Penulis: Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara Sdn Bhd
ISBN 978-967-5226-25-1
Harga: RM29.00 / RM32.00
M/S: 867
Cetakan 1 – April 2011
Sengsara itu ada ganjarannya
Blurb:
“Memang aku bukannya baik. Tapi kalau boleh, aku tak mahu buat maksiat. Buat aku tak mahu, bersubahat pun tidak sama sekali.”
“Apa salahnya Haron tu? Dia bukan kejar orang, orang yang kejar dia!” Safina seperti memenangkan Haron. Secara tuntasnya, Wafa tahu kenapa Safina mempertahankan lelaki itu. Hanya kerana lelaki itu berharta. Apakah kerana harta, hilangkan segala maruah dan harga diri!
“Kau tahu, papa dia tinggalkan dia dengan harta sebanyak sepuluh bilion!”
“Aku peduli apa? Kalau seratus bilion pun aku tak hairan. Aku bukan nakkan dia pun.”
Persoalan yang ditimbulkan oleh Safina benar-benar membuat hati Wafa pusang. Safina sama seperti papanya. Harta menjadi pokok persoalan yang utama. Bukannya pekerti lelaki itu.
“Aku hairan sungguh kau ni.”
“Hairan apanya?”
“Apa yang kau benci sangat dengan Haron tu? Aku tak faham. Kau tahu tak berapa ramai perempuan hendakkan Haron? Kau bernasib baik kerana Haron tergila-gilakan kau. Kau bernasib baik kerana daripada ratusan, mungkin ribuan wanita yang mahukan dia, Haron memilih kau. Kalau akulah, aku tutp mata saja dengan apa yang Haron lakukan. Dia kaya, dia bilionair!”
Bodoh, mahu saja Wafa mengeluarkan kata-kata tersebut. Orang bodoh macam Safina sahaja yang tergila-gilakan lelaki macam Haron. Aku tidak sebodoh itu!
Ya memang Wafa tidak sebodoh itu. Dia mahukan pekerti lelaki bukannya harta. Itu semua dia sudah ada. Dia boleh mencarinya. Dia mahu hidup dengan gembira dan bahagia. Siapakah yang ditemuinya dalam perjalanan dan kehidupan yang singkat ini?
Kak Chik menukil:
Sejam RM2.50…jodol yang penuh misteri dan pelbagai andaian yang bisa diberi. Membaca karya ini memang tidak mengecewakan walau kadang kala terselit sedikit perasan jahat mahu membelek ke muka surat terakhir disebabkan ketebalan naskhah ini dan juga beberapa bahagian yang sedikit hilang konsentrasi.
Pada Kak Chik karya ini penuh dengan teka teki sedari awal bab pertama. Kita jadi tertanya-tanya, siapa itu, watak siapa pula ini, mengapa jadi begitu dan kenapa mesti begini. Watak-watak dan isu-isu yang ditengahkan juga adalah isu-isu semasa dalam masyarakat kita malah sesetengahnya tidak langsung diambil kisah masyarakat sekeliling sehingga pewaris bangsa rosak tanpa ada sesiapa yang peduli.
Watak Tan Sri Fakrul yang sedari awal disembunyikan juga sesuatu yang menarik untuk dicungkil walaupun sehingga penamatnya Kak Chik tidak pernah memihak pada sisi lelaki terkenal itu. Dia tega tidak melihat zuriat sendiri buat kali terakhir demi menjaga nama, dia tega menyisihkan anak-anak sehingga tersimpan dendam anak-anak buat dirinya, malah dia tega melukai hati insan yang dicintai perpuluh tahun demi menjaga harga diri dan pangkat. Apakah nilai kasih sayang pada mata dan hati lelaki itu dengan hanya menidakkan hak-hak pada si isteri dan anak-anak sehingga ke akhir perjalanannya mereka masih tidak diberi hak itu. Butakah hatinya yang selalu sujud kepadaNya sehingga tidak terbuka untuk menyingkap rahsia yang tersimpan lebih 30 tahun itu?
Pada Kak Chik watak Haron walaupun tidak terlalu menonjol namun tetap memberi kesan yang mampu mempengaruhi jalan cerita ini. Dia yang selama ini menjadi anak kebanggaan keluarga sesat dalam limpahan kasih, harta dan pangkat sehingga menamatkan perjalanan sebuah kehidupan.
Selain itu, info tentang penyakit leukemia juga diselitkan untuk panduan pembaca. Bagaimana Wafa, si cilik yang kecil itu bertarung nyawa demi sebuah kehidupan. Bertahun dia bertahan sebelum umi yang tidak pernah tahu kewujudan itu sanggup berkorban deminya. Walaupun dia terluka namun tidak sesekali dia membuang mami yang sudah bertahun mengasuh, membela dan mendidiknya. Dia menjadi anak yang cekal demi sebuah impian walaupun dia terpaksa menanggung keperitan sedangkan si ayah tidak pernah mahu membantu apatah lagi menyanjungnya.
Pengolahan jalan cerita yang menarik tentang Ulu Saritan (walau pada dasarnya tempat itu tidak wujud) tetapi isu yang dijelmakan sudah menjadi barah dalam masyarakat kita. Bukan mudah untuk kita mengubah pemikiran sesuatu kaum tetapi tidak mustahil untuk mereka berubah jika kita terus berusaha. Yang menjadi persoalan, kita mahu atau pun tidak sahaja.
Simboliknya RM2.50 itu juga sesuatu yang perlu kita ambil secara positif kerana mungkin pada kita nilai tersebut tidak terkesan langsung tapi bagaimana kesannya mampu memberi impak yang besar pada mereka yang memerlukan walaupun pada mulanya ia hanya dilihat pada nilainya sahaja.
NB seperti menjaga aib watak-watak jahat dalam karya ini dengan tidak menghentam mereka malah watak-watak tersebut dimatikan dengan ‘kelembutan’. Pada Kak Chik ia sedikit curang pada sisi watak-watak baik yang selama ini tertindas seperti penamat watak Safina yang tidak jelas. Perubahan watak Dato’ Muhid juga bagaikan tertinggal lompong luas yang mejadi tanda tanya.
Kak Chik sangat suka watak lelaki yang menjadi hero yang memiliki dua nama yang berlainan menjadikan dia bagaikan bayang-bayang yang harus kita cari jasadnya.
Penamat yang manis pada mereka yang mencari jalan bahagia.
LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)
Oct 25, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment