Tajuk: Aku Bukan Mistress
Penulis: Acik Lana
Penerbit: Kaki Novel ( September 2011)
671 Mukasurat
Harga: RM 22(SM)/ RM25(SS)
Novel pertama penulis , Acik Lana, saya rasakan begitu sempurna dan ada segala elemen yang dicari dalam sebuah novel. Bahasanya sederhana tetapi tetap serasi di jiwa. Peceritaan dan pengolahan yang matang dan menyenangkan. Mungkin juga ini adalah kali pertama bagi saya membaca kisah sebegini. Namun yang pasti kisah ini kisah yang menarik bagi saya.
Kisah Aku Bukan Mistress mungkin kisah yang biasa berlaku di luar sana. Kisah yang masih berlaku dalam masyarakat kita. Kisah yang sering dipandang hina oleh masyarakat tetapi berapa kerat yang ambil peduli sebab disebalik lahirnya seorang ‘Mistress’ di dalam hidup seorang lelaki. Saya percaya bukan semua yang menjadi ‘Mistress’ adalah kehendak secara rela hati seorang wanita, mungkin keadaan yang memaksa dan mungkin juga kerana tiada siapa yang rela membantu.
Tapi bagi saya Mya Arlissa merupakan seorang GRO yang bernasib baik bertemu dengan Mikail yang ibarat seorang hero dalam hidupnya. Walaupun niat awal Mikail tidak ada bezanya dengan niat lelaki-lelaki lain yang hanya rakus untuk memuaskan nafsu mereka tetapi Mikail tidak rela berkongsi Mya dengan sesiapa. Oleh itu dia lebih rela ‘membeli’ Mya dengan harga RM50,000 daripada ‘bapak ayam’ yang memenjarakan hidup Mya. Selama dua tahun hidup Mya dan Mikail bergelombang dosa. Selama dua tahun juga Mya menjadi ‘Mistress’ Mikail. Sesungguhnya Mya tidak mampu untuk berbuat apa. Kakinya terikat dalam hidup Mikail.
Bagi saya Mikail bukanlah lelaki yang jahat, panas baran dan tidak berperasaan. Bagi saya, Mikail sememangnya seorang hero yang boleh saja membuatkan saya jatuh cinta. Ketepikan cara hidupnya yang berkesedudukan dengan Mya kerana bagi saya mungkin juga kekecewaan yang lalu membuatkan Mikail tersasar cara hidupnya. Bagi saya dia adalah pencinta yang setia, walau sikap panas barannya selalu tersasar bila hal-hal yang berkaitan dengan Mya. Akhirnya dia sedar hidupnya tidak bernyawa tanpa Mya. Jiwanya sasau sekiranya Mya tidak berada di depan mata. Hatinya bertambah rusuh apabila Mya ingin menoktahkan perhubungan mereka yang penuh dosa. Bagaimana Mikail biasa mengikat Mya agar tidak menjauh darinya? Untuk berterus-terang tentang hatinya yang sebenar, dia bimbang andai Mya terus menjauh kerana dia yang mula-mula menetapkan syarat bahawa tidak boleh ada perhubungan perasaan antara mereka. Lalu bagaimana Mikail bisa memiliki Mya hanya untuk dirinya?
Bagi Mya, walau sedar hidupnya penuh dosa, walau tahu gelaran ‘mistress’ begitu hina, namun hidup dengan Mikail lebih baik dari berterusan terpaksa memuaskan nasfsu lelaki-lelaki yang berlainan. Biar dia berlindung di bawah sayap Mikail sehingga keadaan mengizinkan untuk dia meninggalkan segala dosa. Sesungguhnya trauma yang pernah dia lalui di kampung lebih melukakan hatinya. Dibuang saudara kerana difitnah. Juga kehilangan nenek tersayang. Siapa lagi kalau bukan Mikail yang bisa melindunginya? Saat kaki ingin melangkah pergi meninggalkan Mikail, kenapa hatinya seolah sudah terikat mati ? Namun dia tidak berani menganyam impian indah bersama Mikail kerana dia sedar menganyam impian tidak sama dengan realiti yang sedang menanti. Kehadiran Suzanne, Datin Adiba, Shamil dan Adam tidak mungkin memudahkan perjalanan hidupnya dan Mikail. Lalu bagaimana?
---
Anita Sang
Oct 11, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment