Oct 25, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (42) Pura Bujangga

Judul : Pura Bujangga
Penulis : Mohd Affandi Hassan
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 983-62-1292-2




1. Dari satu cerpen ke satu cerpen, pembacaan menjadi makin seronok dan makin seronok. Cerita bertambah kritis dan penuh dengan kiasan serta saratan sindiran yang halus, tajam, tepat dan penuh makna.

2. Sebuah buku himpunan cerpen yang berkelas tinggi daripada seorang penulis yang sungguh lantang bersuara, (http://pbaru.blogspot.com/) yang anehnya diterbitkan oleh DBP.

3. Boleh dikatakan kesemua cerpen di dalam buku ini saya gemari. Ceritanya begitu bersahaja tetapi menyentuh satu dua perkara yang memberikan pembaca pandangan dan pemikiran yang unik.

4. Pura Bujangga. Pura bermakna pura-pura, tidak sungguh-sungguh. Sementara Bujangga pula membawa maksud orang yang pandai, sasterawan, pujangga.

5. Secara keseluruhannya bolehlah difahami apa yang ingin disampaikan oleh penulis lewat cerpen-cerpennya di dalam antologi ini dengan melihat kepada judul yang dipilih.

6. Penulis cuba membawa cerita tentang manusia yang berpura-pura menjadi orang pandai. Berlagak tahu tetapi sebenarnya tidak tahu.

7. Melalui pembacaan yang lain, dituliskan bahawa manusia terbahagi kepada empat golongan, yang berkait dengan perkara tahu dan tidak tahu ini.

Satu. Mereka yang tahu bahawa mereka tahu.
Dua. Mereka yang tidak tahu bahawa mereka sebenarnya tahu.
Tiga. Mereka yang tahu bahawa mereka tidak tahu.
Empat. Mereka yang tidak tahu bahawa mereka sebenarnya tidak tahu.

8. Jika dilihat pada judulnya, Affandi Hassan cuba membawa kisah berkenaan mereka yang berada di dalam golongan keempat. Golongan yang parah sekali. Kerana mereka ini adalah kumpulan manusia yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya tidak tahu. Tetapi berlagak tahu, yang mana akhirnya akan menyesatkan orang lain dengannya.

9. Terdapat 16 buah cerpen keseluruhannya di dalam buku ini yang berkisar tentang politik, keagamaan, kemanusiaan, jati diri dan pegangan yang mana ditulis dengan begitu tertib bersama dengan pendahuluannya, isinya, klimaksnya, dan penutupnya yang kekadang diluar dari jangkaan.

10. Belilah kalau terjumpa dengan buku ini di mana-mana. Tak rugi. Tapi sukar sekali untuk ketemu sama Pura Bujangga ini jika tidak kena dengan tempat carinya.

11. Juga rajin-rajinlah singgah sini untuk dapatkan buku-buku yang jarang ada di pasaran. Semoga bermanfaat.

---
Melihat Buku

0 comments: