Oct 17, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (30) Bukan Cinta Biasa


Tajuk buku : Bukan Cinta Biasa
Penulis : Izzul Izati
Keluaran : Kaki Novel
Halaman : 536 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Shahira, gadis baik yang sentiasa mendahulukan orang lain dan juga sentiasa tenang. Di samping dia, ada sahabat-sahabat yang sentiasa ada, Diana, Anuar dan Rafizi. Mereka kenal sejak di bangku sekolah. Bagi Shahira, mereka adalah sahabat terbaiknya dan siapa sangka dalam pertalian sahabat itu, ada Anuar yang memendam rasa. Namun, Shahira jujur, pada dia Anuar hanyalah sahabat.

Di universiti, dia dipertemukan dengan Azlisyam. Sejak dari pertemuan awal, mereka sudah bersengketa dan tiada tanda perdamaian antara mereka. Dan siapa sangka, mereka telah dijodohkan bersama oleh ibubapa mereka. Tiada yang membantah secara terus, memandangkan Shahira memang tiada pilihan yang lain dan Azlisyam memang sudah jatuh cinta dengan Shahira.

Walaupun dah bertunang, tiada perbezaan yang berlaku. Tiada kata cinta yang terluah antara mereka, hanya persengketaan yang menghiasi hubungan mereka. Perhubungan yang pada awalnya dirahsiakan akhirnya diketahui Anuar. Kecewa dengan Shahira, Anuar membawa diri jauh. Shahira tidak menyesal dengan pilihannya namun ada rasa sesal dengan perhubungan persahabatannya dengan Anuar yang terputus.

Akhirnya mereka berkahwin, dalam diam ada terpancar rasa kasih antara mereka. Sehinggakan Azlisyam meluahkan rasa hati secara jujur pada Shahira.

Dugaan menimpa ketika saat bahagia. Ada salah faham menimpa dan pada saat yang sama cahaya mata yang dinanti-nanti turut pergi. Di saat Shahira paling memerlukan Azlisyam disisi, Azlisyam bersikap dingin. Sengaja menunjukkan rasa geram yang tidak bertepi sehinggakan dia sengaja menerima cadangan ibunya untuk memadukan Shahira. Kecewa, Shahira membawa diri. Di saat itu , Anuar kembali tampil cuba merebut kembali cinta Shahira.


Komen Ain Sabrina :

Kisah dalam novel ini agak menarik walaupun agak klise. Dikisah dalam kisah ini , watak Shahira itu seakan watak wanita idaman semua. Ramai betul peminat dan lelaki yang meluahkan perasaan. Agak fantasi di situ dan saya sebagai perempuan yang membaca, ada perasaan menyampah yang timbul. ^^ Peminat yang ramai itu satu bonus, namun cara Shahira melayan mereka boleh buat saya yang melihat dari jauh merasakan watak Shahira itu mengada-gada. Jika tidak suka, jangan dilayan dan terus buatkan tanda titik noktah pada mereka supaya mereka tidak terus mengharap. Ini tidak, masih berlagak neutral dengan mereka, menolak tidak, menerima pun tidak.

Juga kisah ini, banyak salah faham yang berlaku kerana dari awal tiada pengesahan rasa antara mereka berdua. Semua asyik dengan ego masing-masing, tiada yang mahu mengalah meluahkan rasa, akhirnya salah faham berlaku. Macam yang saya cakap sebelum, rasa itu tak perlu diberitahu secara berlebih-lebihan tetapi cukuplah sekadar orang di sana mengetahui rasa hati orang di sini. Apa-apa pun, watak Azlisyam yang akhirnya mengaku cinta, mungkin boleh dipuji. Jika tidak sampai ke akhir, tiada penyelesaian.

Namun geram juga pada watak Azlisyam yang terus menuduh tanpa usul periksa. Sepatutnya dia perlu menyiasat sebaik mungkin sebelum membuat apa-apa keputusan. Dan sikapnya yang terlalu melayan perasaan marahnya, tanpa memperdulikan kesedihan Shahira yang baru kehilangan, membuatkan saya rasa sedih dan dalam masa yang sama sakit hati dengan sikapnya.

Pengakhirannya, agak mengecewakan bagi saya. Saya mengharapkan yang lebih baik dan lebih romantik mungkin. ^^

---
Ain Sabrina

0 comments: