Tajuk: Kuseru Rindu Itu
Penulis: Hanni Ramsul
Penerbit: Kaki Novel (September 2011)
729 Mukasurat
Harga: RM26(SM)/RM29 (SS)
Membaca sebuah lagi karya penulis Hanni Ramsul yang sentiasa ditunggu-tunggu. Membaca novel ini menuntut ketahanan emosi yang bukan sedikit. Hampir saya tewas dengan air mata, malah sehingga terbawa ke mimpi. Betapa membaca novel Kuseru Rindu Itu sememangnya berjaya mempermainkan emosi saya yang biasanya tidak mudah terganggu.(Malah teman-teman yang sudah membaca begitu beremosi meluah rasa sakit hati dengan sikap Hisyam)Sesungguhnya penulis berjaya menyentuh hati pembaca dengan pelbagai emosi yang kadang-kala menyesakkan.
Membaca novel ini membuat saya begitu marah dengan watak lelaki seperti Hisyam. Membaca novel ini membuat saya berharap janganlah ada lelaki yang begitu tamak seperti Hisyam walaupun disebalik sikapnya itu dia seorang lelaki yang baik dan romantik. Membaca novel ini juga membuat saya berfikir betapa beruntungnya lelaki seperti Hisyam yang mendapat peluang kali kedua untuk mendapatkan yang terbaik iaitu isterinya yang begitu mencintai dirinya dan juga anak-anaknya.
Andai Hisyam diuji selama bertahun seperti dia menguji perasaaan Idayu tanpa mampu mengucapkan kalimah cinta kepada isterinya itu selama 7 tahun perkahwinan, mampukah Hisyam untuk terus memujuk hati Idayu? Namun Idayu selayaknya hidup bahagia bersama insan yang dia cintai sesungguh hati iaitu Hisyam kerana selepas menikahi Hisyam tiada nama lelaki lain dalam hidupnya. Walau hatinya terluka dengan kecurangan Hisyam namun dia merasakan Hisyam ada hak untuk hidup bersama wanita yang dia cintai. Adakah wujud wanita sehebat Idayu?
Cinta yang bagaimana pula dicari oleh Hisyam? Ah…kekadang betapa sukarnya memahami kehendak seorang lelaki yang sudah ada segalanya seperti Hisyam. Tidak cukup dengan kesempurnaan dan kebahagian yang telah dimiliki tetap mencari yang lain. Betapa lalainya dia kerana tidak menyedari yang cintanya kepada Idayu memang telah ada di sudut hatinya sehingga dia mencari ‘cinta’ yang lain.
Betapa cinta ini begitu hebat penangannya. Cinta membuatkan Maisara hilang arah dalam hidupnya, cinta membuat Hisyam masih mencari apa yang sudah dia miliki, cinta membuat Idayu bahagia dalam luka dan cinta juga membuatkan mereka memilih untuk memaafkan dan memilih cinta yang membahagiakan.
Mungkin apa yang saya rasa dan kongsikan mungkin bukan perkongsian yang terbaik untuk menggambarkan novel ini tetapi novel Kuseru Rindu Itu tidak kurangnya hebatnya ( bagi peminat novel-novel karya Hanni Ramsul ) jika dibandingkan dengan Biarlah YM Berbicara dan PAM, buah tangan Hanni Ramsul yang terdahulu. Jika anda suka BYM dan PAM, maka anda pasti suka KSRI. Selamat membaca.
---
Anita Sang
Oct 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment