Oct 14, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (15) Menunggu Hujan

Judul : Menuggu Hujan
Penulis : Adileah
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Halaman: 447 m/s
ISBN : 978-967-5118-56-2
Cetakan pertama Mac 2011

Kulit belakang novel :

Kata dia, “Tak boleh ke panggil Lis? Sedap apa nama tu.”
Jawabnya pula, “Tak boleh. Tak suka. Macam ‘list’ barang apabila awak panggil saya Lis.”
Jawab dia kembali, “Saya panggil awak ‘dear’ atau sayang boleh tak?”

Dia tak mahu layan. Hatinya sudah ada irama yang sedang bergetar. Mana boleh ditunjukkan di hadapannya. Rahsia hati mesti di simpan diam-diam.
Itu cerita silamnya. Cerita sekarang sudah berbeza.

Jauh merentasi benua, masalah tidak juga selesai. Lama dia menyepi, rindu itu tidak juga padam. Diam dia tidak memanggil namanya, rasa itu tetap terpahat di situ. Semua itu tidak pernah pergi jauh darinya

Dunia bagaikan terhenti berputar apabila dua jiwa yang terpisah bertemu kembali dalam satu rasa yang sama. Rupanya... rasa yang dia cuba nafikan itu masih ada dan tidak pernah padam. Dia sudah letih untuk berlari.

Satu hari si dia datang padanya dan kata si dia pada saat itu, berilah rasa itu kepadanya biar semua kesakitan hilang. Bolehkah begitu?

Sinopsis :

Ini kisah hati seorang wanita cekal diberi nama Malisa. Malisa merupakan seorang graduan dari sebuah university tempatan. Tetapi dek kerana persaingan untuk memasuki alam pekerjaan terlalu sengit membuatkan Malisa mengambil keputusan untuk bekerja sementara sebagai pembantu di rumah Cik Puan Juita yang kaya raya dikampungnya.

Menjadi pembantu kepada Cik Puan bukanlah sesuatu yang mudah. Cik Puan lumpuh. Dan Malisa, bukan bekerja sekadar untuk mengisi masa lapangnya sementara menunggu kerja tetap. Dia mempunyai misi. Misi untuk merubah kehidupan majikannya itu yang terlalu pasif kepada seorang yang lebih aktif kerana pada pengamatannya, Cik Puan bukanlah lumpuh keseluruhan tubuh tetapi hanya sebahagian sahaja. Maknanya, Cik Puan masih mempunyai peratus yang tinggi untuk pulih seperti sedia kala.

Di situ bermulalah perkenalannya dengan sang jejaka berkulit putih, Hafiz yang juga merangkap cucu kepada Cik Puan. Detik waktu berlalu tanpa henti menimbulkan bibit-bibit cinta berbunga sayang antara keduanya. Walhal ketika itu Hafiz bergelar tunangan orang dalam masa yang sama baru sahaja putus kasih dengan kekasihnya.

Bagaimanakah kesudahan kisah kasih Hafiz dan Malisa? Dimadukan dengan Dayang Suhaila atau ada lelaki lain yang akan mengisi kekosongan hati Malisa? Temui pengakhirannya dalam Menunggu hujan. Mesti beli…

Bicara Ummu Ammar :

Buah tangan kedua milik Adileah kali ini tidak mengecewakan UA. Mungkin penulis sangat mengagumi kejadian alam terindah ciptaan yang Esa menyebabkan judulnya menjadi sangat unik. Jika dulu dengan Pada Angin Aku Berpesan, kini Menunggu Hujan.

Jalan cerita yang menarik dan mendebarkan sebenarnya. Percayalah, ini bukan cinta biasa-biasa jalan ceritanya. Cinta yang berputik kala hujan turun. Walaupun saat itu tidaklah seromantik mana. Biasa-biasa sahaja. Kisah cinta yang biasa-biasa yang akhirnya menjadikan mereka luar biasa.

Cinta mana yang tidak diuji. Waima cintakan sang Pencipta hadirnya anasir syaitan datang menghalang, inikan pula cinta sesama manusia. Cinta mereka diuji sebegitu sadis sekali. Kerana maruah, Malisa membawa diri. Kerana setia pada cinta Hafiz rela lakukan apa sahaja.

Terserlah kematangan penulis dalam penyusunan idea dan penceritaan. Kehadiran watak-watak protagonis dalam novel ini memperindahkan lagi kisah kasih antara mereka.

Tahniah Adileah! Teruskan menulis ya.

---
Ummu Ammar

0 comments: