Oct 25, 2011

NH: Cabaran 50 Buku : (37) Ucapkan Kau Rindu


Ucapkan Kau Rindu
Penulis: Murni Aqila
Terbitan Alaf 21
Cetakan 16 Julai 2009

Kepekaan saya:

Ucapkan Kau Rindu hasil garapan indah dari Murni Aqila mengisahkan kehidupan seorang gadis yang bernama Lailana. Novel ini boleh di ketegorikan sebagai komedi romantik. Penggunakan ayat-ayat yang begitu sempoi dan bersahaja yang tidak begitu formal.
Kalau watak utamanya seorang gadis, sudah semestinya watak yang membantu dan berdamping rapat dengan si gadis adalah watak sang jejaka. Jejaka tersebut bernama Adham. Banyak perwatakan Adham yang membuatkan pembaca akan tersenyum dan tersengih seorang diri.

Lailana seorang yang terlalu keras hati. Membiarkan dirinya membenci setiap lelaki yang hadir dalam hidupnya. Layanan yang diberikan Lailana kepada Adham teramatlah dingin. Sedingin salju menhempus wajah. Dari awal perkenalan lagi, Adham sudah menghulurkan cinta untuk Lailana. Tetapi, dibiarkan sepi begitu sahaja oleh Lailana.

Sikap keras hati dan dingin yang Lailana tunjukkan adalah kerana berlaku peristiwa hitam dalam hidupnya semasa dia di bangku sekolah lagi. Lailana fikir dirinya telah hilang kehormatan atau kesucian semasa peristiwa hitam itu terjadi pada dirinya. Lailana terfikir kehormatannya di ragut oleh abang kandungnya sendiri iaitu Huzir. Semasa kejadian hitam itu menimpa diri Lailana, Huzir hilang kawalan diri selepas diberi pil estacy oleh kawannya. Semasa hilang kawalan itulah, Huzir cuba untuk memperkosa Lailana. Nasib yang baik menyebelahi Lailana kerana peristiwa hitam itu tidak meninggalkan kesan-kesan negatif pada dirinya. Sebenarnya, Lailana masih suci.

Lailana turut menyimpan dendam dan benci pada abangnya Huzir. Lailana juga turut membenci semua lelaki dan tidak akan melayan semua lelaki yang ingin berkawan dan ingin rapat dengannya. Lailana membina benteng yang sangat tebal untuk kehadiran lelaki dalam hidupnya.

Kemunculan Adham dalam hidup Lailana telah menukarkan segala prinsip hidup Lailana. Adham meluahkan perasaan kasih dan cintanya pada Lailana. Macam-macam cara Adham lakukan untuk memikat hati Lailana. Perkara yang paling berkesan buat Lailana adalah surat yang Adham tulis dan lipat surat tersebut menjadi kapalterbang kertas.

Lailana juga tidak boleh lari dari igauan ngeri yang sentiasa membelenggu hidupnya. Peristiwa hitam atas perbuatan abangnya tetap menggangu hari-hari indahnya bersama Adham. Akhirnya Lailana melarikan diri dari Adham. Adham yang tidak mahu kehilangan Lailana dan tidak mahu kecundang dalam cinta lagi bertekad mencari jawapan kepada kehilangan Lailana. Adham mendapat kepercayaan dan sokongan moral daripada adik-beradiknya.

Akhirnya Lailana dapat ditemui oleh Adham. Mampukah Lailana mengecapi kebahagian yang sepenuhnya? Mampukah Lailana membuang segala peristiwa hitam dalam hidupnya? Terjawabkah persoalan-persoalan yang selalu bermain di minda Lailana tentang kejadian yang menimpa dirinya itu?

Terlalu banyak perkara yang baik-baik yang disampaikan penulis. Gangguan seksual juga di olah dengan baik.

---
Noor Hekmat

0 comments: