Oct 20, 2011

KK: Cabaran 50 Buku; (35) Bedar Sukma Bisu


Judul: Bedar Sukma Bisu
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Muka surat: 312 halaman
ISBN: 978-983-62-9652-8
Harga: RM 25.00

Kata kulit buku:

Syahdu mempesonakan, kisah sebuah semenanjung. Tanahnya emas, lautannya perak berkilauan. Ada pohon dan tanam-tanaman. Ada hujan menyegarkan. Ada sungai-sungai mengalir perlahan. Ada awan-gemawan melitupi meneduhkan. Ada binatang jinak sering bermanjaan. Ikan-ikan semuanya boleh dimakan. Ada laut yang bergelora permukaan tetapi tenang di dalam. Wefada tidak pernah lelah belayar, sejak masih anak-anak. Dia keluarga dari lautan. Wefada juga dilanda cinta muda, sejarah lampau dan kemelut saudara. Kisah pelayaran menyusuri Nusantara yang agam gemilang oleh ketamadunan Melayu-Islam. Di sini kita akhirnya mengerti, mengapa alam emas ini sering menjadi rebutan, menjadi tarikan dan tumpuan. Menjadi sukma di hati. Sebuah saga tepu falsafah, tentang laut, bedar, niaga, perang, cinta, tauhid, peradaban dan sejarah luak. Bedar Sukma Bisu pasti menggugah rasa.

Kata KK;

Kisah tentang kapal. Tentang Wefada.tanggungjawab Wefada pada perniagaan keluarganya. Tentang sejarah keluarga Wefada. Tentang sejarah kumpulan Bedar Sukma. Bagaimana ia bermula sehingga Wefada terpaksa menerima kehilangan demi kehilangan dari datuknya, ibu bapa dan abangnya. Dia kehilangan semuanya akibat kemalangan. Berkisah tentang Wefada dari seorang pencita akademik kemudian bertukar bidang – dari teori kini dia harus mempraktikkannya.

Begitulah Bedar Sukma Bisu. Pada awalnya, saya bingung dan kurang paham apakah bedar. Apakah kaitannya laut dan darat. Namun, perlahan-lahan muka surat diselak makin bertambah dan saya mula faham. Makin saya mengerti. Ia bermula dengan pembinaan sebuah bedar sehinggalah ia menjadi sebuah perniagaan syarikat perlancongan yang banyak memberi sumbangan dalam ekonomi Negara. Seperti sebelumnya, FT tidak lari bercerita tentang teori ekonomi dalam bukunya. Syarikat Wefada banyak mengupas isu ekonomi selain bercerita ketelitian pembinaan sebuah bedar. Seronok kerana BSB tidak sahaja bercerita syarikatnya tetapi juga bercerita tentang rasa hati Wefada, Elimine, Haiqal, Chen dan Muawiyah. Setiap watak ada sejarahnya. Ada cerita cintanya sendiri.

Siapakah yang berjaya menawan hati Wefada? Siapakah Haiqal pada Wefada? Marilah meneroka Bedar Sukma Bisu di lautan yang tak terduga.

---
Khaulah Khalid

0 comments: