farhana.
14. Di samping itu buku ini turut juga memuatkan kata-kata aluan daripada blogger terhangat seperti Hanis Zalikha dan Sultan Muzaffar. Dan turut sama mengundang penyanyi Ana Raffali menulis blurb pada kulit belakang sebelah dalam buku ini.
15. Dengan himpunan orang-orang terhangat di pasaran yang dimuatkan dalam sebuah buku, ditambah gambar-gambar eksklusif Zahiril sendiri, Bogel Menuju Tuhan adalah buku yang sangat dicari waktu ini. Tapi bukanlah kerana nama-nama itu kita membeli, ada sesuatu yang Zahiril mahu kongsikan lewat tulisan-tulisannya. Ambil manfaat dari bacaan. Itu yang utama, kerana di hujungnya tetap kita yang akan dipertanyakan.
*buat Zahiril, tahniah atas kelahiran buku ini, teruskan berkongsi rasa lewat tulisan dan lakonan, semoga ada kebaikannya di sana.