Oct 11, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (49) Lagu Cinta Buatmu

Tajuk : Lagu Cinta Buatmu
Penulis:Qaseh Qaisara
Penerbit: Fajar Pakeer ( Cetakan 5 -2011)
490 Mukasurat
Harga: RM19.90 (SM)/ RM22.90 (SS)

Lagu Cinta Buatmu, karya pertama penulis yang saya baca. Tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sebelum memulakan bacaan. Akhirnya saya berjaya menghabiskan bacaan dalam setengah hari. Novel ini mungkin bukan yang terbaik tetapi bagi saya sangat menarik untuk dihabiskan dan cukup santai serta menghiburkan. Tidak perlu memeningkan kepala dan merusuhkan jiwa tika membaca, cukuplah kita hanya menghayati telatah Anis dan Daniel.

Biasa dengan perkahwinan paksa atau terpaksa? Mungkin ada juga yang telah muak dengan jalan cerita sebegini. Namun saya percaya setiap penulis yang cuba membaca persoalan ini mempunyai cara yang tersendiri untuk menampilkan kelainan untuk isu yang sama. Begitu juga dalam Lagu Cinta Buatmu, penulis telah berjaya menambat hati saya dengan kisah Anis dan Daniel.

Anis ibarat menjadi ‘pak sanggup’ apabila terpaksa berkahwin dengan Daniel yang langsung tidak pernah dikenalinya demi menyelamatkan maruah keluarga sahabat ibu tirinya. Perangai bak langit dan bumi. Anis seorang yang periang dan kecoh sementara Daniel seorang yang sangat susah diurus, pendiam dan kepala angin. Walau bertunang dengan Nadia tetapi Daniel tidak pernah menyintai Nadia, lalu ketika akad sudah dilafaz, sayang kepada Anis turut berputik. Namun bagaimana untuk dia luahkan sedangkan dirinya bagi kehilangan kata-kata untuk memulakan perkenalan dengan isteri yang baru dinikahinya?

Memang Anis dan Daniel seperti orang bisu dalam 2 minggu pertama perkahwinan mereka. Namun selepas satu kejadian barulah perhubungan mereka bermula sebagai sahabat. Namun kuasa cinta terhadap seseorang tidak mustahil boleh mengubah seseorang itu menjadi seorang yang lebih baik dan disenangi.Kalau sebelum berkahwin, Daniel bukanlah lelaki yang pandai mengambil hati orang lain, pendiam dan cepat melenting. Tetapi selepas mengenali Anis, dia telah berubah menjadi Daniel yang baru, yang begitu perihatin, memahami, penyayang dan romantik. Daniel yang baru itu membuatkan Nadia lebih bertekad untuk mendapatkan Daniel semula.Adakah Anis hanya berpeluk tubuh membiarkan Daniel yang dia sayang diambil orang lain? Walaupun Anis sanggup, mampukah Daniel menerima Nadia?

Saya suka petikan ini:

“ Anis boleh merajuk.Anis boleh marahkan Daniel. Atau apa-apa saja yang membuatkan Anis tidak senang hati, tetapi bukan kerana Nadia. Daniel tahu dalam rumah tangga tak selalunya begini. Pastinya sekali-sekala kita akan bergaduh juga.Tapi yang paling penting, rumah tangga kita tetap kukuh. Apa pun masalah, kita cuba atasi sebaik mungkin…”

---
Anita Sang

0 comments: