Penulis: Iqbal Syarie
Penerbit: JS Adiwarna Sdn Bhd
ISBN 978-967-0201-18-4
Harga: RM19.00 / RM21.00
M/S: 422
Cetakan 1 - 2011
Kita berpisah kerana Allah
Blurb:
Mesti gadis itu hebat sampai berjaya menawan hati ayah ibu. Tapi…aku nak ‘produk’ siap. Jika diberi pilihan, Adam Johari mahu gadis yang sudah ditarbiahkan, sudah alim dan sudah siap dibimbing. Logiknya, akan memudahkan dan pasti membantunya dalam mewujudkan keluarga dakwah yang dia impi-impi selama ini.
“ Ana impikan produk siap, ustaz. Jika diizinkan untuk memberi contoh, ana maksudkan ustaz sendiri. Ana mahu isteri yang seperti Ustazah Asyiqin. Ustaz faham maksud ana?” Itulah yang dia katakan pada murabbinya.
“Ana faham maksud enta. Enta mahukan isteri yang sudah pun berdiri di medan juang, bukannya yang baru bersiap. Kan?” Adam Johari mengangguk.
“Baiklah. Jika enta diberi pilihan untuk memiliki sebuah Ferrari mewah dengan sebuah van terpakai, yang mana enta pilih?” tanya Ustaz Mujib.
Johari terdiam sebentar. “ Sudah tentulah Ferrari mewah!”
“Sebab?”
*****
Keindahan bahasa bukan terletak pada mahalnya sijil, tapi terletak pada penghayatan dan pertuturan si tulang bangsa. Begitulah juga dengan keindahan garapan cerita. IQBAL SYARIE tidak pernah terlibat dalam mana-mana bidang penulisan. Jauh sekali dengan kursus atau mana-mana bengkel penulisan. Anak muda yang sedang mengikuti kursus penyelenggaraan kapal terbang dengan syarikat penerbangan Malaysian Airlines System (MAS) sedang merubah arus – menulis dengan satu misi: DABOM – Dakwah Buat Orang Muda!
Kak Chik menukil:
Adam Johari anak muda yang mendapat hidayah Allah saat diri ditimpa musibah ketika di bumi Jordan. Alhamdulillah, dia berubah dari sisi gelap ke arah jalan dakwah yang lebih aman dan tenang. Namun dia tidak pernah lupa sisi gelap yang pernah dilalui. Jalan itu dijadikan iktibar moga diri tidak pernah lagi terkhilaf. Adam Johari melalui hari-hari yang sungguh padat dengan kerja sebagai pengurus di syarikat keluarga di samping itu dia sentiasa mencuri masa untuk terus memantapkan ilmu agama selain berdakwah untuk membimbing anak-anak muda di sebuah universiti tempatan.
Nurul Nasuha anak yang dididik dengan segala ilmu agama oleh ibu bapanya. Namun dia pernah terkhilaf kerana terlalu terikut nafsu remaja. Nafsu remaja menjerat dia untuk ingkar larangan agama yang selama ini menjadi pegangan. Walaupun begitu, dia beruntung kerana cepat tersedar kerana teguran dan kasih sayang keluarga yang sentiasa melindungi. Dia rela melepaskan lelaki pertama mencuri hatinya demi larangan agama. Dia membesar sebagai anak yang terdidik dengan ajaran agama yang sentiasa menjaga pegangan hidup sehingga dia mampu menjaga hati daripada diberi kepada orang yang tidak berhak kecuali lelaki bergelar suami.
Aisyah hidup dalam kegelapan sepanjang dia membesar hingga dewasa. Penghijrahan keluarga ke Australia telah menyebabkan Aisyah jauh dari kehidupan Islam. Apatah lagi ibu bapanya juga tidak berpegang kuat pada ajaran Islam. Pemergian dia ke bumi US menambahkan lagi kekhilafan dalam hidup Aisyah. Dia tidak pernah lagi mengamalkan ajaran Islam sebagai pegangan hidup selain melalui kehidupan yang penuh kegelapan. Kepulangan Aisyah ke tanah air telah menemukan dia dengan Johari, teman sepermainannya sedari kecil sebelum keluarganya berpindah ke Australia. Aisyah tidak pernah kisah dengan teguran-teguran yang diberikan oleh oerang di sekelilingnya malah dia pernah memarahi teman yang memberi hadiah buku agama kepadanya. Namun apabila Allah mahu memberi hidayah kepada hamba-Nya, siapa kita untuk menidakkannya. Aisyah tersedar dari segala kekhilafan saat melihat maut menjemput di depan mata.
Antara Aisyah dan Nasuha, siapa yang menjadi pilihan Adam Johari? Nasuha yang sudah sedia untuk membimbing atau Aisyah yang sudah pasti perlu dibimbing?
Sudut pandang Kak Chik:
Tahniah kepada Jemari Seni kerana telah mencungkil seorang lagi penulis muda yang berjuang untuk menyampaikan dakwah secara halus melalui penulisan. Alhamdulillah membaca DYK membuka minda Kak Chik untuk berfikir dan juga menghayati ajaran Islam secara lebih mendalam dan meneliti amalan dalam masyarakat kita yang sudah banyak terpesong.
Sudah pasti setiap pembaca mempunyai pandangan yang berbeza tentang karya setiap penulis. Kak Chik hanya menulis dari sudut pandang diri sendiri tanpa mahu mencari silap sesiapa. Antara sudut pandang dari sisi seorang pembaca yang kerdil seperti Kak Chik ini:
- Penulis juga banyak menggunakan terjemahanan ayat-ayat al-Quran sebagai bahan utama untuk berdakwah secara tidak langsung telah mendorong Kak Chik membelek al-Quran untuk membaca ayat-ayat kalam Allah itu.
- Penjelasan tentang konsep usrah begitu mendalam sekali. Ini sudah mengubah persepsi Kak Chik sendiri tentang usrah atau perbincangan dalam kumpulan. (Rindu saat-saat di sekolah dulu kerana usrah adalah salah satu aktiviti yang selalu diikuti). Sebenarnya masyarakat kita kurang diberi pendedahan tentang konsep usrah selainkan aktiviti ketika di asrama dan di pusat pengajian tinggi. Kita selalu mengambil ringan konsep usrah sedangkan melalui usrah kita dapat mendidik diri lebih berkeyakinan dan membuka minda untuk saling tegur menegur.
- Cara peminangan mengikut ajaran Islam yang sebenar yang sudah jauh benar kita masyarakat Melayu Islam sekarang tersasar. Sedangkan cara dan jalan yang sebenarnya adalah:
‘ Yang sebenar-benarnya, pertunangan itu suatu ikatan janji antara pihak lelaki dengan pihak perempuan untuk melangsungkan perkahwinan mengikut tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Tidak disyariatkan pun untuk diadakan majlis. Sepintas lalu, ia ibarat kerangka.’ – DYK:353
- Sindiran yang secara halus tentang pentadbiran negara kita sekarang dan juga sistem kroni yang begitu ketara diamalkan dalam masyarakat kita. Penjelasan mengenai sistem kroni juga terperinci walaupun hanya secara ringkas.
- Sifat sabar dan reda itu perlu menjadi tunjang utama dalam kehidupan harian yang hanya sementara di bumi Allah yang serba mencabar ini. Sabar dan reda itu sifat yang mampu menghindar diri dari melakukan kekhilafan jika kita menerima segala dugaan dan musibah itu dengan lapang dada dan muhasabah diri.
- Walaupun begitu masih ada perkara yang boleh diperbaiki oleh penulis kerana pada Kak Chik kisah ini sedikit tergantung dan tergesa-gesa diberi kata penamat. Rasanya ia pasti lebih menyentuh naluri seorang wanita jika diberikan sedikit ruang untuk Aisyah menyampaikan rasa hati menerima ujian daripada Allah saat diri masih terlalu baru bergelar raja sehari kerana pada Kak Chik penulis perlu melakar jalan mencari reda itu. Kerana isu yang diutarakan pada penamat kisah ini adalah sesuatu yang sensitif pada insan bergelar wanita sedangkan Ummu Mukminin Saiyidina Aisyah tidak terkecuali dengan perasaan cemburu.
Maaf jika apa yang ditulis ada yang menggores atau tersalah fakta. Tahniah buat penulis dan moga terus diberi kekuatan untuk menyampaikan dakwah Allah.
LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)
Oct 11, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment