Oct 17, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (17) Hanya Dia Sufi


Judul : Hanya Dia Sufi
Penulis : Lili Norlaili
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Halaman: 430 m/s
ISBN : 978-967-5118-64-7
Cetakan pertama Julai 2011

Kulit belakang novel :

ada rasa sesal setelah aku membuka luas hati ini untuk dia mentadbirnya

Ini kisah Sufi Najiha yang terlalu berahsia. Sufi Najiha memang sentiasa ceria, tapi siapa tahu apa yang berlagu dalam hatinya? Sudah begitu banyak dia menanggung derita; sudah begitu lama kisah silamnya tersimpul rapi. Dia dipaksa memilih dan akhirnya dia sendiri terperangkap dengan pilihannya itu. Dia tinggalkan sebuah cita-cita untuk sebuah kebahagiaan yang bukan miliknya.

Tapi sampai bila, dia harus mengalah dengan hati?
Setelah sepuluh tahun berlalu dia bertemu semula dengan ‘suami semalam’nya itu semula.

“Kenapa diam? Tak ada apa-apa yang nak
‘diupdatekan untuk one night husband’ awak ni?”


Bagaimana untuk membuang Shah daripada hati, kalau dia tidak pernah sekali pun melupai ‘suami semalam’nya itu.
* * *
LILI NORLAILI memilih Hanya Dia Sufi untuk ‘melukis’ hati Sufi Najiha – gadis manis yang terpaksa dewasa sebelum waktunya. Lalu Hanya Dia Sufi telah mematangkan Sufi Najiha dan juga tulisan LILI NORLAILI.


Bicara Ummu Ammar :

Hanya Dia Sufi memaparkan lukisan hati seorang Sufi Najiha. Sebuah novel yang UA kira penuh dengan ‘tiba-tiba’. Bukan apa, setiap yang berlaku pasti secara tiba-tiba. Tak ada angin, tak ada rebut, mereka sudah mengungkap rasa hati masing-masing walaupun tiada apa yang terungkap sebenarnya. Dan ini merupakan kelebihan novel ini atau lebih tepat lagi jalan cerita yang bersesuaian dengan umur watak utamanya – Sufi Najiha.

Sufi Najiha – Seorang gadis yang telah dicuri hatinya tika umur baru meningkat setahun jagung. Masih mencari apa itu makna cinta dari segala sudut. Di Texin Instrument, segalanya bermula. Jatuh cinta dengan bos sendiri yang jurang umurnya hampir sepuluh tahun. Ah, pedulikan itu semua. Andai hati mula membisik cinta, semuanya tidak akan menjadi halangan. Cintanya pada Shah tiada galang gantinya.

Shah – Jejaka yang senatiasa tersenyum ini merupakan anak bongsu kepada pasangan Maria dan Rahmat. Sudah menjadi suatu tradisi kepada Puan Maria untuk mencari jodoh buat kesemua anaknya. Shah tidak terkecuali. Lelaki matang berusia 28 tahun ini sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia dapat bersama dengan Sufi hatta meingkari perintah ibunya. Dia ingin melayari bahtera rumahtangga hanya dengan Sufi nya. Hanya Sufi yang bertakhta dalam hati nuraninya.

Penulis – Lili Nurlaili – menggarap kisah cinta Sufi dan Shah dengan penuh rasa cinta dan pengorbanan. Walaupun pengorbanan yang UA kira merugikan kedua-duanya sekali. Pengorbanan yang jika diselitkan dengan sedikit kesabaran dan diadun dengan sedikit kekuatan pasti bahagia menjadi hak mutlak mereka. Tahniah kepada penulis.

Cuma terdapat beberapa adegan yang UA tidak berkenan. Contohnya seperti Sufi yang mengambil jalan mudah untuk berkahwin dengan kekasih hatinya tanpa pengetahuan sesiapapun. Tidak difikirkan langsung perihal hati ibu yang bersusah payah mendidiknya dengan penuh kasih sayang. Tidak cukup dengan itu, atas dasar ‘pengorbanan’ ditinggalnya pula sang suami terkontang-kanting sendirian melayari hidup seorang diri. Bukan dia tidak sedar itu semua membawanya lebih dekat dengan neraka.

Itu bisa dijadikan pengajaran oleh kita semua. Bacalah Hanya Dia Sufi untuk selami jiwa anak muda seorang Sufi Najiha dan hati lelaki seorang Shah yang setia pada cinta.

---
Ummu Ammar

1 comments:

lili norlaili said...

terima kasih kepada Ummu Ammar kerana sudi membaca dan membuat ulasan utk novel kecil saya ini. Amat terharu!